Friday, August 12, 2011

TAZKIRAH SEORANG PEMBAWA HIV: BERSYUKURLAH ANDA TERPILIH


Assalamualaikum wrh wbk.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Tidak kira siapapun anda, andalah sahabat-sahabatku yang tercinta. Di kesempatan yang ada, izinkan aku yang serba hina di sisiNya ini menyampaikan sebuah tazkirah serba ringkas sebagai peringatan kita bersama.

Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”  [Surah Al-Ankabut, ayat 2-3]

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah

Segala ujian Allah bukanlah perkara yang sia-sia. Jauh sekali merupakan satu bentuk ketidakadilan Allah s.w.t. Kita pasti diuji sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan.

Ujian dalam bentuk kesenangan sebenarnya jauh lebih sukar. Ramai manusia yang lalai, kufur nikmat dan kufur hakikat akibat limpahan kemewahan, kuasa, kemasyhuran, kesihatan dan lain-lain bentuk nikmat dunia.

Mereka menjadi angkuh, takkabbur dan riak sehingga terlupa bahawa segala sifat kebesaran itu hanya milik Allah. Akidah kadangkala terpesong tanpa disedari. Mereka terlalu cintakan dunia sehingga terlalu takutkan kematian dan akhirat yang pasti.

Demi kecintaan dan kelangsungan terhadap nikmat dunia yang fana ini, ada yang sanggup berterusan melakukan dosa-dosa besar sehingga ke akhir hayat seperti menipu rakyat, menganiaya, mengamalkan riba, rasuah, terlibat dengan khurafat, membunuh dan apa saja. Lebih keji apabila mereka tenggelam dalam lembah kemaksiatan sehingga ke akhir hayat.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Ujian dalam bentuk kesusahan pula Allah uji kita dengan musibah seperti keruntuhan rumahtangga, kematian insan tersayang, dianugerahkan zuriat yang cacat, suami/ isteri yang mengalami penyakit mental, menghidap pelbagai penyakit kronik, papa kedana, menjadi mangsa fitnah, ditimpa kemalangan yang mengorbankan semua anggota keluarga, menjadi seorang pembawa HIV dan sebagainya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” [Surah Al-Baqarah, ayat 216]

Ujian terhadap kita sebagai pembawa HIV sebenarnya sangat ringan berbanding ujian terhadap insan-insan lain yang jauh lebih teruji. Ianya masih boleh dirawat. Masih boleh dilawan dengan kekuatan rohani, spiritual, dan fizikal serta berbaik sangka terhadap Allah s.w.t.

Malangnya apabila terlalu memikirkan kepentingan diri dan gagal melihat sesuatu hikmah di sebalik ketentuan Allah, kita terasa bahawa diri kita sahajalah yang paling malang dan menderita.

Hakikatnya jika kita sabar dan redha dengan rahmat Allah, kita sepatutnya bersyukur dipilih menerima didikan serta mendapat teguran direct daripada Allah s.w.t. Bukankah ini tanda kasih sayangnya terhadap kita? Apakah lagi yang lebih berharga selain daripada redha dan kasih sayang Allah?

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,   
             
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Orang yang cerdas ialah orang yang mengendalikan dirinya dan bekerja untuk kehidupan setelah kematian.”  [HR Tirmidzi]

Apabila menjadi seorang pembawa HIV, setiap detik dan perlakuan kita sentiasa dirantai dengan kasih sayang Allah. Baring, bangun, jaga, lena, makan, minum dan apa saja perlakuan sentiasa terikat dengan kebesaran Allah dan kematian.

Adakah sahabat-sahabat mengerti bahawa dengan mengingati kematian menjadikan kita orang yang lebih bersyukur, berlemah lembut, jujur, tekun, bersungguh-sungguh, istiqamah dan penuh nilai positif dalam kehidupan?

Sesungguhnya dengan mengingati kematian menjadikan kita lebih berjaya dan menghargai kehidupan.

Sama ada ada HIV atau tidak, sihat atau sakit, tua atau muda, berkuasa atau marhaen, kaya atau miskin dan bersedia atau tidak, semuanya pasti mati apabila sampai waktunya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” [Al-Jumu’ah:8]

Mengingati mati dan bersedia untuk mati jauh sekali bermaksud kita lemah dan berputus asa. Rasulullah, para sahabat baginda dan orang-orang yang beriman sentiasa mengingati mati dan cintakan kematian.

