Tuesday, May 15, 2012

HIV: MENULIS BUKAN KERANA NAMA


Ramai yang bertanya, bagaimana perasaanku apabila menerima Red Ribbon Award anjuran MAC 2012. Sejujurnya memang aku gembira tetapi gembira untuk komuniti.

Maksudnya?

Jika anugerah tersebut memberikan kegembiraan dan inspirasi kepada komuniti maka aku turut gembira. Jika sekadar untuk mengejar popularity, tidak ada maknanya.

Jadi aku sangat berharap anugerah tersebut memberi sumber inspirasi kepada sahabat-sahabat PLHIV untuk terus hidup secara positif, bangkit berjuang menentang stigma, judgemental dan diskriminasi…

Prinsip aku mudah sahaja, berblog bukan komitmen bermusim. Bukan untuk mengejar pengiktirafan. Sama ada dengan pujian atau kejian, pengiktirafan atau tentangan, itu bukan isu. Blog adalah cara aku berjuang. Perjuangan tetap diteruskan selagi berkesempatan dan mampu. “Tak hidup dek puji dan tak mati dek keji.”

Jika aku sebagai PLHIV mampu membuktikan bahawa masyarakat boleh menerima kita jika kita bersikap positif, aku berharap sahabat-sahabat juga begitu. Mari sama-sama berjuang.

Kelebihan peribadi kepadaku hanyalah sedikit imbuhan kewangan untuk melunaskan beberapa beban bil yang tertunggak dan atas keperluan komuniti yang lain. Sekurang-kurangnya dapatlah melepaskan lelah buat seketika.

Tidak gembira? Gembira… tetapi terlampau banyak perkara yang perlu diberikan tumpuan.  Tiada masa dibuai mimpi dan angan-angan. Masa sangat-sangat berharga.

Pentingnya kemenangan tersebut membuka peluang kepadaku menjalinkan silaturrahim dan bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu khususnya NGO’s, kumpulan sokongan, peers dan outreach berkaitan PLHIV. Kesemuanya demi kepentingan komuniti.

Untuk segalanya itu, aku memang sangat-sangat terhutang budi kepada pihak MAC yang memberikan ruang dan peluang.

Sahabat-sahabat PLHIV,

Hidup jangan hanya meratap nasib apabila diuji. Kita sendiri yang perlu bangkit memahami HIV, mematuhi jadual rawatan, menghargai kehidupan, dan saling sokong-menyokong membantu antara satu sama lain. Kita mesti pandai menyaring maklumat.

Usah gentar pada usia kerana setiap insan punya takdir dan ajal yang tersendiri. Memang pun hidup ini terlalu singkat, bersifat sementara, dan tanpa makna jika tidak berpaksikan akhirat.

Kenapa sahabat-sahabat perlu kecewa dan putus asa jika masih sihat dan muda?

Aku sudah buktikan, walaupun baru setahun setengah didiagnos sebagai PLHIV, telah berusia, punya macam-macam penyakit kronik, pernah berdepan dengan rasa ketakutan dan keliru yang sama, tetapi masih mampu meneruskan kehidupan  seperti biasa.

Bahkan dalam beberapa aspek, kehidupanku menjadi jauh lebih indah.  Anugerah dan kasih sayang Allah melimpah ruah. Itu yang lebih bermakna.

Jika sahabat-sahabat merasakan diri terlalu malang, cuba salami pengalaman sahabat-sahabat PLHIV lain yang jauh lebih hebat seperti Luka Rafieqa, Atuk, Kak Jamaliah, Kak Lela, Puan Seroja, dan ramai lagi. Mereka sentiasa sudi berkongsi dan membantu.

Jika masih kabur, cuba selami pula ujian-ujian hebat yang terpaksa dihadapi oleh pesakit-pesakit kronik lain yang lebih menderita. Jika tetap kabur dan merintih, nampaknya sahabat-sahabat paranoia dan perlukan kaunselor. Tetapi datanglah kaunselor dari langit sekalipun, keadaan tidak akan berubah selagi tuan punya badan enggan berubah.

Akhir kata, anugerah ini bukanlah sebagai pengiktirafan kepada aku secara individu, tetapi untuk semua PLHIV, Positive Warriors Support Group, dan kepada semua penyokong dan pembaca blog ini.


AHP: Daripada kita, untuk kita.