Wednesday, November 02, 2011

HIV: RAHMAT DI SEBALIK MUSIBAH


Melalui entry HIV: BUAT ELOK SAJA TAU! (BEST) kita berpeluang berkongsi pengalaman hidup seorang pure gay yang menamakan dirinya sebagai 'Huei'. Supaya ianya menjadi sempadan dan teladan bersama, aku publishkan kembali.

Perkongsian asal yang orginal dan lebih panjang boleh dirujuk di situ dan seperti biasa terdapat sedikit suntingan untuk disesuaikan sebagai sebuah entry.


Ambil perhatian bahawa semua ini bukanlah bermaksud mahu mempromosikan kebebasan mutlak terhadap apa juga jenis kecenderungan seksual individu.

Objektif aku ialah pengajaran di sebaliknya supaya kita mengamalkan cara hidup yang diredhai Allah, belajar daripada kesilapan, bangkit daripada kejatuhan dan redha dengan segala teguran serta didikan Allah.

Kita wajib memberi peluang kepada setiap insan untuk berubah. Sokong mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan. Soal dosa pahala, syurga dan neraka kita serahkan kepada Allah.  Jangan cepat menghukum kerana kita tidak diuji dengan kecenderungan seksual seperti beliau.


Kadangkala, kecelaruan identity boleh berlaku kepada sesiapa sahaja bergantung kepada faktor persekitaran dan didikan semasa kecil.

Cukuplah aku membebel, mari baca: 

Saya seorang lelaki berumur 43 tahun. Seorang pure gay sejak kecil. Berperwatakan seperti seorang lelaki tulen dan melakukan hubungan sejenis sebagai satu kebiasaan.

Kalau tak silap, pada tahun 2005 saya telah pergi check darah di klinik swasta, kerana permit kerja hampir tamat. So, sebelum jumpa company doctor, saya check darah kat klinik luar terlebih dahulu.

Saya tak sedap hati kerana 3 minggu sebelum tu saya telah alami deman dan muntah yang teruk selama lebih seminggu. Apabila sembuh, tubuh saya dinaiki ruam sekitar punggung dan kaki.

Kebiasaanmya kalau check darah, keputusannya saya call terus ke klinik dan  pembantu klinik akan kata darah ok, tak ada masalah apa-apa.

Tetapi pada kali ini pembantu klinik tu kata doktor nak jumpa. Memang saya rasa tak sedap hati dan bila jumpa, doctor kata sy +ve.

Ketika itu saya rasa dunia berpusing, wajah mak bapak dan seluruh ahli keluarga terbayang dan ingatkan mati. Menggeletar tetapi saya cuba tenang kerana keputusan tersebut memang sudah dijangka.

Doctor suruh saya pergi hospital kerajaan kerana murah dan percuma. Beliau bagitau jika tidak dirawat dari awal AIDS akan muncul selepas 5 tahun.

Saya keluar klinik berjalan tanpa tujuan. Mundar-mandir berbatu-batu. Nak kata marah, tak pulak kerana memang tahu salah diri sendiri. So saya terus call seorang kawan baik berbangsa Cina. Dia memang terkejut tetapi dah jangka risiko amat tinggi kepada golongan seperti kami.

Sepatutnya malam itu saya enjoy ke sebuah sauna gay yang menganjurkan 'naked nite'. So, waktu malam memang tak boleh tidur lena, terasa terawang-awang.

Ketika itulah teringat amal ibadat yang tak pernah buat, sembahyang pun tak tahu, ambik air sembahyang lagilah tak tau. Dalam terkejut tu saya masih tetap tenang jugak.

Bila saya fikir-fikirkan kembali, ini ujian yang Allah turunkan kepada saya, saya rasa Allah sayang saya. Tak ambil masa yamg lama terkeluar dari mulut saya syukur yang amat sangat kepada Allah kerana memberi ujian ini kepada saya.

Untuk pengetahuan semua, beberapa bulan sebelum saya tahu saya +ve, kegiatan songsang saya semakin menjadi-jadi. Kalau sebelum ini seminggu sekali saya ke sauna dan have sex tetapi semakin lama semakin kerap sehingga setiap hari.

