Tuesday, November 22, 2011

10 KEBAIKAN YANG ALLAH KURNIAKAN KEPADA ORANG YANG SABAR.

Kredit untuk As


Kali ni aku nak kongsikan kembali sebuah tazkirah yang sangat berharga daripada sahabat kita “nuuun” dalam salah satu entry baru-baru ini. Sama-samalah kita renungi dan hayati.

In the Name of Allah, the Most Gracious, Most Merciful,
Peace be upon us All,

“Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya.” [Imam Muslim]

Sekadar info:

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sekiranya kita diuji dengan fitnah daripada orang yang iri hati di atas kejayaan kita, diuji dengan kemiskinan, diuji dengan keretakan rumah tangga hingga berlaku perceraian sebagai suami-isteri, diuji dengan penyakit dan mendapat kemalangan, diuji dengan kematian insan yang dikasihi atau diuji dengan kerugian dalam perniagaan maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk diri kita sendiri sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan ujian tersebut .

Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah s.w.t atau ianya sebagai satu cara Allah s.w.t ingin meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya dan Dia mengasihi kita supaya dapat memasuki syurga-Nya nanti kerana salah satu jalan seseorang dimasukkan ke dalam syurga kerana adanya kerana sifat sabar semasa di dunia.

Terdapat sepuluh kebaikan-kebaikan yang akan Allah s.w.t kurniakan pada hamba-hamba-Nya yang sabar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Diampunkan dosa untuknya.
Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi s.a.w bersabda maksudnya: “Allah telah berfirman: 'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” [Hadis Riwayat Ahmad]

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." [Hadis riwayat Bukhari dan Muslirn]

Kedua: Allah s.w.t merasa malu kepadanya semasa di neraca timbangan dan membuka buku catatannya di akhirat.
Berkata Anas ra. bahawasanya Nabi s.a.w bersabda maksudnya:

”Allah telah berfirman:
'Jika Aku menimpakan suatu mushibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima mushibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” [Hadis riwayat Qudha’i, Dailami, Hakim dan Tirmidzi] - Hadis Qudsi.


 Ketiga: Allah s.a.w ingin mendengar sendiri ucapan hamba yang diuji-Nya.
(mukmin tersebut sentiasa memuji-muji kebesaran Allah s.w.t dengan dia bersabar dan tidak mengeluh)

Berkata Abu Umamah ra. bahawasanya Nabi s.a.w bersabda maksudnya: “Allah telah berfirman: 'Wahai malaikat-ku. Pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya bala'. Maka para malaikat pun menimpakan bala ke atasnya dan orang itu memuji Allah.



Para malaikat lalu kembali mengatakan, 'Wahai Tuhan kami ! Kami telah menimpakan atasnya sebagaimana yang Engkau perintahkan'. Berfirman Tuhan: 'Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apa katanya'.” [Hadis riwayat Thabarani] - Hadis Qudsi.

Keempat: Dibebaskan daripada seksaan api neraka.
Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya ia bersama dengan Rasulullah s.a.w menjenguk orang yang sakit kerana demam, lalu Rasulullah s.a.w Bersabda maksudnya: “Bergembiralah, kerana Allah telah berfirman: 'Itu adalah api-Ku, yang Aku kuasakan terhadap hamba-Ku yang mukmin di dunia agar menduduki (sebagai pengganti) bagian apinya di akhirat'.”
[Hadis riwayat Ibnu Majah] - Hadis Qudsi.

Kelima: Diberikan kesihatan yang lebih baik daripada sebelumnya.
Dari Abu Hurayrah r.a., bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Berfirman Allah Ta’ala: 'Apabila Aku menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mukmin, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat bekerja semula (yakni: setelah semua dosa dan kesalahan yang lalu Allah ampunkan semuanya).” [Hadis riwayat Hakim]

Keenam: Diberikan ganjaran pahala tanpa batas.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas)." [Surah az-Zumar ayat 10]

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya, daripada satu bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah s.a.w dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."

Ketujuh: Mendapat selawat dan rahmat daripada Allah s.w.t
Allah s.w.t berfirman maksudnya: "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." [Surah al-Baqarah, ayat 155-157]

Kelapan: Mendapat balasan syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman yang maksudnya:"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar)." [Hadis riwayat Bukhari]

Kesembilan: Jaminan mendapat pertolongan Allah s.w.t
Firman Allah s.w.t maksudnya: "…jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." [Surah Ali-Imran ayat 125]

Kesepuluh: Diberikan oleh Allah s.w.t sifat penyabar.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.” [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah beruntungnya seseorang mukmin yang memiliki sifat sabar dan dia praktikkan kesabarannya tanpa mengeluh dan bersikap negatif. Sentiasa redha dengan ketentuan Allah s.w.t dan berbaik sangka dengan Allah s.w.t.

Sifat orang fasik dan munafik akan cepat marah dan putus asa dengan rahmat Allah, tidak reda dengan musibah yang menimpa dirinya dan mudah menyalahkan orang lain. Jika kalian berhajat untuk menjadi hamba-hamba Allah s.w.t yang mendapat redha dan rahmat-Nya maka kalian perlulah sentiasa bersabar, tenang dan berfikiran positif dan meyakini setiap sesuatu perkara itu mengandungi 1000 hikmah kebaikan di sisi Allah SWT.

 
-nuuun