Mereka adalah pemimpin dunia dan pahlawan yang hebat, yang menyerahkan seluruh hidup mereka demi mencari keredhaan Allah. Ingatlah, hakikatnya Malaikat Izrael sentiasa menziarahi kita sebanyak 70 kali dalam sehari dan bersedia melaksanakan tugasnya tanpa kita sedari.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,  
          
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” [Surah Al-Baqarah, ayat 286]

Di sebalik segala ujian ada hikmahnya. Jika kita menderita ramai lagi golongan yang lebih menderita tetapi mereka tetap sabar dan redha. Kenapa kita tidak belajar daripada ketabahan mereka? Kita wajib berpegang kepada dalil naqli ini. Allah tidak pernah zalim, sahabat-sahabatku.

Diuji dengan HIV terutama kerana dikaitkan dengan perlakuan keji yang kononnya akibat pembalasan atas segala dosa seringkali tidak dapat diterima di peringkat awal.

Kita dilanda resah dan gelisah, diburu ketakutan dan sesalan terhadap kealpaan silam. Tidak mengapa, itu norma biasa kita sebagai manusia.

Tetapi perlahan-lahan bangkitlah, terima segala teguran dan ambillah segala peluang yang ada untuk memuhasabah dan mengubah gaya hidup supaya menjadi insan yang bertaqwa. Menjadi insan yang lebih baik daripada semalam.

Ingat firman Allah yang bermaksud:
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” [Surah Ali-Imran, ayat 139]

Usah terlalu risau terhadap masa depan yang sememangnya bukan di bawah kawalan kita. Kita sekadar hambaNya yang mampu merancang. Dia yang Maha Maha Perencana. Kita berusaha, biar Allah yang tentukan selebihnya.

Hanya Dia yang Maha Menjaga dan Maha Memelihara. Akuilah hidup ini bersifat fana [sementara] dan di sanalah perjalanan kita yang hakiki.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Ingatlah, segala ujian dan musibah Allah umumnya terbahagi kepada tiga iaitu Musibah kafarah, bala’, dan Ibtila’.

Musibah kafarah berlaku ke atas hamba-hambaNya yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian atau kealpaan dan gagal mengawal nafsu.

Kita anggaplah ujian kafarah memang untuk kita. Kita hanya insan biasa yang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Musibah ini Allah berikan sebagai tebusan terhadap segala dosa kita. Berdosa adalah pasti sama ada kita sedari atau tidak dan walaupun tidak diketahui oleh orang lain.

Musibah bala’ adalah ujian yang dikenakan ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan dan diturunkan sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum dengan lebih berat lagi di akhirat kelak.

Musibah bala’ sebenarnya tiada kaitan dengan kita jika kita belajar daripada kesilapan dan kealpaan lalu.

Tetapi alangkah malangnya jika ianya benar-benar menjadi bala’ akibat sikap kita yang enggan memperbaiki diri setelah diberi peringatan. Tetap angkuh, tenggelam dan larut dengan kelazatan maksiat, berputus asa dan tidak redha dengan ujianNya. Na'uzubillahu min zaalik.

Musibah ibtila’ pula berlaku ke atas orang-orang baik ketika dia melakukan kebaikan sebagai tanda kasih sayang Allah bagi meninggikan darjat hamba-hambaNya yang beriman kepadaNya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w, [Kekasih Allah] sendiri diuji Allah dengan segala macam fitnah, pemulauan, penderitaan dan penghinaan. Inikan pula kita insan yang hina.

Musibah ibtila’ juga mungkin untuk pasangan, keluarga dan bayi yang dijangkiti. Apalah dosanya bayi-bayi yang turut dijangkiti HIV. Anak-anak malang ini turut dicemuh dan dikutuk oleh mereka yang merasakan diri mereka cukup mulia.

Siapalah kita untuk mempertikaikan teguran Allah? Apa sangatlah ujian-ujian yang kita hadapi berbanding ujian yang dihadapi baginda Rasulullah?

Bukankah ini satu lagi bukti Allah sangat menyayangi kita dan memilih kita sebagai insan istimewa? Kerana istimewalah kita diberi peringatan. Syukurlah kita tidak dibiarkan berterusan menzalimi diri sendiri.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Redha dan sabarlah dengan ujian Allah untuk mendapatkan ganjaran yang berlipatkali ganda. Jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah kerana Allah suka kepada hamba-hambaNya yang merayu dan meminta belas kasihan daripadaNya. Itulah sebahagian daripada lambang pengabdian dan penyerahan diri terhadapNya.

Untuk merawat kesihatan diri, adalah lebih penting kita terlebih dahulu merawat kekosongan rohani. Peliharalah solat, perbanyakkan solat sunat taubah, membaca al Qur’an, zikir, selawat, ayat-ayat syifa’ dan berdoa.