Dalam sehari, dengan beberapa pasangan pulak tu. Bila dah hari-hari, badan menjadi penat. Anu tak boleh naik tetapi godaan syaitan sangat kuat. Saya  tewas. Saya mula mengambil pil kuat yang dijual tepi jalan.

Memang best, tersangat power! Dari setengah biji saya makan 1 biji, dari 1 biji saya mula makan 2 biji semalam dan pernah telan 3 biji sehari. Saya pernah alami perit pedih yang amat sangat di jantung tetapi saya buat tak tahu kerana perkara tersebut saya anggap biasa.

Bila difikirkan semula, memang Allah nak selamatkan dan panjangkan umur saya. DIA sayang saya kerana tidak mematikan saya dalam kemaksiatan.

Saya percaya, kalau saya masih -ve ketika ini, bermakna saya mungkin sudah lama menjadi arwah akibat serangan jantung dan kerosakan liver.

Sepekara lagi yang saya ingat bila saya semakin kerap enjoy buat sex sejenis setiap hari, tiba-tiba terlintas di kepala saya ingatkan Allah. Tiba-tiba teringin melakukan solat bila melihat beberapa orang keluar masuk ke masjid sedangkan saya pula berjalan ke panggung wayang.

Memang selalu jugak melalui masjid tersebut tetapi TAK PERNAH NAMPAK MASJID tersebut.

Dan pernah saya mengeluh kenapa selalu nak pergi sauna dan buat maksiat. Bila saya fikir kembali, saya amat bersyukur kepada Allah. Saya berterima kasih kepadaNya kerana diberi ujian ini,

Ringkas cerita, saya mula belajar dan menunaikan solat dan s
aya berhenti kerja pada 2005. Kembali ke kampung halaman tetapi saya buat pemeriksaan susulan di KL dan akhirnya kiraan CD4 menurun sehingga 180.

Disebabkan tiada kerja dan jarak KL dan kampung jauh, saya stop daripada buat pemeriksaan. Saya yakin dengan makanan yang baik dan senaman, CD4 akan meningkat tetapi saya silap. CD4 tak naik, malah semakin berkurangan.

Sehinggalah akhir 2009, saya jatuh sakit. Amat teruk, batuk, fungus dalam mulut, susut berat badan dari 70 kg dan menjadi kurus kering. Maybe 50 kg, kaki dah nampak tulang.

Turun tangga rumah setapakpun amat payah, tercungap-cungap dan sukar bernafas. Saya fikir makan ubat batuk kat kedai akan sembuh dan tetap tak mahu ke klinik or hospital.

Ketika itu saya tinggal dengan mak dan beberapa ahli keluarga lain. Mereka tidak tahu status saya sepanjang 4 tahun tinggal bersama. Bila keadaan semakin teruk, mak menangis merayu kat tangga suruh saya pergi ke hospital.

Saya takut penyakit saya diketahui mereka dan masih berdegil tetapi akhirnya saya tidak bolah tahan. Suatu hari saya ajak adik perempuan saya ke hospital. Memang dah dijangka, saya ditahan.

Selama beberapa hari doc masih tak tahu penyakit saya, mereka main agak-agak ketika memberi ubat. Hinggalah suatu pagi seorang doc perempuan muda india minta kebenaran saya untuk ambil darah untuk ujian hiv.

Ketika itu dengan mulut yang berat saya berbisik mengatakan, “saya hiv +ve,” Doc tak terkejut tetapi ia lebih mesra. Hampir 10 hari saya di hospital, terpaksa solat dalam keadaan darurat kerana tiada siapa di sisi. Tak mampu nak bangun mahu pun bersandar. Kiraan CD4 saya ketika itu ialah 12. Saya tak izinkan ahli keluarga datang melawat.

Untuk pengetahuan semua, alhamdulillah sekarang solat dah menjadi perkara yang saya jaga dan tak pernah tinggal walaupun godaan syaitan terus menerus mengganggu hidup ini.

