Friday, November 18, 2011

MAAF, TIADA RAWATAN HIV DAN PEMULIH SEMANGAT ANDA DI BLOG INI.


BUKAN MENGELUH TETAPI MINTA SEDIKIT EMPATHY.

“… dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”
[Surah Yusuf ayat 87]

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
[Surah Al-Baqarah ayat 45]

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman.”
[Surah Ali-Imran ayat 139]

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
[Surah Al-Baqarah ayat 286]

Aku ulang lagi cerita yang sama.

Setiap hari aku menerima banyak emel, SMS dan call berkaitan HIV/ AIDS dan STD’s. Ada yang memang daripada golongan PLHIV dan ada yang kerana paranoid sebab terdedah kepada risiko jangkitan.

Biasanya yang paranoid tu panicnya mengalahkan PLHIV sendiri. Kadang-kadang terfikir, betul juga kalau ada yang kata, belum buat bukan main hero. Belumpun apa-apa, dah melalut tak tentu hala.

Bukan bermaksud nak condemn tapi kalau dah tahu awak tu penakut, jangan tunjuk hero. Cubalah cool sikit...

Bukan 1, 2 atau 3, malahan kadang-kadang mencecah belasan emel terutama daripada yang baru didiagnos. Ada macam-macam level pendidikan, karier hebat dan income yang bagus-bagus. Bahkan jauh melebihi aku.

Bukan setakat golongan yang baru didiagnos, yang sudah 2, 3 tahun didiagnospun ada tetapi trapped, tenggelam dalam paranoid dan dilemma ciptaan sendiri. Akibatnya murung dan bertindak melulu. Gagal focus untuk berfikir dan bertindak.

Alhamdulillah sepenat dan sesibuk manapun belum pernah aku tidak balas emel, call atau SMS berkaitan. Adalah satu pembohongan besar jika ada yang mengatakan bahawa aku tidak balas atau memberi respon atas segala keperluan sokongan tersebut.

Mereka yang menghubungi pula nampaknya ramai yang menganggap seolah-olah kerja aku sepanjang hari hanyalah duduk terpacak di depan PC, menguruskan blog, membalas emel, menunggu call atau SMS.   

Hello... aku juga ada karier, urusan peribadi dan macam-macam komitmen! Malahan mungkin jauh lebih sibuk atau bermasalah daripada kau orang sendiri. Aku hampir-hampir kena buasir sebab setiap hari duduk terlalu lama depan PC, tau tak? Hahaha...

Ramai juga yang tidak tahu bahawa kepalaku sentiasa tepu, tidak cukup rehat dan sangat-sangat kepenatan sehingga mengabaikan keperluan sendiri. Bukan kerana masalah peribadi atau kerana hidup sebagai PLHIV tetapi masalah insan-insan lain.

Ramai yang beri nasihat, jangan kecoh dan jangan mengeluh jika mahu membuat kebajikan. Jadilah insan yang berjiwa besar. Ini adalah usaha dakwah...

Syukur alhamdulillah. Terima kasih atas ingatan. Tetapi elok juga kalau ambil peranan sikit, aku nak tengok. Bukan 1 atau 2 kes. Bukan setakat 1 atau 2 hari...

Jadi, kau orang yang melankolik sangat di luar sana tu, tolong faham juga kemampuan aku. Jangan jadi selfish. Bayangkan kau orang yang berada di tempat aku.

Bayangkan macam-macam kerenah dan perangai. Belum tentu terima kasih yang kau orang terima. Aku yang tanggung, jadi biarlah segalanya menjadi rahsia. (lorr... macam tajuk lagu pulak!)

Aku tak mintak banyak, cuma tolonglah faham bahawa:

Tiada rawatan HIV dan superhero di sini. Aku dan sahabat-sahabatku yang membantu hanyalah insan yang sangat-sangat biasa. Kadang-kadang langkah kami lebih tempang daripada kau orang. Bezanya kami pilih untuk cuba jadi seorang pejuang bukannya dayus. Bahkan aku ni jalanpun adakalanya melayang bro...

Tiada ubat pemulih semangat di sini dik... Yang ada di sini hanyalah insan-insan yang sudi berkongsi pengalaman dan rasa hati. Cuba bantu membantu dan saling berkongsi.

Kami cuma beri pendapat dan pandangan. Kalau kau orang pilih untuk tenggelam dalam emosi dan stigma sendiri, itu pilihan kau orang...  Betul, aku tak mampu nak tolong suapkan, belai dan rayu untuk pulihkan emosi kau orang sepanjang waktu. Baik aku belai dan rayu isteri-isteri aku, ada juga pekdahnya...

