Thursday, August 11, 2011

PAL BANTU PENGHIDAP HIV


“KALAU saya tak kuat mesti sudah lama saya mati, namun ini semua kerana kesungguhan diri sendiri untuk terus bertahan kembali sihat,'' ujar Zul (bukan nama sebenar) yang telah disahkan sebagai pengidap HIV positif.

Anak muda ini dia tidak menyangka kehidupan yang sebelum ini penuh keceriaan berubah menjadi gelap.

Segalanya bermula ketika dia cuba menderma darah di sebuah Hospital Kerajaan di Pulau Pinang, tetapi selepas pemeriksaan dia kemudian disahkan HIV positif .

Zul percaya virus pembawa maut tersebut 'meresap' dalam tubuhnya akibat pergaulan bebas yang diamalkannya.

"Ketika diberitahu saya menghidap HIV positif ibarat petir kuat yang menggoncang seluruh tubuh dan membuatkan saya hampir pitam. Apa yang terbayang hanyalah kematian,'' ujarnya.

Bermula dari itu, dia terpaksa mendapat rawatan di hospital sepanjang umur bagi memastikan keadaan kesihatannya tidak terus menurun.

"Sekarang ini hampir seluruh gaji terpaksa dihabiskan untuk membeli ubat,'' ujarnya yang terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM950 sebulan untuk membeli ubat sedangkan gajinya hanya sebanyak RM1,400.

Malah menurut Zul, pernah ada ketika dia pasrah dengan apa yang berlaku membuatkan dia rela tidak makan ubat kerana kesempitan wang.

"Namun mengenangkan orang tua, membuatkan saya kembali bangkit dan memastikan tidak putus ubat.'' ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Kini selepas tujuh tahun berjuang untuk terus hidup, Zul bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Yayasan AIDS Malaysia melalui Skim Positive Audacious Living (PAL).

Ia merupakan skim bantuan yang diwujudkan bagi menyediakan akses kepada ubat Terapi Anti Retrovivaal Berkereaktifan Tinggi (HAART) untuk penghidap HIV positif sekali gus membantu mengurangkan beban kos membeli ubat.

Melalui bantuan tersebut, ia mampu mengurangkan beban pengidap HIV yang kurang berkemampuan dan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Akses untuk dana HIV

Pengerusi Yayasan Aids Malaysia, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman memberitahu Skim PAL ini bertujuan untuk menyediakan dana bagi membantu golongan HIV membeli ubat.

"Akses ini bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV untuk memanjangkan dan membaiki kualiti kehidupan mereka,'' ujarnya ketika melancarkan Skim PAL yang diadakan di Akedemi Tesco Kepong baru-baru ini.

Hadir sama duta Skim PAL iaitu penyanyi terkenal negara, Faizal Tahir yang sama-sama berjuang untuk membantu golongan HIV kembali hidup sihat seperti orang lain.

Kata Dr. Adeeba lagi, skim ini juga diwujudkan sebagai langkah penjenamaan semula bagi Skim Bantuan Perubatan yang sedia ada.

"Melalui komitmen jangka panjang serta sejarah dalam memperjuangkan HIV dan AIDS, kami telah mempelopori inisiatif-inisiatif untuk membantu rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV terutama mereka yang kurang berkemampuan dan golongan komuniti yang terpinggir.

"Memandangkan kos bagi menampung rawatan adalah tinggi, kami yakin bahawa satu-satunya cara bagi skim PAL untuk mencapai matlamatnya adalah menerusi kerjasama strategik dengan organisasi korporat serta sumbangan sampingan daripada masyarakat yang prihatin.

"Langkah ini diharapkan dapat membuka peluang kepada golongan HIV untuk kembali pulih dan hidup seperti masyarakat normal,'' ujarnya yang turut mendapat kerjasama daripada Abot Labotories (M) Sdn. Bhd dan Maybank Berhad.

Terang Dr. Adeeba, sehingga kini lebih daripada 50 rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV telah menerima bantuan daripada Skim Bantuan Perubatan.

Malah melalui laporan Kementerian Kesihatan pada tahun 2010, hanya 9,962 daripada anggaran 26,722 rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV layak mendapat skim ini.

"Oleh itu kita menyeru kepada orang ramai dan juga syarikat korporat untuk menyumbang dana bagi menjayakan matlamat ini," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang bolehlah mendapatkan maklumat lanjut melalui www.saveyourpal.com.my atau hubungi terus Yayasan Aids Malaysia.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm