Sunday, August 31, 2014

BOLEHKAH PLHIV MENYUSUKAN BAYI MEREKA?


Perkongsian yang dipetik daripada Facebook.
Sila share.




Susu ibu merupakan nutrisi terbaik dan lengkap untuk bayi. Penyusuan susu ibu juga akan merapatkan bonding antara ibu dan bayi.

World Health Organisation (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif, sekurang-kurangnya 8 kali (atau lebih) sehari semalam sehingga bayi berusia 6 bulan.

Para ibu digalakkan untuk meneruskan penyusuan susu ibu walaupun bayi telah diberikan makanan pelengkap (complementary food) sehingga kanak-kanak berusia 2 tahun.

Penyusuan susu ibu oleh ibu yang HIV positif

Terdapat sedikit perbezaan prosedur dan cara penyelesaian.

Perbezaan ini disebabkan oleh Langkah-langkah Pencegahan Jangkitan Ibu Kepada Anak atau Prevention of Mother to Child Transmission (PMCT).

Bagaimana caranya PMCT dilaksanakan?

Jika bakal ibu BELUM disarankan untuk menjalani rawatan Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART), masih terdapat kemungkinan bayi mereka dijangkiti HIV semasa di dalam utero (rahim), melalui placenta (uri), intrapartum (proses kelahiran), dan breastfeeding (penyusuan) susu ibu.

Ini dinamakan vertical transmission (jangkitan secara menegak).

Untuk mengelakkan jangkitan disebabkan oleh vertical transmission, WHO dan KKM menyarankan supaya bakal ibu (PLHIV) dimulakan rawatan HAART semasa mengandung dan jika perlu, bersalin secara Caesarean lebih diutamakan.

Bakal ibu (PLHIV) tersebut akan diberikan rawatan HAART selepas 12 minggu kehamilan sehingga melahirkan anak.




KKM tidak membenarkan penyusuan susu ibu (PLHIV) terhadap bayi mereka, tetapi digantikan dengan penyusuan susu formula atau susuan ibu tumpang yang bebas HIV.

Di samping itu, rawatan pencegahan (prophylaxis) iaitu Zidovudine (syrup) turut diberikan kepada bayi mereka.

Syarat untuk pemberian susu formula adalah seperti berikut:

A – acceptable (boleh diterima)
F – feasible (munasabah)
A – affordable (mampu)
S – sustainable (lestari)
S – safe (selamat)

Oleh sebab itu, KKM menggariskan polisi bahawa semua bayi dan PLHIV yang layak akan dibekalkan dengan susu formula oleh Klinik Kesihatan atau hospital sehinggalah bayi berusia 6 bulan, kecuali jika ibu bapa bayi yang memohon untuk membeli sendiri.

Jika hanya suami yang positif (PLHIV) dan bakal ibu negatif?

Sudah tentu prosedurnya sama sahaja dengan bakal ibu non-PLHIV yang lain.

Info sampingan:

Di negara-negara dunia ketiga (negara-negara miskin dan mundur), disebabkan ramai bayi meninggal dunia akibat malnutrisi dan jangkitan kuman pada sistem penghadaman (gastrointestinal) berbanding jangkitan HIV, WHO MENGGALAKKAN ibu (PLHIV) memberikan penyusuan susu ibu dan ibu tersebut DIMESTIKAN menjalani rawatan antiretroviral therapy (ART).

Hasil maklumat yang terkumpul dan dengan bukti kajian yang mencukupi, didapati HAART boleh mencegah PLHIV daripada menjangkiti bayi mereka dengan HIV.




Saranan terkini WHO Guidelines on HIV & Infant Feeding 2010 menyatakan bahawa PLHIV yang memilih untuk memberikan penyusuan susu ibu, ART atau HAART mesti diteruskan (semasa atau sebelum mengandung) sepanjang hayat dalam usaha untuk mencegah transmisi HIV melalui penyusuan susu ibu.

PLHIV sebagaimana yang di atas MESTI memberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama sekurang-kurangnya 6 bulan, memberikan makanan pelengkap (complementary food) apabila bayi berusia 6 bulan, dan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga usia bayi sekurang-kurangnya 12 bulan.

Apabila hendak menghentikan penyusuan, MESTI menghentikannya secara sedikit demi sedikit dalam masa 1 bulan.

Jika prophylaxis ARV atau HAART diberikan kepada ibu (PLHIV) dan bayi, Antiretroviral (ARV) Prophylaxis tersebut MESTI diteruskan sehingga selepas 1 minggu pemberhentian penyusuan susu ibu.

Bagi ibu PLHIV dengan bayi yang juga disahkan HIV positif, tetap DIGALAKKAN untuk memberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan serta meneruskan penyusuan susu ibu tersebut sekurang-kurangnya hingga usia bayi 24 bulan. Kedua-duanya (ibu dan bayi) MESTI diberikan ART atau HAART.

Walau bagaimanapun, WHO menyarankan setiap negara perlu menetapkan sendiri polisi yang akan diikuti kerana kedua-duanya ada justifikasi masing-masing.

Dasar KKM dalam isu ini?

Setakat ini, KKM masih kekal dengan polisi asal iaitu TIDAK MENGGALAKKAN ibu PLHIV memberikan penyusuan susu ibu. Tetapi, polisi ini akan dinilai dari semasa ke semasa.

Jadi, andaian yang mengatakan bahawa PLHIV tidak boleh berkahwin atau wanita PLHIV tidak boleh melahirkan anak bebas HIV adalah salah.

Cuma bezanya, mereka tidak dibenarkan menyusukan bayi mereka dengan susu badan.

Setiap halangan ada penyelesaiannya. Kenapa ada yang tergamak menghalang PLHIV yang berkemampuan memperolehi zuriat atau menghalang mereka membesarkan sendiri anak-anak mereka?

Lebih malang, ada yang sanggup menghalang anak-anak mereka bergaul dengan anak-anak yang dilahirkan oleh PLHIV tanpa sebab yang munasabah.

Kenapa perlu stigma, diskriminasi, dan judgemental terhadap anak-anak PLHIV? Tidak kiralah sama ada anak-anak mereka juga PLHIV atau non-PLHIV.

Jangkitan HIV bukanlah semudah seperti yang difikirkan.




Semoga nota ringkas ini dapat difahami pembaca.


Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


Wallaahu’alam.


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com