Pandai-pandai kau oranglah nak bangkit! Kalau kau orang bersikap positif, positiflah hasilnya. Kalau kau orang negatif, datanglah motivator atau kaunselor dari langitpun, tak jadi apa. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Clear sangat-sangat!

Ada sesiapa yang tahu sampai bila umur aku, Luka Rafieqa, Seroja, Fareez Fauzi, Azam, Survivor, Mizan dan sahabat-sahabat lain PLHIV yang membantu kau orang di sini? Entah-entah besok lusa kami dah jalan kalau itu Allah tentukan.

Kami hanya cuba supaya tak mati sebagai pengecut!

Kalau bertanya dan mahu dibantu tetapi sentiasa diiringi ayat-ayat power seperti yang aku tunjukkan nanti, memanglah sangat-sangat memenatkan:

“Adakah saya akan mati besok?”
“Saya rasa nak bunuh diri sahaja kalau macam ni.”
“Itu awak, tapi saya tak bolehlah...”
“Awak lain, awak kuat tapi saya lemah.”
“Lebih baik aku mati.”
“Kenapalah malang sangat nasib saya?”
“Ntahlah bang...”
“Saya tak sanggup hidup lagi...”
“Saya takut jumpa doktor, apa kata keluarga saya nanti?”
“I sedih u... semua orang benci I.”
“Aku tak tahu apa lagi yang nak dilakukan...”

Macam-macamlah...

Kalau di peringkat permulaan tu aku masih boleh terima tetapi kalau 5, 6 emel masih isu yang sama, aku memang tak larat. Kau orang dah ambil masa dan hak orang lain untuk dapatkan pertolongan segera. Hak rehat aku tak apalah, aku sedeqahkan.

Kebanyakan sahabat komuniti (PLHIV) yang membantu di sini adalah antara mereka yang asalnya mencari sokongan komuniti di sini. Mereka pun asalnya keliru (sama seperti aku) tetapi kerana sikap positif yang ditunjukkan akhirnya mereka mampu bangkit dengan pantas.

Itu belum termasuk sahabat-sahabat yang tiada kena-mengena dengan PLHIV tetapi sudi membantu walaupun mereka sendiri ada macam-macam masalah peribadi. Kadang-kadang jauh lebih berat daripada kau orang sendiri.  

Ada pula yang terlalu pantas. Mula-mula semangat bukan main. Mencadangkan itu, mencadangkan ini tetapi belum apa-apa hilang ghaib entah ke mana. Risik-risik, akhirnya sedang berpuisi di tengah belantara mencari ilham tak kunjung tiba. Syahdu syahdan merayu pada rembulan. Hahaha...

Jadi, aku RAYU kesekian kalinya, tolonglah faham bahawa pertolongan dan kekuatan sebenar hanyalah daripada Allah dan dalam diri sendiri. Itu pilihan masing-masing. Boleh bersedih tetapi bukanlah terlalu lama sehingga diri sendiri yang membunuh peluang dan harapan.

Bagaimana mencari kekuatan dengan Allah? Hah, kat atas tu aku dah pastekan beberapa ayat al-Qur’an. Baca dan fikir betul-betul. Jangan baca sepintas lalu sahaja. Banyak lagi rujukan lain dalam al-Qur’an.

Apa caranya?

Solat, puasa, Qur’an, majlis ilmu, surau, masjid, doa-doa syifa’, zikir solawat, qiamullail, bersedeqah, redha, berbaik sangka, macam-macamlah...

Kekuatan dalaman?

Pun dah berpuluh kali aku share. Fokus, cari ilmu, bijak mencari peluang, kreatif, sabar, dapatkan Model Ikutan (Rasulullah s.a.w lah, siapa lagi...) berkongsi masalah dengan rakan senasib, memberi lebih daripada menerima dan sebagainya.

Kalau asyik melayan perasaan, berfikiran negatif dan meratap sorang-sorang memanglah. Iblis memanglah nak membolak-balikkan hati. Try check makna Surah an-Naas. Belek-beleklah sikit Qur’an. Cuba-cubalah berdikari, kita yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri...

Sebagai penutup bebelan aku ni, mari renungkan 3 perkara ni:

1.  "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka.”
[Surah Ar-Ra’ad, Ayat 11]

2.   Ilmu itu hak Allah, hak ulama’ tetapi dakwah tu hak semua.

3.    Jika mahu berubah, jangan sesekali meletakkan border itu ini dalam diri.  Mengarut! 


Aku marah dan kasar ke? Bagi aku tidak. Terpulang kepada penilaian masing-masing. Merajuk? Silakan...

Maaf!