Tuesday, August 09, 2011

HIV- KUMPULAN SOKONGAN & AHP GATHERING

Assalamualaikum wrh. wbk.

Setiap pembawa HIV amat perlukan sokongan masyarakat khususnya rakan senasib untuk berkongsi segala suka duka menghadapi segala cabaran dengan positif.

Hakikatnya hidup sebagai pembawa HIV dan rawatannya tidaklah sesukar mana tetapi ianya lebih kepada masalah psikologi dan emosi. Maklumlah momokan terhadap ‘hinanya’ HIV terlalu digempar-gempurkan sehingga menenggelamkan penyebaran maklumat yang tepat untuk merawat HIV dan mencegah penularannya dengan cara yang betul.

Melalui segala perkongsian ini diharapkan mereka rasa lebih berkeyakinan menghadapi segala kerisauan, mengatasi rasa sepi dan keseorangan, berdepan stigma, diskriminasi dan judgemental.

Kebelakangan ini aku kerap dihubungi melalui emel rakan-rakan pembawa HIV yang mencadangkan aku melaksanakan 2 perkara utama.

Pertama: Kumpulan sokongan untuk berkongsi maklumat dan sokongan psikologi rakan-rakan senasib.

Ringkas cerita, aku menyokong penuh sesiapa sahaja yang sudi terutama di kalangan sesama rakan pembawa HIV membantu rakan-rakan baru yang sangat-sangat memerlukan sokongan. Islam sendiri menuntut kita memberi lebih daripada menerima. Insya-Allah besar pahala dan maknanya serta dapat membantu diri sendiri membina kekuatan dalaman.

Cuba renungkan semula ketika kita di peringkat awal mengetahui status kita sebagai HIV positif. Betapa buntunya untuk menghadapinya keseorangan dan sangat berharap ada seseorang yang sudi berkongsi sedikit kerisauan atau sokongan.

Jadi kepada sesiapa yang sudi, sila hubungi aku melalui emel yang tertera di dinding blog. Subject/ tajuknya kawan-kawan taip sahaja sebagai “KHIDMAT SOKONGAN RAKAN SENASIB.”   

Jika tidak mahu menggunakan emel personal, kawan-kawan create sahaja akaun emel baru khas untuk tujuan tersebut. Emel yang di bawah kategori tersebut akan aku sebarkan di kalangan sesama para pembawa HIV yang ingin berhubung dan memerlukan sahaja.

Berkongsilah apa saja masalah dan sokongan. Sharing is caring. Harapan aku, jalinan ukhwah yang terjalin tersebut menjadikan kita lebih positif menjalani segala cabaran.

Aku sangat berharap hasrat ini dapat direalisasikan. Sokongan rakan-rakan senior sangat-sangat dialu-alukan. Semoga hasrat ini mendapat sokongan ramai.

Kedua: Gathering khas untuk pembawa HIV dan pembaca blog ini secara berkala.

Antara yang dicadangkan ialah kita adakan satu aktiviti ala-ala family day, adakan beberapa aktiviti bermanafaat seperti ceramah khas mengenai HIV dan kaunseling oleh tenaga pakar, dialog, solat berjemaah, tazkirah, mini sukaneka untuk kanak-kanak & sesama para peserta dan sebagainya.

Ianya terbuka kepada semua pembawa HIV tanpa mengira latar belakang berserta ahli keluarga termasuk mereka yang menyokong dan insan-insan prihatin. Kita sama di sisi tuhan. Sama ada senior atau junior, semuanya sama penting.

Siapapun anda sama ada bekas pekerja seks, mak nyah, gay, golongan professional, tukang kebun, jaga, ulama, pengurus, penganggur, student, money boy, gigolo, bohsia, bohjan dan sebagainya, semua dijemput hadir tanpa prejudis dan diskriminasi asalkan berniat positif memperbaiki diri.  

Jadi tak payah malu-malu, tak payah segan-segan. Tak ada sesiapa yang akan tanya, “ko dapat HIV sebab apa?” Lainlah kalau sendiri nak cerita. Kalau ada yang bertanya juga tu, ada sikit kurenglah jawabnya.

Katakan kita laksanakan gathering tersebut selama 2 hari di mana-mana resort atau chalet dengan pengisian yang santai tetapi bermanafaat membentuk motivasi diri. Lokasi mungkin sekitar pertengahan semenanjung di musim cuti sekolah. Kita sama-sama collect duit dan ianya langsung tidak berkenaan untuk mencari keuntungan.

Untuk merealisasikannya aku akui tidak mampu melakukannya sendirian. Sekurang-kurangnya ianya memerlukan AJK Induk untuk melaksanakannya. Pelan-pelan kita rancang, sediakan proposal, sebar-sebarkan maklumat kepada yang menyatakan minat dan jika sesuai kita laksanakannya.

Aku rasa ianya tidak perlu terlalu tergesa-gesa. Bukan semua rakan-rakan pembawa HIV berkemampuan serta merta termasuk aku. Beri masa yang mencukupi untuk mereka merancang dan menabung sedikit demi sedikit.   

Cadangan ini aku serahkan kepada pembaca. Aku berkecuali. Maksudnya nak buat, kita buat sama-sama. Tak nak buat, aku tak jadi masalah. Aku bukan along, aku cuma nak tolong, hehehe…

Jadi fikir-fikirkan dan tinggalkan pandangan kawan-kawan di ruangan komen atau emel. Aku nak tengok responses dulu.


p/s- Aku kesibukan tahap gaban di bulan Ramadhan al mubarak ini. Maaf jika ada emel agak lewat mendapat balasan.