Sunday, November 27, 2011

AYAHNYA SEORANG PLHIV… (KHAS UNTUK ANAK DARA KAMI)







RAHMAT DI SEBALIK HIV

Kalau mahu bercakap tentang rahmat di sebalik ujian HIV, senarainya cukup panjang.

Kelebihan utamanya adalah dapat memperbaiki hubungan dengan Allah, peluang melakukan kebajikan dan menolong masyarakat, meningkatkan hubungan kekeluargaan, menikmati hidup secara yang lebih berkualiti dan banyak lagi.

Sebagai motivasi, kenapa tidak senaraikan sahaja supaya lebih ramai dapat berkongsi?

Sesekali fikir memang begitu tetapi aku tidak mahu mendedahkan diri kepada unsur-unsur riak dan takabbur. Cukuplah aku katakan bahawa aku sangat bersyukur dengan ujian HIV ini kerana membuka beberapa pintu dan dimensi baru dalam kehidupanku.

Bak kata sahabatku Survivor, ada yang memandang hidup ini ini dengan pandangan 1 Dimensi, 2 Dimensi dan 3 Dimensi. Alhamdulillah dalam banyak perkara, aku kini dapat melihat kehidupan dalam bentuk 3 Dimensi. Lebih indah, real dan berwarna-warni.

Salah satu nikmat yang tidak pernah aku fikirkan ialah aku diberikan peluang oleh Allah s.w.t untuk menambah bilangan ahli keluarga. Walaupun bukan zuriat secara biologi tetapi nikmat dan rahmatNya ini tetap indah dan tidak ternilai. Kasih sayang aku dan family terhadapnya tetap sama.

Aku (kami) kini memiliki seorang ahli keluarga baru, seorang baby girl… Hi baby, agagagagaaaa… Hehehe…  tetapi uniknya baby girl aku dah anak dara.

Ada sesiapa yang berkenan? Sila hantar resume ya. Syarat utama, solat fardhu kena cukup. Baca Qur’an kena lancar. Elok budi bahasa, berjiwa besar dan berdikari. Harta, rupa, pangkat tu maaflah, aku tak pandang kalau syarat-syarat utama tak dipenuhi.

Sebenarnya kan, (malu nak ngaku) jauh di sudut hati aku (dulu-dulu) aku selalu bimbang punya anak perempuan. Aku selalu resah setiap kali isteriku hamil dan berharap benar aku dapat anak lelaki. Walaupun redha dengan apa jua kurnian-Nya, tetapi rasa resah itu tetap ada.

Bagi aku (ketika itu) tanggungjawab terhadap anak perempuan jauh lebih berat. Aku takut dan risau tentang banyak perkara. Aku tak pandai untuk imaginasikan memandikan mereka semasa bayi dan melayan kerenah mereka ketika remaja. Aku boleh dapat anak perempuan bila anakku kahwin nanti, bisik hatiku.

Sekalipun begitu aku tetap teruja melihat baby girl rakan-rakan. Aku seronok sesekali menemani mereka membelikan anak-anak perempuan mereka gaun, penyepit rambut, klip tudung, tolong sikatkan rambut anak mereka dan sebagainya.

Kosnya lebih mahal berbanding melayan anak-anak lelaki. Accessoriesnya ‘mengarut-ngarut.’ Kalau ada 3 orang baby girl, 3 penyepit rambutlah jawabnya kena beli. ‘Leceh.’ Apa-apapun aku tumpang seronok kerana bagiku baby girl lebih unik, manja dan comei.

Aku juga pelik melihat kawan-kawanku yang kasar karekternya bertukar lemah-lembut dan lemah lutut bila berkomunikasi dengan anak perempuan mereka. Bahkan aku tengok kebanyakan mereka ‘kalah’ dengan kelembutan anak perempuan. Lebih rapat dengan anak-anak dara mereka.

Jealous juga aku sebenarnya tetapi tetap enggan memikirkan. Tambahan aku serasi dengan anak-anak lelakiku. Alhamdulillah kedua-dua zuriatku (anak lelaki) sungguh hebat dan istimewa. Semoga keadaan ini berkekalan dan bertambah baik mengikut peredaran masa.

Karekterku yang agak kasar dan majority keluarga yang didominasi oleh lelaki menjadikan aku ‘big boss’ yang sangat berkuasa. Bersama 2 orang anak lelaki yang semakin remaja dan dewasa, aku lebih bersikap sebagai kawan daripada seorang bapa kecuali dalam perkara-perkara asas.

Kami enjoy berkomunikasi dan berkongsi banyak perkara. Luaran nampak kasar tetapi sebenarnya sangat rapat dan saling memahami. Aku sangkakan hidup aku telah sempurna.

Rupa-rupanya melalui ujian HIV dan melalui blog ini, Allah tunjukkan kekuasaan-Nya dan didik aku supaya jangan sesekali menyombong dengan fitrah kehidupan yang telah diaturkan.

Aku (kami) dikurniakan seorang ‘baby girl’ yang menjadi pelengkap keluarga kami. Uniknya kami terima kehadirannya tanpa memikirkan apa juga rupa fizikal, kekuatan dan kelemahannya.

Kami umpama menunggu kelahiran bayi yang suci bersih dan terima penuh syukur sekadar seadanya. Sebagai anak, dia tetap terbaik dan tercantik dalam apa cara sekalipun.  

Baru aku tahu indahnya hidup mempunyai anak perempuan. Walaupun tidak berpeluang mendidiknya ketika bayi, Allah anugerahkan dalam bentuk yang lebih sesuai kerana mengetahui kemampuan diriku.

Hatiku cair secairnya dengan sentuhannya. Baru aku faham betapa risau dan ‘cemburunya’ keluarga mertua-mertuaku apabila aku rembat anak dara mereka sesuka hati untuk dijadikan isteri. Ada HIV pula tu, hahahaha…

Seringkali air mataku tumpah dek kebahagiaan dan kesyukuran. Hati dipenuhi bunga-bunga indah yang mekar setaman. Subhanallah dan Alhamdulillah…

Aku harap dia memahami dan tahu betapa aku menyayanginya sama seperi anak-anakku yang lain. Tanpa pengecualian. Unconditional love! Doa untuk kebahagiaan kami sekeluarga dunia akhirat tidak pernah putus dalam sujud akhir solat fardhuku.

Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan yang menjadi penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami imam/pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” [Surah Al-Furqan: 74]

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”  [Surah Al-Baqarah ayat 216]

Akhir kata, Salam Maal Hijrah.

Sabda Nabi s.a.w:

"Orang yang sempurna Islamnya ialah apabila kaum muslimin selamat daripada gangguan lisan dan tangannya dan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah". [HR Bukhari no 6484]