Umpama sebuah karnival yang menganjurkan jualan mega dengan bermacam-macam tawaran dan diskaun luarbiasa, ianya sukar dilepaskan begitu sahaja bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah swt.
Untuk mengetahui segala keberkatan dan kelebihan ramadhan, para pembaca boleh rujuk mana-mana kitab muktabar, buku panduan Ihya’ Ramadhan atau paling mudah google sahaja mana-mana tazkirah dan entry yang berkaitan fadhilat, kelebihan dan kemuliaan ramadhan.
Satu lagi kelebihan ramadhan yang sangat luar biasa sudah tentulah Malam Lailatul Qadar, sebuah malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Beruntunglah sesiapa yang memperolehinya kerana pahalanya seolah-olah kita telah berdoa dan beribadah selama lebih kurang 83 tahun 4 bulan. Umur sendiripun belum tentu sepanjang itu.
Segala amalan dan doa yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah, insya-Allah akan diterima. Pintu keberkatan akan terbuka dan segala permohonan dan rayuan kita akan didengar oleh Allah swt. Sesiapa sahaja yang tekun menunaikan ibadah sepanjang ramadhan insya-Allah akan bertemu dengan malam istimewa ini.
Jadi rebutlah peluang, mengadu dan mohonlah apa sahaja. Jika selama ini kita asyik mengharapkan pertolongan sesama makhluk, apakata kali ini kita mengadu dan mohon pula segala kekuatan daripada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mendengar segala permohonan.
Peringatan untuk diri sendiri, janganlah hendaknya sekadar memohon doa murah rezeki dan sihat tubuh badan tetapi mohonlah juga kebahagiaan hakiki dunia dan akhirat. Dunia ini sekadar sementara dan di sanalah kehidupan abadi.
Kita terlalu mengejar sesuatu yang bersifat sementara sebaliknya perkara yang kekal abadi kita abaikan. Kita sering takutkan kehilangan penghormatan sesama manusia tetapi kedudukan di sisi Allah tidal kita risaukan. Zalim pada diri sendiri namanya tu.
Fokus entry….
Antara dilemma sering dihadapi oleh seorang pembawa HIV terutama yang telah menjalani rawatan HAART ialah ketidakpastian sama ada mereka boleh berpuasa ataupun tidak?
Jika bukan disebabkan mengambil HAART sekalipun ada pendapat yang mengatakan bahawa pembawa HIV tidak perlu berpuasa. Alasan mereka sistem imuniti badan pembawa HIV yang sedia lemah menjadi semakin lemah tanpa nutrisi yang mencukupi.
Malahan terdapat aduan di kalangan pembawa HIV sendiri bahawa berpuasa telah mengakibatkan tahap kesihatan mereka merosot selepas bulan ramadhan. Maksudnya puasa telah melemahkan sistem imuniti badan mereka.
Kombinasi HAART pula perlu diambil setiap 12 jam. Contoh, sekali diambil pada pukul 9 pagi dan sekali lagi pada pukul 9 malam. Keperluan mengambilnya secara teratur adalah mandatory. Ianya bertujuan memastikan HAART berfungsi dan virus tidak resistant atau bermutasi terhadap kombinasi HAART.
Punca utama HAART gagal meningkatkan CD4 dan mengekang virus adalah berpunca daripada kegagalan pembawa HIV mematuhi jadual pengambilannya secara teratur dan tepat.
Masalah utama di bulan ramadhan ialah waktu berbuka dan bersahurnya berbeza dan ini menghalang para pengguna HAART menjaga disiplin waktu pengambilan HAART.
Sebagai contoh, waktu berbuka pada pukul 7:30pm dan waktu bersahur pula kita andaikan pada pukul 5:30am. Ianya tidak tepat seperti dalam jangkamasa 12 jam yang disarankan.
Situasi tersebut automatically memberi kesan kepada aturan jadual pengambilan HAART sedia ada dan membentuk satu jurang waktu yang sangat ketara (sekitar 2 jam).
Walau bagaimanapun ianya masih subjektif kerana turut bergantung kepada beberapa faktor sampingan seperti setakat mana ketepatan dan teraturnya pembawa HIV itu sendiri mengambil HAART, menjaga kesihatan diri, mengamalkan cara hidup yang sihat, berfikiran positif dan sebagainya.
Antara penyelesaian paling popular ialah pembawa HIV terutama yang mengambil HAART disarankan supaya tidak berpuasa dan situasi tersebut dianggap dharurah. Allah tidak pernah zalim terhadap perkara yang di luar kemampuan kita. Pembawa HIV boleh menggantikannya dengan fidyah.
