Wednesday, August 17, 2011

BUKTI: DOKTOR SENDIRI AKUI BERLAKU KECUAIAN...


DOKTOR LATIHAN SISWAZAH KENA KERJA 40 JAM BERTERUSAN

SAYA tertarik dengan pandangan 'insan simpati' berkenaan doktor muda yang disiarkan dalam ruangan ini pada 20 April lalu. Saya baru saja selesai tempoh sebagai pegawai perubatan latihan siswazah atau 'houseman' di sebuah hospital di selatan tanah air.

Memang benar seperti apa ditulis oleh ‘insan simpati’, malah ada yang lebih teruk lagi. Ada di antara kami yang bekerja berterusan selama 40 jam seandainya kami ‘on-call’, purata antara enam dan tujuh kali dalam sebulan.

Akibatnya, kami memang benar-benar keletihan hingga mudah berasa tertekan dan marah yang ada kalanya kami tanpa sedar meluahkannya kepada pesakit. Komunikasi dengan pesakit juga nampak kurang mesra kerana keletihan.

Kesilapan juga mudah berlaku, seperti yang pernah dialami antaranya salah memberi ubat, dos yang tidak tepat, terlupa menyelesaikan tugas, kerja yang tidak sempurna dan optimum sehingga berlaku ulangan kerja contohnya seperti prosedur mengambil darah, memasang jarum penghubung (branula) dan sebagainya.

Kesihatan dan nyawa doktor juga menjadi taruhan. Pernah berlaku, seorang teman satu universiti meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya selepas pulang dari kerja. Punca kemalangan akibat tertidur ketika memandu kerana keletihan.

Mungkin ada yang tidak tahu, sebagai seorang ‘houseman’, harus melengkapkan empat bulan ‘rotation’ di dalam satu jabatan. Untuk tempoh itu, hanya lapan hari cuti diberikan.

Ketika mereka wajib bekerja setiap hari. Sabtu dan Ahad biasanya hanya perlu datang pada waktu pagi dan petang untuk melakukan rondaan jika tidak ‘on-call’. Hingga kini tiada saluran khusus untuk ‘houseman’ mengadu masalah.

‘Houseman’ takut untuk mengadu kerana bimbang akan dipanjangkan tempoh latihan dalam jabatan, dilabel sebagai doktor bermasalah dan ‘lembik’, ‘mengada-ngada’ dan sering dinasihatkan untuk bersyukur dan dibandingkan dengan doktor zaman dulu.

Sememangnya adalah wajar untuk berlaku penghijrahan doktor ke sektor swasta.

Sebab utama kerana beban kerja yang tidak setimpal dengan gaji yang ada, di samping tiada masa terluang untuk aktiviti lain atau bersama keluarga tersayang.

Mungkin orang di luar mudah mengatakan ‘Ala, kerja biar ikhlas, jangan merungut’ tetapi realitinya kalau anda di situasi seperti ‘houseman’, apa anda sanggup?

DR CEKAL,
Kuala Lumpur.


AHP:
Aku memang bersimpati dengan nasib doktor-doktor pelatih ni. Tetapi bagi aku itu masalah dalaman KKM dan KKM patut selesaikan. Malangnya, aku memang lebih kasihan kepada pesakit dan aku adalah antara mangsanya.

Banyak kali aku aku baca rungutan sebegini di kalangan doktor pelatih di media massa. Lihat saja mereka mengaku ada yang tersalah diagnos dan bagi ubat. Apa kena mengena pula masalah pegawai perubatan atau sesiapa sahaja pekerja kesihatan dengan hak mendapatkan rawatan terbaik dan kebajikan para pesakit? Kenapa kesihatan dan masa depan pesakit turut dilibatkan? 

Maaf, aku bukan tak faham tekanan mereka tetapi adilkah pula sikap mereka menyebabkan masa depan pesakit tergadai? Kadang-kadang kita terlalu bersimpati terhadap diri sendiri dan jika mentality begini berterusan, ramailah pesakit menjadi mangsa.

Tolong  faham, tiada pesakit normal yang sukarela duduk berehat-rehat dan melancung di hospital. Gajah dengan gajah bergaduh, kancil yang sedang jalan dengkut penyek kat tengah-tengah. Orang atas dan cerdik pandai, sila selesaikan masalah ini.