Friday, November 11, 2011

PESAN UNTUK RAKAN PLHIV YANG BARU DIDIAGNOS


Kali ni kita sembang santai-santai sikit ek? Kasi release tension. Guna bahasa pasar.

Di Malaysia ada hampir 100 ribu PLHIV dan purata jangkitan antara 10-12 orang setiap hari.

Kebelakangan ini aku berdepan dengan terlalu banyak kes rakan PLHIV yang baru didiagnos. Bila baru, faham-faham sahajalah tekanan dan kekeliruan dia orang. Macam-macam kerisauan yang mereka alami. Semuanya menyerbu serentak tanpa belas kasihan.

Memang kesian dengan dia orang tetapi kadang-kadang aku tak cukup masa dan tenaga untuk bantu. Nasib baiklah ramai sahabat-sahabat di sini yang sudi tolong.

Sebenarnya kalau rajin belek-belek entries lama, dah macam-macam tips dan pengalaman aku kongsi untuk menghadapinya terutama dalam kategori AKU.” Apa-apapun yang paling penting hubungan dengan Allah dan kekuatan dalaman masing-masing. Baru masalah boleh settle.

Aku pulak kononnya nampak KUAT dan STEADY je kan? HAHAHA… Kali ini mari aku bocorkan rahsia, jangan sampai jadi salah faham pulak dahlah…

Sebenarnya tiap kali berkongsi pendapat dan sokongan dengan PLHIV baru, aku seringkali tersengih sendiri. Beratus-ratus kali aku dah taip, jawab, SMS dan emel perkara-perkara yang sama. Kadang-kadang aku gelak sorang-sorang. Kau orang jangan terasa hati, tetapi itulah hakikatnya.

Apa taknya, kalau berbanding dengan kau orang, aku dulu jauh lagi teruk! Serius, HAHAHA…

Okay, mari aku kongsi. Harap-harap ada pengajaran kepada semua. Antara perkara pertama yang aku alami ketika itu ialah:

1.   Terkejut.
Ya Allah… terkejut giler! Sumpah aku tak pandai nak jelaskan. Eh, memanglah. Aku mana ada buat aktiviti berisiko. Rapid test dan ELISA selepas pemindahan darah aku negative. Aku langsung tak membayangkan HIV boleh kena kat aku hampir 3 bulan selepas tu.

Dahlah begitu, kononnya dikatakan aku ada hepatitis C. Bila buat check semula dengan swasta, tak ada pun hepatitis C. Sakit hati usah ceritalah.

2.   Rasa bersalah dan takut.
Rasa bersalah kepada isteri-isteri dan anak-anak aku. Aku takut mereka dijangkiti atau aku menyusahkan mereka. Risau mengaibkan keluarga serta ipar duai, sanak saudara dan entah apa-apa lagi entah.

Pulak tu sepanjang hampir 21 tahun berkahwin tak pernah pakai kondom. Ikut sedap je… Bayangkan sendirilah. Boleh pupus dan aib keturunan aku. Alhamdulillah mereka semua selamat.

Itu belum termasuk takut dan rasa bersalah memikirkan karier, masa depan, penghinaan… macam-macamlah. Yang aku fikir ialah HIV- HINA-SAKIT-MATI. Ala… sama je macam kau orang.

3.   Keliru.
Aku keliru dengan punca jangkitanku. Aku trauma dengan cara doktor menyampaikan berita kepadaku.

Itu tak termasuk aku panic memikirkan macam-macam diagnos penyakit kronik yang dikatakan aku mungkin alami sebelum ini. Konon aku kena kanser, leukemia, neutrophenia dan sebagainya.  

Aku pelik kenapa hospital buat bone marrow biopsy sedangkan sample tak dapat walaupun 3 kali tebuk. Aku pelik kenapa rekod dan fail rawatan aku hospital kata hilang. Aku memang keliru yang teramat-amat keliru.

Keliru pula ada macam-macam jenis. Keliru nak dapatkan bantuan, peluang, rawatan dan berkongsi masalah. Hampir meletup aku dibuatnya.

Masuk hospital sebab suspek denggi, tahu-tahu dikatakan kena macam-macam penyakit dan peluang hidup cuma 3-4 tahun. Akhir sekali HIV.

Aku memang takut hospital, tahu-tahu masuk hospital. Masuk HDW (Macam ICU), kena kuarantin di Isolation Room dan sebagainya sedangkan aku rasa sihat je. Semuanya secara mendadak. Yang pasti, platelet aku memang bermasalah, terlalu rendah.

4.   Nak bunuh diri.
Astaghfirullahal aziim… malu aku nak ngaku tetapi itulah hakikatnya. Walaupun taklah serius sangat tetapi ada beberapa kali terfikir untuk melakukannya. Kan aku dah cakap, aku lagi teruk daripada kau orang. Itulah akibat melayan bisikan iblis.

Aku siap memikirkan cara yang paling ‘selamat’ supaya orang tak tahu aku nak bunuh diri. Disebabkan aku ‘kaki kereta’, maka antara cara yang aku nampak ‘sesuai’ ialah dengan cara kemalangan jalanraya.

Macamana?
Aku plan nak drive laju-laju kat Karak hiway, area Genting Sempah kemudian sengaja babaskan kereta masuk gaung! Astaghfirullah…

Tetapi yang kelakarnya sempat pulak aku fikir, kalau aku tak mati tapi terlantar hilang upaya seumur hidup, macamana? Lagi teruk aku menyusahkan anak isteri… cancelled!

Sebab itulah aku cukup terasa hati kepada golongan agama yang cuma tahu menghukum. Dia orang mudah sangat berhujah dan mengeluarkan dalil tetapi hakikatnya tak faham HIV. Mereka kadangkala menjadi punca kekeliruan tersebut timbul.

Ramai yang sudi menolong tetapi ramai juga yang hanya tahu menghukum. Siapa yang sebenarnya yang tenggelam dalam kejahilan ya al fadhil ustaz…?

Bersepah isteri dan anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa akibat HIV.  Ramai yang menjadi mangsa HIV akibat pemindahan darah atau organ. Ramai yang hampir rosak aqidah akibat HIV. Ramai yang bercerai berai akibat HIV. Ramai yang tak jadi nak kawin akibat HIV. Banyak family berpecah belah akibat HIV. Ramai yang menumpang di gereja kerana kesusahan dan HIV. Tanggungjawab siapa tu al fadhil ustaz? 

Bila dipolitikkan, tahu pulak kau orang melolong ya…

Lagi sedih, PLHIV yang insaf dan mahu kembali ke pangkal jalan tidak dibantu. Agaknya mereka terlalu hina, jijik dan tak layak untuk syurga?

Jangan tak tahu, ramai kawan-kawan aku daripada golongan agamawan ‘lari’ daripada aku sejak aku ada HIV. Mereka bukan tak tahu blog aku ni. Dulu aku ada ramai kawan bloggers daripada golongan tersebut di sebuah blog lain kerana aku suka cerita-cerita agama. Bukan main mesra kau orang masa tu ya, HAHAHA….

Tak apalah, mereka insan mulia, mesti sedang sibuk doakan aku tu… Tak sudi kawan tak apa, ada aku kesah. Tuhan tetap ada.

5.   Murung/ depress.
Bab ini pun satu hal. Berbulan-bulan aku phobia dan rendah diri nak bergaul dengan orang. Takut nak dapatkan rawatan. Tak mahu bergaul dengan masyarakat. Sentiasa rasa takut dengan bayang-bayang. Kalau makan minum, aku sentiasa pastikan dia orang tak kongsi makanan dengan aku. Makan dengan anak isteripun aku tak berapa selesa bimbangkan macam-macam perkara bodoh.

Berhari-hari tak tidur. Kalau tidur pun tak lena. Berkurung dan menangis sorang-sorang dalam bilik. Bayangkan umur hampir 45 tahun menangis macam budak-budak. Buruk benar rupanya kan? HAHAHA…

Tekanan kewangan usah cerita. Nak sembuh punya pasal, aku buat pembelian panic untuk supplement food. Kononnya sebagai rawatan alternatif. Habis saving berbelas ribu. Tak cukup dengan tu, buat loan lagi. Setiap bulan belanja untuk supplement food sahaja mencecah hampir RM 1000. Mengarut betul!

Mana ada rawatan alternative bro! Rawatan complementary boleh jugalah diterima.

Ada satu hari tu kerana tension dan tekanan-tekanan tertentu yang amat sangat, aku tiba-tiba mengamuk sakan. Habis aku sepahkan barang-barang dalam bilik. Habis kain baju aku campakkan merata-rata. Laci-laci aku terbalik dan tonggang langgangkan. Aku naik hantu tanpa sebab. Macam tongkang pecah jadinya. Kasihan isteri aku mengemaskan kembali tanpa sedikitpun bersungut.  

6.   Kesan sampingan HAART.
Alhamdulillah yang ini aku tak ada apa masalah sangat sebab aku dah sampai ke fasa menerima hakikat, faham dan bersedia. 2 kali kombinasi HAART aku ditukar. Macam-macam alahan aku rasa tetapi semuanya tak jadi kudis. Kalau rajin bukalah entries lama seperti yang aku bagitau tu.

Lain-lain tu, panjang sangatlah kalau aku nak cerita. Point aku, kau orang tak payah risaulah pasal semua ni. Sikit sangat ujian Allah ni berbanding nikmat dan rahmatNya.

Lama-lama nanti kau orang faham. Bila kau orang ingat-ingat semula semua ni, kau orang akan gelak sorang-sorang sambil berfikir, “Kenapalah aku bingung melulu. Patutnya aku bersyukur.”

Sesekali terkucil, tersenget-senget sikit macam Luka Rafieqa katakan tu, biasalah. Semua orang pun begitu.

Kau orang tahu, sejak aku ada HIV ni aku dapat macam-macam kelebihan. Nak ceritapun bimbang datang riak. Satu antaranya yang aku nak share dengan kau orang ialah, aku punya sahabat-sahabat yang sangat istimewa macam kau orang di sini.

Okay bro, sis… risau ada HIV ke? Relaks je!  

Kepada semua insan istimewa yang banyak membantu kebangkitanku, hanya Allah yang dapat membalas segala jasa. Maaf tidak mampu aku sebutkan satu persatu kerana senarainya amat panjang.  

Syukur, sesungguhnya hidup aku lebih bermakna sejak aku ada HIV.