Berdasarkan situasi tersebut juga bermakna para pembawa HIV terutama yang mengambil HAART tidak lagi dapat berpuasa seumur hidup. Jika enggan, segala risiko tanggung sendiri. Setakat ini penyelesaian tersebut paling popular.
Sebagai individu tanpa kemahiran asas di bidang perubatan aku menghormati dan dan akur dengan penyelesaian di atas tetapi adakah betul tiada langsung penyelesaian lain? Jika ada, bagaimana justifikasi dan pendapat siapa? Di sinilah perbahasan mula timbul.
Secara jujur, apakah maknanya bulan ramadhan jika tanpa puasa? Tarawih, tadarus, solat berjemaah, keindahan berbuka bersama keluarga dan sebagainya akan terasa ‘kosong’. Segala ganjaran istimewa yang Allah janjikan bukan untuk kami? Terasa sangat aneh sedangkan zahirnya sebahagian besar daripada kami mampu berpuasa.
Tertanya-tanya, takkan hanya kerana makan HAART lewat sedikit sahaja sempena ramadhan ini pun tidak boleh? Teruk benarkah risiko CD4 akan menurun dan Virus Loadnya membiak?
Sesekali fikir, telan sahaja HAART dan selebihnya terserahlah kepada Allah. Insya-Allah sempena ramadhan dan kerana niat yang ikhlas untuk beribadah, Allah akan bantu. Tahun depan entah berpeluang entahkan tidak. Kalau sudah sampai ajal disebabkan mahu menunaikan ibadah sekalipun, redha sahajalah.
Walau bagaimanapun soal kesihatan bukan pekara yang boleh diambil risiko kerana Islam ada penyelesaian terhadap segala permasalahan. Setiap tindakan perlu ada rasional dan alasan yang kukuh. Berani membuta tuli seperti tidak ada bezanya dengan membunuh diri. Tak berapa cerdik pula bunyinya kan?
Jika begitu, bagaimana penyelesaiannya?
Untuk itu, aku kongsikan pandangan kedua (2nd Opinion). Sebelum aku kongsikan pandangan dan penyelesaian tersebut, sila kosongkan fikiran. Konsepnya mudah saja, mahu terima, boleh terima. Mahu tolak, pun tolak sahaja. Yang penting kita buat mengikut keyakinan dan keputusan sendiri. Anggap sahaja ianya info tambahan.
Jadi apa kata kita baca pula pendapat kedua iaitu:
TIDAK MENJADI MASALAH KEPADA PARA PEMBAWA HIV UNTUK BERPUASA SEKALIPUN MEREKA TERPAKSA MELEWATKAN WAKTU PENGAMBILAN HAART
Pendapat ini ialah pendapat yang diberikan oleh Dr. Iskandar Firzada bin Osman (Doktor Pakar Perubatan Keluarga-doktor aku yang sangat best!) hasil perbincangan beliau dengan rakan-rakan pakar perubatan muslim yang lain.
Bermakna kita sangat beruntung memperolehi pendapat hasil perbincangan sekumpulan doktor pakar.
Apa kata mereka?
"Terdapat pelbagai pendapat oleh pelbagai pihak mengenai perkara tersebut. Kesimpulannya, jika terdapat pelbagai pendapat maka tiada satu pun yang boleh dibuktikan dengan tepat!
“Yang pasti, banyak perkara yang berupaya mempengaruhi sistem imuniti badan termasuk kesihatan mental atau psikologi. Puasa ramadhan merupakan ibadah untuk cleanse sistem penghadaman sebagaimana puasa sesetengah pihak yang lain. Oleh itu, persediaan sebelum, semasa dan selepas berpuasa sangat penting.
“Segera berbuka apabila telah masuk waktu berbuka (walaupun waktu itu bermakna waktu masuknya solat Mahgrib) dan lewatkan sahur serta dimulakan dengan niat (persediaan psikologi) adalah merupakan afdhal serta rukun ibadah puasa. Oleh itu, isu bahawa puasa ramadhan boleh menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah tidak dapat dibuktikan sehingga ke hari ini. Tetapi kekuatan pegangan agama (spirituality) secara langsung akan memelihara kekuatan kesihatan mental seseorang.
"Yang menjadi isu, adakah dengan melewatkan sedikit makan ubat HAART dari setiap 12 jam tepat kepada setiap 14 jam dan 10 jam (waktu berbuka dan sahur) akan mengakibatkan virus HIV menjadi resistant?
