Monday, May 14, 2012

MALAYSIAN AIDS COUNCIL RED RIBBON MEDIA AWARDS 2012 (TERIMA KASIH SEMUA)



Peranan media menyebarkan info yang tepat kepada masyarakat sangat-sangat diperlukan oleh semua pihak. Hubungan yang positif dengan pihak media dan sikap saling menghargai sangat-sangat diperlukan.

Oleh itu, sempena the 20th Anniversary of the Malaysian AIDS Council, pihak MAC telah menganjurkan Red Ribbon Media Awards 2012.

Imbas kembali, aku didiagnos sebagai PLHIV pada 28 Disember 2010 dan mula berblog (berkongsi pengalaman sebagai PLHIV) pada 15 Januari 2011. Sepanjang tempoh tersebut, di sebalik momokan bahawa HIV adalah sangat jijik, hilang harapan, penyakit golongan yang berdosa dan sebagainya, aku memperolehi pelbagai nikmat kehidupan bermakna yang Allah berikan.

Cahaya bagaikan terbentang luas dan warna-warni indah sentiasa menemani kehidupan. Syukur alhamdulillah, sesungguhnya Dia Maha Adil. DiujiNya dengan satu perkara, digandakan dengan nikmat yang sangat-sangat hebat dalam banyak perkara.

Atas desakan beberapa sahabat Positive Warriors Support Group, aku dicadangkan untuk bersaing bagi memperolehi Red Ribbon Media Awards 2012 anjuran MAC tersebut.

Antara kategori yang dicalonkan ialah:

Category 1: Outstanding Achievement in Broadcast Media
Category 2: Outstanding Achievement in Print Media
Category 3: Outstanding Achievement in Non-Traditional Media

Blog kita ini dicalonkan untuk kategori yang ketiga.

Sekalipun prinsip utama aku berblog untuk menyampai nilai-nilai positif dan berkongsi sokongan dengan caraku tanpa apa-apa kepentingan peribadi, tetapi atas dasar menghormati kehendak sahabat-sahabat, aku turutkan sahaja.

Aku rasa langsung tak layak bersaing dalam kategori apa pun kerana blog ini sekadar blog picisan. Malangnya kadang-kadang leteran mereka terhadap keenggananku bersaing tak larat aku layan. Malas nak memanjangkan cerita, aku turutkan sahaja.

Antara yang tidak mengenal jemu meyakinkan aku supaya blog ini turut sama tersenarai ialah Luka Rafieqa, Mizan, dan Survivor. Sudah tentu termasuk keluargaku sendiri.

Barangkali kerana berkat doa semua, aku dipilih sebagai antara calon terakhir penerima awards anjuran MAC tersebut pada 12 May 2012 di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Jemputan untuk menghadiri serta mengetahui pemenang kategori yang dicalonkan menggelisahkan aku.

Bukan soal menang atau kalah. Orang kampung macam aku apabila diminta berada dalam majlis sebesar itu sangat-sangat mendebarkan. Aku sangat-sangat inferior, tak pandai bawa diri. Tambahan pihak media yang bertanding hebat-hebat belaka.

Aku dikehendaki hadir menjelang pukul 7:30 malam ke sana. Petang itu aku dan isteri-isteri, anak sulung, dan Survivor bertolak ke Kuala Lumpur. Sampai di Kuala Lumpur, kami singgah sebentar di rumah Luka Rafieqa atas beberapa keperluan dan kemudian singgah pula di rumah sahabat Positive Warriors yang seterusnya, Mizan.

Mizan bersungguh-sungguh untuk turut hadir memberi sokongan. Terharu dengan layanan mereka sekeluarga walaupun kehadiran kami dalam keadaan kelam-kabut dan isteri beliau baru sahaja discharged dari hospital.

Terasa malu juga kerana kami agak lewat sampai. Masalah utamanya kerana aku tidak begitu mahir dengan dengan trafik di KL dan terperangkap dalam kesesakan sejak mula sampai di KL pada petang hujung minggu tersebut.

Alhamdulillah, akhirnya blog kita dipilih sebagai pemenang dan bagi aku, kemenangan tersebut adalah kemenangan semua pihak, terutama kepada semua Positive Warriors dan sahabat-sahabat PLHIV.

Tidak kira siapapun kita dan apa pun punca jangkitan kita, kita makhluk yang sama di sisi Tuhan. Bangkitlah dan pandanglah ke depan secara positif dan percayalah bahawa Allah tidak pernah zalim kepada hamba-hambaNya. Kenapa perlu diratap kepada perkara yang tak perlu?

Aku harap kemenangan ini memberi motivasi kepada semua sahabat PLHIV yang lain dan menyedarkan mereka bahawa ratapan tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Gunakan apa sahaja medium dan syukuri segala nikmat yang Tuhan pinjamkan ini secara bermakna. Ya, kita memang PLHIV, so what? Bangkitlah berjuang. Jangan hanya tahu mengharapkan simpati.

Berikut adalah keputusan penuh Red Ribbon Media Awards 2012:

Category 1: Outstanding Achievement in Broadcast Media
“360: Jangan Pisahkan Kami” (TV3);
Mohd Said Abdullah Thani (Executive Producer)

Category 2: Outstanding Achievement in Print Media
“Don’t Blow Your Future”; (The Star)
Ivy Soon, Melody L. Goh, Niki Cheong, Sharmila Nair, Nasa Maria Entaban, Ian Yee, and Qishin Tariq

Category 3: Outstanding Achievement in Non-Traditional Media
“Aku HIV Positif”; (Blog)
AHP (Blog Contributor)
Blog http://akuhivpositif.blogspot.com containing personal accounts and ruminations of a blogger living with HIV.

Memang sungguh meriah dan bermakna majlis tersebut. Aku berpeluang menjalin persahabatan dan mengukuhkan persahabatan sedia ada dengan ramai pihak.

Cuma malangnya akibat terlalu nervous, aku blur apabila ditemubual oleh pihak media sekalipun cuba dibantu oleh Luka Rafieqa. (Luka Rafieqa, tolong maafkan orang kampung yang seorang ni. Tak mengapa, lain kali saya akan baiki kelemahan tersebut. Hehehe…)

Akhir kata daripada aku, tahniah kepada semua pemenang (pihak media) yang bertanding. Tiada sesiapa yang kalah dalam perjuangan menyebarkan maklumat positif kepada masyarakat.

Terima kasih yang tidak terkira kepada pihak MAC, (kalau aku senaraikan, tidak tersenarai nama-nama insan mulia yang banyak berjasa, memberikan pertolongan, sokongan dan sudi menerimaku).

Terima kasih sahabat-sahabat Positive Warriors dan para pembaca blog ini.

Tidak sesekali dilupakan, terima kasih to my best doctor, Dr. Iskandar Firzada bin Osman yang turut sama memberikan sokongan selama ini.

Pulang dari majlis tersebut, seperti biasa, Survivor setia mengiringi kami kembali ke Temerloh dan turut ditemani Laila Isabella untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama kami sekeluarga.

AHP: Jumpa lagi. Maaf dalam keadaan kepenatan yang amat sangat.