Thursday, December 29, 2011

JANGAN DISKRIMINASIKAN KAMI, (ANAK-ANAK PEMBAWA HIV)



Assalamualaikum w.b.t.

28 Disember adalah tarikh abah disahkan sebagai PLHIV. Itu jugalah tarikh kelahiranku. Jadi perkongsian pengalamanku ini juga sempena hari lahirku yang ke 15 tahun. Aku adalah anak bongsu dalam keluarga kami.

Sedar tak sedar sudah setahun bapaku seorang PLHIV. Aku melihat abah semakin matang menjalani kehidupannya sebagai PLHIV. Diskriminasi, judgmental tidak lagi berada di fikiran abah. Jauh sekali hidup sebagai seorang yang penakut!! Itulah abahku.

Keadaan kesihatan abah juga semakin stabil berbanding dahulu. Abah mengamalkan cara hidup sihat seperti melakukan senaman ringan, menghindari stress, dan mengamalkan pemakanan seimbang.

Aku tidak pernah terfikir bahawa abah akan menjadi seorang PLHIV, yang begitu ditakuti hinggakan digelar sebagai ‘bala’ dan hanya layak menimpa golongan yang dipandang hina.

Tidak adil kita katakan bahawa HIV hanya untuk orang sedemikian sahaja kerana tidak mustahil jangkitan ini berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal berdosa atau tidak. Kita sebagai anggota masyarakat tidak sepatutnya membiarkan golongan ini terus dibiarkan begitu sahaja. Bukankah Islam mengajar kita untuk membantu saudara seagama kita?

Abah kini lebih banyak melibatkan diri dalam komuniti. Melihat abah berkongsi rasa dengan rakan senasib, sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat abah supaya terus tabah menjalani kehidupan.

Abah sering membantu para PLHIV yang baru didiagnos dan masih teraba-raba mencari sokongan dan nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman seperti abah.

Kewujudan blog AKU HIV POSITIF setahun yang lalu telah dapat memberi maklumat kepada ratusan ribu pembaca tentang HIV. Segala pengalaman pahit dan manis abah selama menjadi seorang PLHIV dikongsikan dalam blog itu. Aku sangat berbangga dengan pencapaian abah dalam menguruskan blog ini.

Abah juga tidak pernah lupa menjalankan tugas abah sebagai suami dan bapa kepada keluarga kami. Abah sangat sensitif dalam soal hubungan kami dengan Tuhan. Abah sangat menggalakkan kami untuk menunaikan solat secara berjemaah. Secara tidak langsung ianya dapat merapatkan hubungan kami sekeluarga dan yang paling penting iaitu hubungan dengan Tuhan.

HIV sedikit sebanyak membuka mata aku tentang keadaan sekeliling seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah, pemindahan darah, dan lain-lain. Keadaan mereka yang masih terjebak dalam aktiviti seperti ini sepatutnya dibantu dengan lemah-lembut dan bukannya dengan kutukan dan diskriminasi.

Pada peringkat awal diagnos, kami sendiri kurang memahami HIV sehinggakan abah melarang kami menyentuh sebarang peralatan yang biasa abah gunakan akibat terlalu risaukan risiko jangkitan. Makanpun kadang-kadang abah rela sendiri.

Inilah akibat stigma dan akibat diskriminasi yang kami alami sendiri hampir setahun yang lalu.

Mereka yang masih mempunyai diskriminasi seperti ini tidak seharusnya dipersalahkan kerana mereka mendapat maklumat yang salah daripada media-massa. Kini baru aku sedar akan kejahilan yang aku amalkan selama ini dan betapa berdosanya mereka yang menambah beban kepada para PLHIV.

Abah selalu mengajak kami menyertai aktiviti komuniti. Baru-baru ini kami sekeluarga diziarahi sebahagian daripada ahli komuniti. Melihat keakraban hubungan di antara bapaku dan mereka menyebabkan hatiku tersentuh kerana mereka disatukan oleh virus yang sangat ‘ditakuti’. Mereka berdikari dan saling memberikan sokongan antara satu sama lain. Hubungan mereka diibaratkan seperti isi dengan kuku.

Aku juga mendapat dua orang kakak baru. Yang pertama bernama kak AO dan yang kedua bernama kak As. Walaupun aku kurang berhubung dengan mereka tapi kami sekeluarga menyayangi mereka seperti kami sudah mengenali mereka sejak lama dahulu.

Oh ya lupa pula. Aku lihat berat badan abah semakin berkurangan. Abah kata mungkin akibat diabetes atau kesan dehydration ubatan rawatan HIV tetapi masalah tersebut tidak pernah merungsingkan abah. Abah juga tekun dengan diet yang dicadangkan oleh doktor kesayangan abah iaitu Doktor Iskandar Firzada yang selalu membantu abah menjalani rawatan atau ketika mempunyai kekeliruan berkaitan HIV.

Doktor Iskandar Firzada merupakan mentor kepada abahku. Beliau melayan pesakitnya dengan lemah-lembut dan tidak memberikan tekanan kepada abah. Aku pernah berjumpa Doktor Iskandar yang menasihatkan aku supaya mengawal berat badan.

Akhir kata, syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada Doktor Iskandar Firzada, ahli komuniti dan semua yang membantu memberikan abah semangat baru untuk bangkit menjalani kehidupan lebih baik daripada sebelum didiagnos sebagai PLHIV.

Aku bercadang untuk melanjutkan pelajaran di bidang perubatan, khusus dalam bidang Infectious Diseases seperti yang dicadangkan oleh pakcik Survivor untuk membantu para PLHIV. Tolong doa-doakan semoga cita-citaku Allah kabulkan.


AHP: Anakku yang bongsu... selalu sahaja membanggakan kami dalam banyak perkara. Kadang-kadang aku masih ‘memaksanya’ tidur bersamaku supaya aku dapat peluk badannya yang besar itu. Pokoknya kasih sayang aku terhadap anak-anak sama sahaja walau bagaimana dan apapun situasi mereka. Cuma perhatian sedikit berbeza mengikut keperluan dan ujian. Saling memahami, sokong menyokong dan ada peranan masing-masing.