Monday, August 01, 2011

KHUTBAH RASULULLAH MENGENAI RAMADHAN


Sempena Menyambut Ramadhan Al Mubarak ini aku kongsikan sebuah tazkirah yang sangat berharga dari sebuah blog yang sering aku kunjungi setiap kali mencari pengisian rohani sejak sebelum aku didiagnos sebagi pembawa HIV lagi.

Mari baca:





بسم الله الرحمن الرحيم
"Wahai manusia, sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan membawa berkah rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam yang paling utama.

Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh~Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu ibadah, amal-amalmu diterima dan doa-doamu diijabah. Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca Kitab~Nya.

Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin. Muliakanlah orang tuamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya. Kasihilah anak-anak yatim, nescaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu.

Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba~Nya dengan penuh kasih; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru~Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil~Nya dan mengabulkan doa mereka ketika mereka berdoa kepada~Nya.

Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Belakangmu berat kerana beban (dosa)-mu, maka ringankanlah dengan memperpanjangkan sujudmu.

Ketahuilah, Allah Ta’ala bersumpah dengan segala kebesaran~Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabbal-alamin.

Wahai manusia, barangsiapa di antaramu memberi berbuka kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan dia diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.

(Seorang sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, tidaklah kami semua mampu berbuat demikian." Rasulullah meneruskan khutbahnya:)

Jagalah dirimu dari api neraka walau pun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walau pun hanya dengan seteguk air.

Wahai manusia, siapa yang membaguskan akhlaknya di bulan ini, ia akan berhasil melalui Sirathal Mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan~Nya di hari kiamat. Barangsiapa menahan kejelekannya di bulan ini, Allah akan menahan murka~Nya pada hari ia berjumpa dengan~Nya.

Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakanya pada hari ia berjumpa dengan~Nya. Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahmi) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat~Nya pada hari ia berjumpa dengan~Nya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat~Nya pada hari ia berjumpa dengan~Nya.

Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan solat fardu baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu di bulan lain.

Barangsiapa memperbanyak shalawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa di bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar ia tidak lagi pernah menguasaimu."

Aku (Ali bin Abi Thalib karamaLlahu wajhah - yang meriwayatkan hadith ini) berdiri dan berkata,

"Ya Rasulullah, apa amal yang paling utama di bulan ini?"

Jawab Nabi, "Ya Abal Hasan, amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah."

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK BUAT TEMAN SEMUA.. 

Jazakallah khier kepada:


AHP: Sempena ramadhan penuh keberkatan ini, marilah kita mengambil segala peluang di kesempatan yang ada untuk memuhasah dan memperbaiki diri dalam mencari keredhaan Ilahi.

Rebutlah segala segala peluang ibadah, sama ada fardhu atau sunat seperti menunaikan puasa bagi yang berkemampuan, menghidupkan ramadhan dengan solat sunat tarawih, tadarus, qiamul lail, bersedeqah dan ibadah-ibadah sunat yang lain.

Antara keistimewaan ramadhan yang sangat hebat ialah Malam Lailatul Qadr, yang ganjaran pahalanya menyamai seribu bulan. (Lebih kurang 83 tahun, 4 bulan). Bayangkan ganjaran pahalanya seolah-olah kita beribadah dan berdoa selama itu. Allah suka hamba-hambaNya yang berdosa dan merayu keampunan serta pertolonganNya.

Insya-Allah ibadah yang ikhlas dalam mencari keredhaan Allah ini, kita akan beroleh kekuatan dan keberkatan dan berkekalan sepanjang hayat. Semoga ramadhan ini menjadi turning point kepada kita memperbaiki diri dan memulakan hidup baru.

Jangan diikut sangat rasa tak larat atau malas tu. Kita bukan tahu sama ada kita berpeluang lagi atau tidak di masa-masa akan datang. Jika tidak mampu melakukannya seperti orang lain yang betul-betul cergas, buatlah mengikut kemampuan diri.

Tak larat berpuasa, kita buat solat sunat tarawih. Tak mampu solat berdiri bersama jamaah lain, kita duduk. Tak mampu ke surau atau masjid, buat di rumah. Tak larat bertadarus sehingga satu juzuk, kita membaca 1 atau 2 ayat tiap kali lepas solat dan sebagainya.  

Pesanan ini tanda aku sangat-sangat aku menyayangi para sahabat.  

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN YANG PENUH KEBERKATAN DARIPADA KAMI SEKELUARGA.