Wednesday, November 09, 2011

TIPS DAN PENGALAMAN SEBENAR SEORANG IBU PLHIV MELAHIRKAN BAYI BEBAS HIV


Alhamdulillah kita sangat beruntung kerana seorang sahabat kita, (seorang ibu muda PLHIV) sudi berkongsi pengalaman dan tips beliau memperolehi bayi yang bebas HIV. Kepada sahabat-sahabat yang biasa di sini tentu dapat meneka siapakah ibu muda berhati mulia tersebut.

Semoga pengalaman ini menjadi panduan kepada mereka yang memerlukan. Sebagai tanda terima kasih, marilah kita doakan semoga Allah kurniakan pahala yang berterusan kepada beliau sekeluarga dan semoga kebahagiaan tersebut membawa ke syurga. Aku yakin perkongsian ini sangat-sangat penting dan membantu.

Untuk disesuaikan sebagai sebuah entry, aku lakukan sedikit editing. Mohon maaf kepada mana-mana individu di bidang perubatan jika terdapat beberapa istilah perubatan yang kami gunakan tidak begitu menepati, salah ejaan dan quote. Mohon teguran jika perlu.

Apa-apapun, intipati pengalaman dan tips tetap dapat dikongsi. Mari baca emel beliau:

Sebenarnya AHP, keputusan untuk mengandung saya ambil kerana suami saya amat inginkan anak bersama saya. Apatah lagi dia masih bujang sebelum berkahwin dengan saya.

Setelah mendapat nasihat daripada beberapa rakan dan doktor, saya masih lagi ragu-ragu. Saya sendiripun sebenarnya memang inginkan anak lagi tetapi kerana memikirkan keselamatan suami (bukan PLHIV) dan nasib anak dalam kandungan, saya agak keberatan.

Kemudian saya berjumpa sendiri sahabat senasib yang telahpun melahirkan anak dan alhamdulillah anak mereka sihat dan bebas dari HIV sedangkan kedua-dua mereka adalah PLHIV. Saya minta pendapat mereka sehingga saya benar-benar yakin akan keselamatan semua pihak.
  
Setelah itu saya dan membuat sedikit research melalui google untuk mengetahui dan memahami waktu subur bagi seseorang wanita.

KENAPA ANDA PERLU TAHU WAKTU SUBUR WANITA?

Ada 2 sebab utama:

1.         Untuk memudahkan mendapat zuriat
2.         Untuk mengelakkan daripada mendapat zuriat.

Kedua-duanya adalah sama penting. Ilmu ini mungkin boleh disebarkan dan digunakan secara praktikal.

FAHAMI KITARAN HAID

Saya cuba permudahkan sebab proses kitaran haid agak kompleks.

Umumnya kitaran haid wanita berlaku setiap bulan secara purata dalam tempoh 28-30 hari. Tetapi ada wanita yang punya kitarannya sendiri seperti dalam tempoh setiap 25 hari dan ada yang lambat sehingga 35 hari. Majoriti  puratanya ialah dalam tempoh 28-30 hari.

Terdapat beberapa fasa di dalam kitaran haid. Anda perlu memahami fasa-fasa tersebut.

Hari 1-4
Ini dipanggil fasa pengeluaran haid (menstruation). Ketika ini darah haid keluar. Hari pertama period adalah penting untuk diketahui kerana ianya dikira sebagai permulaan fasa tersebut.

Pada hari pertama haid datang, ia perlu ditanda di kalendar dan tamat selepas berapa hari. Sebaik-baiknya ditanda setiap bulan sekiranya anda ingin merancang untuk mengandung. Anda boleh mengagak kitaran period anda beberapa hari dalam sebulan.

Hari 5-13
Ini dipanggil fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Ketika fasa follicular ini, darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal untuk persediaan mengandung. Di kawasan ovari pula, telur yang berada di dalam bekasnya akan menjadi semakin matang.

Hari 14
Waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada sarangnya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone (LH). Telur ini sekiranya tidak disenyawakan oleh sperma akan mati dan hilang. Sekiranya ia disenyawakan, ia akan turun melalu saluran falopio ke rahim.

Hari 15-28
Ini dipanggil fasa luteal atau fasa secretory. Selepas telur dikeluarkan dari sarangnya, sejenis hormone dipanggil progesterone dirembes daripada sarangnya (corpus luteum).

Ini menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Setelah progestrone semakin berkurang kerana tiada persenyawaan berlaku, maka dinding ini akan runtuh sebagaimana runtuhnya tembok Berlin. Proses akan mengalami kitaran semula pada hari pertama kitaran haid bermula semula.

Setelah anda faham kitaran haid di atas, waktu yang terbaik untuk bersama suami/isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada sarangnya.