“Sehingga kini, tiada kajian dan tiada bukti melainkan jika sekiranya seseorang pesakit tetap mengambil ubat HAART sebagaimana yang diarahkan iaitu sama ada 2 kali sehari atau 1 kali kali sehari, insyaAllah Viral Load akan menurun dan CD4 akan meningkat.
“Ada juga pihak yang menyarankan (tanpa bukti, juga tanpa pengalaman dan hanya berdasarkan hipotesis sahaja), peringkat awal memulakan rawatan HAART iaitu ketika CD4 masih rendah (juga tak dinyatakan berapa maksud rendah tersebut), pesakit tidak digalakkan untuk berpuasa supaya boleh mengambil ubat HAART setiap 12 jam. Tetapi apabila sudah stabil atau CD4 sudah meningkat (juga tak dinyatakan apakah/ berapa maksud stabil/ tinggi), maka pesakit boleh berpuasa.
Untuk itu, jawapan mudah saya, boleh berpuasa tetapi segerakan makan ubat apabila berbuka dan lewatkan sahur untuk makan ubat. Tetapi penting supaya pesakit faham penerangan di sebalik jawapan ini ada pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana bukti saintifik secara kajian (research) belum ada sama ada untuk menyokong atau menidakkannya."
Begitulah pendapat Dr. Iskandar dan rakan-rakan pakar perubatan muslim beliau. Bayangkan Dr. Iskandar sanggup menaip SMS sepanjang itu semata-mata untuk melayan pertanyaanku. Menitis airmataku dibuatnya. Jazakumullah khier kepada mereka. Hak membuat pilihan, terserah kepada keyakinan diri masing-masing.
Aku berpegang kepada pendapat kedua dan alhamdulillah setakat ini aku tidak menghadapi apa-apa masalah ketika berpuasa. Berani aku katakan bahawa aku sangat selesa berpuasa walaupun turut mengidap diabetes. Alhamdulillah terasa seperti lebih sihat daripada bulan-bulan yang lain.
Cuma aku sangat teliti menjaga pemakanan dan jadual pengambilan HAART. Aku berbuka dengan sebiji kurma dan segelas air kosong, makan HAART dan seterusnya solat maghrib berjemaah bersama family. Selepas tadarus ringkas, kami makan sekadar yang perlu berserta sebiji Metformin 500mg (kawalan diabetes) sebelum bersedia untuk solat Isya’ dan bertarawih. Kalau tidak larat bertarawih di surau, kadang-kadang kami bertarawih di rumah. Jangan terlalu rumitkan keadaan.
Sahur pula aku makan HAART menjelang waktu Imsyak. Lebih kurang 5:30am. Bermakna jadual pengambilan HAART aku bertukar daripada pukul 9am-9pm kepada 7:30pm-5:30am secara TETAP. Untungnya jadual pengambilan HAART semasa sahur ini memudahkan kami sekeluarga untuk berjemaah Subuh di masjid. Pahala sunat berbuka awal dan bersahur lewatpun insya-Allah dapat. Banyak kelebihannya.
Kepada rakan-rakan HIV, sila jelas tentang situasi tersebut. Waktu makan HAART mesti tetap konsisten. Janganlah hari ini makan HAART pukul 9pm dan sekali lagi pada waktu sahur pukul 3am tetapi besok pula pukul 7:30pm dan sahur pukul 5am. Kalau sering bertukar-tukar waktu begitu, makan ubat apapun tak jadi.
Sedikit tips, aku minum sedikit jus pati buah-buahan dan sebiji kapsul gel minyak pati habbatus sauda’ sebelum tidur berserta sebiji ubat anti cholesterol. Sekali lagi jus pati buah-buahan semasa sahur. Gel minyak pati habbatus sauda’ pula cuma sekali sehari kerana ianya menyebabkan rasa panas badan.
Selain itu pastinya dengan segelas susu dan sebiji lagi kurma pada waktu sahur. Insya-Allah rakan-rakan mampu berpuasa tanpa apa-apa masalah. Banyakkan minum air mineral dan elakkan ais. Aku ‘tutup’ sahur dengan sebiji lagi Metformin.
Makanan pula aku makan apa saja makanan yang teringin tetapi ambil dalam kuantiti yang sedikit. Kenali jenis makanan. Mesti faham jenis-jenis makanan yang membentuk lemak, kolestrol, menyebabkan gula yang tinggi dan sebagainya.
Semoga perkongsian ini ada manafaatnya. Insya-Allah ramadhan kali ini membawa keberkatan yang berkekalan dan segala amalan dan doa kita dimakbulkan, ameen...