Doa itu senjata mukmin. Tiada kekuatan sebenar tanpa kekuatan rohani. Apa digentar kepada virus yang juga sekadar makhluk ciptaan Allah?

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” [Surah Al-Baqarah, ayat 45]

Bukan itu sahaja, solat yang didirikan dengan penuh kesedaran, sempurna   dan ikhlas akan menghindarkan kita serta membantu kita melawan godaan untuk kembali ke lembah kealpaan yang membinasakan.

Penyerahan diri secara total, kekuatan rohani yang dibina, bersikap dan berfikiran positif, berdisiplin menjaga pemakanan dan kesihatan diri serta kepatuhan terhadap rejim rawatan akan menjadikan kita lebih sihat daripada orang lain, insya-Allah...

Ada di kalangan pembawa HIV yang hidup dengan sihat sehingga berpuluh tahun. Bukankah itu tanda syifa’ dan pertolongan Allah?

Maka benarlah sahabat-sahabatku maksud firman Allah:
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.” [Surah At-Taubah, ayat 129]

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Manusia yang beriman tidak mengenal putus asa dalam perjuangan. Mereka berazam untuk pergi dalam keadaan bermaruah dan diredhai Allah. Mereka mahu pergi sebagai pejuang. Mereka mahu pergi dalam keadaan suci bersih dan bertaubat nasuha daripada segala dosa dan kealpaan.

Jangan sesekali berputus asa kerana Allah telah memberi peringatan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“... dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” [Surah Yusuf, ayat 8]

Mari kita lihat segala ujian ini melalui perspektif yang berbeza. Anggaplah ianya sebagai satu rahmat dan permulaan baru. Bukan sebagai bala’ dan pengakhir kepada segala-galanya. Sesungguhnya setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati.

Maksud Firman Allah lagi:
“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” [Surah al-Syu’ara]

Akhir kata sahabat-sahabatku yang tercinta,

Marilah kita kembali ke pangkal jalan. Berbaik sangka terhadap kebesaran dan keadilan Allah. Anggaplah segala cemuhan, sinis, stigma, diskriminasi dan sikap judgmental sebahagian daripada anggota masyarakat sebagai resipi untuk menambahkan pahala dan menguatkan mental kita sebagai insan istimewa. Tak perlu jadikannya sebagai kudis kepada perjuangan kita.

Terimalah hakikat bahawa ini ujian kita. Jika sesekali hati diperbolak-balikkan, ingatlah itu hanya bisikan syaitan dan manusia yang keji dan mahu meyesatkan. Maksud firman Allah:
“...Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, Iaitu pembisik dan penghasut dari kalangan jin dan manusia.”  [Surah an-Nas, 6-7]

Merayulah pertolongan dan perlindungan Allah ketika bersedih, ketakutan dan ragu-ragu.

Jangan sesekali meletakkan pergantungan secara total kepada sesama makhluk kerana setiap makhluk ada had kemampuannya. Manusia menolong tetapi Allah Maha Penolong dan sebaik-baik pemberi pertolongan.

Di kesempatan yang ada ini juga aku menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat yang dikasihi, marilah kita bersungguh-sungguh menghargai anak, isteri, suami, seluruh ahli keluarga dan insan-insan mulia yang telah membantu kita.

Mereka terlalu banyak berkorban dan berjasa kepada kita.   Rebutlah segala peluang yang ada untuk melakukan kebajikan yang berkekalan.

Yakinlah dengan janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Oleh itu, maka tetapkanlah kepercayaanmu bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, Sekali lagi ditegaskan bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” [Surah Al-Insyirah, ayat 5-6]

Bantulah rakan-rakan senasib kerana jika kita sendiri tidak membantu mereka, usahlah terlalu mengharap orang-orang yang sihat di luar sana akan memahami dan membantu.

Kadangkala sedikit bantuan dan sokongan mungkin telah menyelamatkan akidah, sebuah rumahtangga dan satu nyawa. Adakah ketika sihat kita pernah terfikir untuk mendapat peluang hebat sebegini?

Ujian dalam bentuk kesenangan sepatutnya menjadikan kita lebih bersyukur dan tawadhu‘. Ujian dalam bentuk kesusahan pula sepatutnya menjadikan kita hamba-Nya yang lebih kuat, mulia, diredhai, sabar dan redha.

Akhir kata renungkan kata-kataku ini:
“Sikap positif adalah umpama CD4 yang perlu dipertingkatkan dan sikap negatif umpama Viral Load yang mesti dimusnahkan.”

Mohon maaf jika ada sebarang terlanjur kata.


Daripada:
AKU HIV POSITIF (AHP) UNTUK SAHABAT-SAHABAT HIV POSITIF YANG TERCINTA.