Saya mula mengambil ubat SLN30 hingga kini sejak 2010. Alhamdulillah badan menjadi sihat, gemuk hingga 70 kg. Tetapi baru-baru ini kolesterol dalam badan saya tinggi, so saya cuba berdiet hingga berat badan saya turun ke 65 kg.

Minggu lepas saya berjumpa doc, kiraan CD4 semakin meningkat sedikit demi sedikit dan sekarang 175. Alhamdulillah walaupun masih jauh untuk menyamai kiraan orang yang normal yang melebihi 500.

Waktu ini saya masih menganggur, takut nak kerja, takut stress, takut orang tau dan macam-macam lagi ketakutan.

Sehingga sekarang, ahli keluarga masih tidak tau saya hiv +ve. Bila jumpa saudara mara, kepala mula fikir yang bukan-bukan, segan nak bergaul dengan orang dan terus terang saya tiada kawan sebenar.

Semuanya saya jauh diri kecuali kawan baik berbangsa Cina itu yang sekali sekala banyak membantu saya dari segi kewangan dan lain-lain.

Alhamdulillah sedikit demi sedikit dalam hati ini sudah mula ada keyakinan untuk bekerja. Moga saya bertemu dengan pekerjaan yang sesuai nanti.

Kegiatan songsang semakin jauh saya tinggalkan. Alhamdulillah saya semakin bijak mengawal diri dan mengawal nafsu. Dengan sedikit duit simpanan, saya terasa ingin buat umrah dan melepak sebulan di Mekah dalam bulan Ramadhan dan teringin menunaikan haji. Keinginan dalam diri nak ke Mekah semakin meluap-luap dan selalu berangan-angan ke sana.

InsyaAllah saya nak berdoa kepada Allah di hadapan Kaabah:

"Ya Allah panjangkanlah umurku ini, Ya Allah sembuhkanlah aku, Ya Allah ubahkanlah naluri aku supaya menyukai seorang yang bernama wanita, Ya Allah aku ingin berkahwin Ya Allah, aku ingin mempunyai anak...

“Ya Allah jangan sembuhkan sakit ku ini kiranya tidak diiringi dengan perubahan naluri hati songsangku ini, jangan sembuhkan penyakit ini kiranya dengan kembali sembuh itu akan membawa bencana dalam kehidupanku di dunia dan di akhirat.

“Sekira penyakit ini membawa kebaikan di masa hadapan, aku rela menanggungnya, berilah aku kekuatan kesihatan yang baik, sentiasa dimurahkan rezeki sepanjang hayat biar sedikit asal mencukupi dan tidak menyusahkan ahli keluargaku yang lain,

“Ya Allah aku bersyukur teramat amat bersyukur dengan ujian yang Engkau berikan ini, dengan penyakit yang Engkau berikan ini.

Ya Allah matikan lah aku dalam husnul khatimah..."

Alhamdulilah setelah berseorangan selama hampir 6 tahun, hanya baru-baru ini tergerak nak cari info dalam internet dan terus jumpa blog AHP ini. Sekurang-kurangnya terasa ada ramai kawan yang prihatin.

6 tahun tinggal dengan ahli keluarga dan sanak saudara yang sampai hari ini tidak tahu saya +ve hiv. Saya akan rahsiakan selama yang mungkin...

Harap diberi kekuatan dan dapat menguruskan diri ini dengan mudah hingga akhir hayat. Thank AHP dalam mengendalikan blog ini. Semoga awak dilindungi Allah selamanya, diberi kekuatan, kesihatan dan dipermudahkan kehidupan dunia akhirat.



AHP:
Adik-adik yang masih tercari-cari identity diri dan ghairah mencuba sesuatu di luar sana, fikirkanlah masak-masak sebelum merosakkan diri. Anda belum tentu mampu setabah Huei. 

Buat Huei, anda antara real fighter, bukan loser. Tahniah! Sahabat tidak keseorangan. Sila emel saya dan sahabat-sahabat lain untuk menjalin sokongan dan persahabatan dalam mencari keredhaan-Nya. Semoga segala hasrat dan doa Allah kabulkan, insya-Allah…