Saturday, November 26, 2011

PUBIC LICE (KUTU DI BAHAGIAN KEMALUAN)


Petang semalam aku menerima emel daripada seorang pembaca blog tanpa nama, tanpa salam dan tanpa bahasa basi terus sahaja bertanya:

"Boleh citer sikit kehidupan sex saudara bersama dengan isteri? ....adakah menggunakan kondom boleh menyelamatkan keadaan?"  

Astaghfirullahal azhiim... Kalau nak ikutkan hati, mahu saja aku jampi serapahkan supaya masuk sekolah budi bahasa tetapi aku tak mahu menjadi manusia yang berjiwa kecil. 

Itu satu hal. Sesetengahnya sedap mulut je cakap “engkau aku” sedangkan umur baru belasan tahun. Tak ada salam, tak ada terima kasih. Takkan tak belajar adab. Entahlah, agaknya sebab aku ni tua dan terbiasa dengan budaya Melayu, jadi aku sensitive sikit dengan budi bahasa taraf anak-anak ni.

Mamat ni risau dijangkiti HIV dan takut untuk melakukan hubungan intim dengan isterinya. Aku pun jawab jugalah:

“Ada saya kongsikan di blog. Kena rajinlah sikit mencari. Ya, guna kondom.

Lagi satu tolonglah jangan gunakan bahasa SMS macam ni dengan aku kalau belum betul-betul kenal:

“sy xxxx...sy perlukan bantuan awk berkenaan hiv ni...plz rply my msj..
mcm mne cara pling senang nk cntct awk...?

Tapi tak apalah, aku maafkan mamat ni sebab aku dapat tahu kemudiannya baru 3 hari didiagnos. Serabutlah tu.

Semalam juga aku mendapat hadiah istimewa daripada sahabat non PLHIV yang yang cukup prihatin membantu kita di sini iaitu Anynymous One (AO). AO, kongsikan artikel tentang Phthirus pubis  (kutu kawasan genital).

Terima kasih AO, semoga perkongsian maklumat yang sangat-sangat bermakna ini mendatangkan manfaat kepada semua dan pahalanya berterusan. AO membuat aku sentiasa bangga menjalin silaturrahim dengan AO. (Perghhh... ayat cover line tahap gaban ni!)

Mari baca apa yang AO kongsikan:
  
Sejak saya tengok ruangan STDs di blog ni saya ada perasaan nak tulis artikel tentang penyakit-penyakit ni.  Jadi saya berjinak-jinak mula tulis tentang STDs ni. Kalau ada salah dan silap harap diberikan teguran. 

Pubic lice ataupun kutu di bahagian genital

Saya cuba tulis secara santai dan cuba terangkan dalam bahasa paling ringkas agar semua  faham.

Ok mari kita kenal suku sakat keluarga kutu. Secara ringkasnya  kutu manusia ada tiga jenis:

Pediculus humanus corporis – kutu badan
Pediculus humanus capitis – kutu kepala
Phthirus pubis – kutu kawasan genital






Kutu badan biasanya jarang ada di Malaysia. Sebabnya orang Malaysia biasanya akan membasuh baju dan menukar pakaian. Kes ditolak tepi.

Bagaimana pula dengan kutu kepala?
Kutu kepala terjadi kepada kanak-kanak yang biasanya duduk di asrama. Saya yakin kebanyakkan rakyat Malaysia tahu dan kenal kutu kepala malahan ramai juga yang biasa kena kutu kepala...

Okey di sebabkan terlalu terkenal maka kes ni juga kita tolak tepi.

Kutu di bahagian genital. Genital adalah bahagian kemaluan. Lepas ni kalau malu dengan doktor, cakap genital. Mari kita kenal dengan kutu ini tabiat-tabiatnya dan bagaimana untuk menghindarkanya serta rawatan yang diperlukan.

Secara umumnya kutu ini menjangkiti manusia adalah melalui hubungan intim .

Selain itu melalui penggunaan tandas  iaitu tandas duduk, berkongsi pakaian, tidur di atas tilam yang sama, kongsi selimut dan sebagainya namun hal seperti ini adalah sangat jarang berbanding dengan hubungan intim.