Bilakah secara tepat ia berlaku? Sebenarnya ia adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama period seterusnya atau ketika fasa luteal bermula.
** (14 days from the 1st day of your NEXT period – NOT your previous period)

Tak faham? Macam ni. Katalah anda period dalam tempoh 28 hari, maka hari subur kepada wanita yang kiraannya dalam tempoh tersebut ialah: 28 – 14 hari = 14 hari.

Jadi, hari ke 14 itu adalah hari subur. Katakanlah period bulan itu dalam tempoh 30 hari, maka 30 hari – 14 hari = hari ke 16 ialah hari subur. Bukan lagi hari ke 14. Sekiranya periodnya dalam tempoh 35 hari pula, maka 35-14 = hari ke 21. Itulah waktu suburnya. Mudah bukan?

Ini adalah kerana fasa luteal pada kiraan biasanya tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah-ubah. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama period yang seterusnya.

Sekiranya tempoh period anda adalah tetap 28 hari, tak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya period anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.

CARA LAIN MENGETAHUI WAKTU SUBUR

Pada waktu subur, suhu badan wanita akan naik sedikit, kira-kira 1 darjah celsius. Juga terdapat lendiran cecair yang jernih daripada kemaluan. ini adalah disebabkan hormon yang meningkat ketika itu.

Di Amerika terdapat kit untuk mengetahui kesuburan wanita melalui air kencing wanita tapi saya belum jumpa lagi di klinik-klinik di Malaysia.

MENGANGGAR WAKTU TERBAIK UNTUK MENDAPAT ZURIAT

Oleh kerana telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka tingkap untuk mendapatkan zuriat adalah sangat terhad. Oleh itu Allah mencipta sperma dengan kelebihan yang lain pula.

Selain daripada berjuta-juta sperma dilepaskan (setiap seorang lelaki adalah jutawan!), ia juga boleh bertahan selama 3-5 hari. Ini bermakna, sekiranya suami isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.

Setelah mengenalpasti waktu subur, berbincanglah dengan suami/isteri dan rancanglah untuk melakukan hubungan intim pada waktu subur tersebut.

Semasa hubungan intim itu berlangsung, suami masih perlu memakai kondom sehinggalah pasangan hampir mencapai waktu ejakulasi. Suami boleh memberi isyarat untuk tanggalkan kondom dan pemancutan berlaku......

Jika bertanya pada doktor, ada juga yang tidak menggalakkan tetapi ada juga doktor yang sangat memahami keinginan dan memberi nasihat dan pandangan positif.

Syukur juga ubat HAART yang saya makan adalah Combivir yang mengandungi AZT. Saya tidak pandai dalam hal ubat ini tetapi menurut doctor, AZT akan melindungi bayi dalam kandungan. (bab AZT ni boleh refer En. Mohamad Raffie bin Jaafar, beliau pakar!)

Beberapa minggu selepas itu saya alami symptom seperti pening dan demam dan disahkan hamil. Gembira tidak terkata tetapi mungkin kerana tiada rezeki kami, semasa usia kandungan saya 3 bulan, saya keguguran.

Menurut doctor lagi, saya keguguran kerana lasak dan makan makanan yang tidak sepatutnya seperti nanas. He, he... memangpun saya banyak makan nanas. Setiap hari, pagi petang, siang dan malam. Itulah akibatnya tetapi saya redha...

Kami ambil masa lebih kurang 1 tahun untuk berehat dan merancang semula kehamilan sehinggalah saya hamil kembali selepas itu.

Ini sahaja AHP, maaf jika ada yang tidak jelas atau jawapan saya masih tidak menjawab soalan yang sebenarnya atau berlebih-lebihan pula. AHP boleh tanya apa sahaja dan saya menjawab berdasar pengalaman saya sahaja.

Kalau nak cerita, ada macam-macam lagi tidak termasuk bab kena maki dengan misi semasa di labour room dan macam-macam perkara di luar tajuk.  Saya gembira AHP sudi berkongsi pengalaman ini sebagai panduan sahabat-sahabat kita.

Terima kasih dan semoga AHP sekeluarga bahagia selalu hendaknya dan sentiasa dilindungi ALLAH dalam apa jua keadaan.

SEKIAN DAN ASSALAMUALAIKUM.....


AHP:  
1.   Perhatian lagi sekali, virus HIV tidak terdapat dalam sperma dan HAART mampu menekan virus sehingga bawah 50 copies. (Tidak dapat dikesan)
2.   Inilah buktinya kebesaran Allah dan virus HIV sangat lemah. Jadi kenapa kita yang terlebih-lebih lemah semangat apabila diuji sebagai PLHIV?
3.   Kredit yang tidak terhingga kepada Puan Seroja. You are so... sweet!!