Ramai yang bertanya, apa bezanya blog ini dengan websites lain yang menyediakan info yang sama? Malahan info mereka lebih informatif.
Mudah sahaja, blog ini daripada seorang PLHIV untuk PLHIV. Blog berbahasa Melayu yang mengekalkan tradisi kemelayuan dan nilai-nilai Islamic secara santai. Tak ada gebang lebih-lebih. Tak ada yang konon-konon lebih Mat Salleh daripada orang putih. Yang penting, objektif untuk membantu.
Ramai juga yang mula komplen kerana aku semakin jarang berkongsi pengalaman peribadiku sebagai seorang PLHIV.
Ermmphh.. macamana aku nak jelaskan ya? Pengalaman bagaimana? Kalau pengalaman syahdu syahdan, mendayu-dayu dan melankolik memang dah lama tak ada.
Hakikatnya aku pun tak tahu pengalaman bagaimana yang aku perlu kongsikan kerana segala-galanya terlalu biasa, sama seperti insan lain.
Kesemuanya sangat-sangat biasa bahkan jika tidak kerana perlu patuh kepada jadual pengambilan HAART dan melunaskan temujanji rawatan rasanya aku terlupa terus yang aku ini seorang PLHIV.
Yang pasti dengan HIV aku lebih menghargai dan menikmati kehidupan. Bahkan kehidupanku bertukar menjadi sangat-sangat sibuk.
Setiap hari sentiasa terkejar-kejar cuba melakukan banyak perkara. Seumpama hari ini adalah hari terakhirku. Umpama kanak-kanak yang teruja melihat sekotak coklat kegemaran di depan mata. Syukur alhamdulillah….
Bagi aku, yang penting usaha, doa dan tawakal. Selebihnya nikmati dan hargai sahaja masa-masa yang dipinjamkan. Hidup memang hanya sementara. Tiap manusia punya nyawa dan pergi dengan cara tersendiri yang telah ditentukan. So, lebih baik mati bermaruah dan dalam mencari keredhaan Allah.
Selain itu aku sentiasa cuba menghindari stress, negative thinking dan conflict dalam kehidupanku. Aku tak suka berat-beratkan kepala. Perkara remah temeh aku hindari dan yang babitkan emosi aku jauhi.
Selera makan aku seperti biasa. Bahkan agaknya kalaulah tidak kerana diabetes dan terpaksa kawal makan, aku yakin badan aku akan naik seperti belon.
Aku juga sangat ambil berat tentang senaman. Perlu aku ingatkan bahawa senaman sangat-sangat penting terutama kepada PLHIV. Terpulang kepada kita memilih senaman yang sesuai dengan usia dan diri masing-masing.
Seboleh-bolehnya aku bersenam 30 minit setiap hari. Bukan bersenam apa sangat pun sekadar berjalan pantas di mesin treadmill di samping beberapa senaman ringan membina otot dan stamina. Alhamdulillah aku rasa lebih cergas dan berkeyakinan.
Tak ada masalah langsung ke?
Mestilah ada… mana boleh tak ada. Semua manusia ada masalah sama ada PLHIV atau non PLHIV. Sikit-sikit tu biasalah. Aku ada macam-macam penyakit kronik. Penyakit-penyakit yang seumpama time bomb dan berumur 45 tahun, faham-faham sahajalah…
Tapi fikirlah macamana pun, hanya Allah jua yang Maha Menentukan.
Seperti yang aku bagitahu tadi, masalah remeh temeh tak payahlah besar-besarkan sangat. Jangan nak manjakan diri terlampau-lampau.
Cintakan dunia pun sejenis ujian iman yang lebih teruk daripada ujian ketagihan dadah, kecenderungan seksualiti atau dijangkiti HIV. Mari muhasabah diri tentang tujuan kita diciptakan dan untuk apa kita dipilih sebagai khalifah.
Walaupun aku tak ada masalah tetapi jika terlalu kepenatan, tak cukup rehat dan berterusan selama berminggu-minggu memang akhirnya bertukar menjadi stress juga.
Jadi sahabat-sahabat kena faham jika sesekali aku tidak aktif berblog, facebook aku senyap sunyi, SMS lambat berbalas dan panggilan telefon kadang-kadang tak berjawab. Aku penat sampai ke tahap nak bercakap pun tak ada mood.
Akaun facebook peribadi yang baru aku buka tu sebenarnya sebagai komitmen aku untuk membantu Positive Warriors Support Group Facebook sebagai salah seorang admin. Sesekali mungkinlah aku jengok tapi tak adalah kerap sangat.
Kalau aku berikan banyak tumpuan, mana nak cari ruang peribadi dan keluarga. Lebih membimbangkan jika blog ini terabai akhirnya.
Yang penting, kepada yang berminat boleh hubungi sahabat-sahabatku sebagai admin yang lain di sana. Mereka sedia membantu apa-apa keperluan. Apa-apa pun perlu diingatkan bahawa pandangan setiap admin di facebook tersebut tidak mewakili pandangan peribadiku.
Komitmen bersama komuniti
Sejak menjadi PLHIV juga Allah anugerahkan aku dengan pelbagai nikmat. Ada yang tak pernah aku bayangkan dapat dicapai pun, Allah kabulkan juga. Alhamdulillah, barangkali semua ini kerana berkat doa semua. Dengan izin Allah tiada yang mustahil.
Jadi selepas melalui beberapa fasa sebagai PLHIV dalam kehidupanku, kini sampai ke tahap aku selesa menghabiskan banyak masa bersama komuniti.
Walaupun aku tidak seaktif dulu publish entries baru, namun hakikatnya aktivitiku bersama komuniti tak putus-putus. Rumah sentiasa bertali arus dengan kunjungan, temujanji, panggilan telefon, SMS dan ziarah. Sesekali jika berkesempatan dan mampu aku menghadiri mana-mana jemputan NGO’s tertentu.
Berdepan dengan pelbagai karenah dan ragam setiap individu atau organisasi menjadikan aku lebih merasakan kebesaran Allah.
Selain itu aku berazam untuk lebih aktif sebagai geng surau. Sekurang-kurang dapat join solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Sambil-sambil tu dapat juga menyertai majlis ilmu atau tazkirah. Ada juga pengisian rohani. Jomlah, boleh tumpang chopper buruk aku. Hehehe…
Ingat ya, kekuatan sebenar kita ialah dengan cara menjaga perhubungan dengan Allah. Solat mesti cukup dan sempurna. Tak boleh main logic dan teori sahaja. Kosong.
Kekuatan datang apabila usaha disertai dengan doa dan pertolonganNya. Tanpa bantuan Allah, tak ada maknanya semua perjuangan kita. Akhirnya mungkin kembali dan berterusan dengan segala perbuatan mungkar. Nau’zubillahi min zaalik!