Haiwan tidak boleh menjangkiti manusia dengan kutu ini. Contoh bermain-main dengan kucing tidak akan menyebabkan  mendapat jangkitan ini.


Punca dan tanda-tanda jangkitan

Faktor-faktor mendapat jangkitan kutu ini ialah mempunyai ramai pasangan, mengadakan hubungan dengan pasangan yang dijangkiti dan juga berkongsi pakaian dan sebilik dengan orang yang di jangkiti.

Simptom-simptom terkena jangkitan kutu ini ialah mendapat kegatalan di bahagian genital sehingga menyebabkan kulit luka akibat di garu. Selain itu juga adalah seperti mendapat kudis akibat kesan gigitan kutu dan kesan garu.

Kulit juga boleh menjadi kebiruan akibat digaru. Kutu-kutu ini boleh berada di kawasan genital dan juga semua tubuh badan yang mempunyai  bulu contohnya ketiak dan juga bulu kening.
  
Ujian pengesahan






Cara untuk mengenal pasti kutu ini adalah dengan melihat kesan-kesan parut akibat digaru ataupun kesan-kesan gigitan.

Selain itu juga boleh dilihat ialah telur kutu yang berada di rambut di kawasan genital. Telur berwarna putih kelabu ini yang berbentuk lonjong  akan dikenal pasti.

Kutu yang dewasa pula akan dihantar ke makmal untuk dikenal pasti. Untuk pengetahuan semua kutu kemaluan dan juga kutu badan serta kutu kepala adalah sangat berbeza bentuk masing-masing. Bentuk kutu kemaluan adalah seperti ketam dan lebih bersegi berbanding kutu kepala yang berbentuk lonjong.

Disebabkan kutu ini juga boleh memberikan  infeksi kepada kanak-kanak di bahagian mata iaitu blepharitis, pemeriksaan di bahagian bulu mata harus dilakukan dengan menggunakan kanta.

Ubatan dan rawatan


Rawatan yang diberikan ialah bahan cucian seperti syampu yang mengandungi permethrin.

Caranya adalah dengan mensyampu bahagian kemaluan kemudian biarkan selama 5 minit dan bilas dengan bersih. Untuk mengeluarkan telur kutu, anda boleh menyapu cuka di bahagian tersebut untuk melonggarkan telur kutu dengan bulu.

Kemudian barulah disikat menggunakan sikat. Rambut hendaklah kering sewaktu mensyampu bahagian tersebut dengan ubat kutu.

Sementara rawatan kutu diberikan pesakit kepada yang dijangkiti kutu. Pesakit  hendaklah membasuh pakaian dan juga peralatan-peralatan tidur seperti selimut, cadar dan sebagainya dengan menggunakan air panas.

Bagi pakaian ataupun barang keperluan yang tidak boleh dibasuh hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik kemudian diikat dan dibiarkan selama seminggu untuk mematikan kutu-kutu tersebut.

Jangan di buang pula ke tong sampah.

Jika tidak berkesan, mulakan rawatan kembali selepas 4 hari hingga seminggu kemudian.

Antara rawatan lain adalah menggunakan losyen Malathione. Kaedah  membuang bulu-bulu di bahagian genital juga boleh dilakukan.

Seharusnya jika dilakukan dengan betul  dan menggunakan ubatan yang betul, pesakit seharusnya dapat sembuh dari kutu-kutu ini.
 
Langkah pencegahan

Langkah pencegahan yang pertama dan paling penting adalah dengan menjaga kebersihan diri dan tempat tidur. Sekiranya berkongsi bilik dengan orang yang kurang bersih makanya harus menjaga barang peribadi agar tidak di jangkiti kutu.

Kebersihan bilik air juga menjadi keutamaan dan yang paling penting adalah menjaga diri dari melakukan hubungan intim dengan pasangan yang dijangkiti. Dinasihatkan pesakit yang mendapat jangkitan kutu melalui hubungan seksual  hendaklah menjalani ujian-ujian STDs yang lain.

Wallahualam.