Tuesday, February 28, 2012

RM400,000 BANTU PESAKIT HIV

SIFAR... peserta dan sukarelawan menunjukkan tanda sifar sebagai simbolik kepada tema Hari Aids Sedunia 2011.

KELETAH serta kebijaksanaan yang ditunjukkannya nyata menarik minat sesiapa jua untuk terus melayan anak kecil ini. Pada usia mencecah hampir enam tahun, Jeremy (bukan nama sebenar) tampak seperti kanak-kanak seusianya.

Kepetahannya berbicara dan rasa seronok jelas terpancar di wajahnya kala diraikan sekumpulan jurusolek dan warga kerja Mac Cosmetics Malaysia (Mac) bersama sukarelawan Majlis Aids Malaysia (MAM) di Permai Rainforest Resort, Kuching sempena Hari Aids Sedunia 2011, baru-baru ini.


INGIN TAHU... Presiden Majlis Aids Malaysia, Tan Sri Zaman Khan (dua dari kiri) bertanyakan mengenai gincu Viva Glam kepada Anna (dua dari kanan) sambil diperhatikan Roswati (kanan) dan Dayang Nurfaizah.

Pada pandangan kasar, tiada cacat celanya anak kecil ini, namun Jeremy salah seorang kanak-kanak yang hidup dengan HIV, yang diwarisi daripada mendiang ibu dan bapanya.

“Saya tinggal dengan nenek. Nenek kata ibu dan bapa tiada di sini, pergi jumpa Tuhan. Tapi tak apa, nenek ada untuk bermain dengan saya, walaupun kadang-kadang nenek marah dan suruh saya diam,” katanya lancar tanpa sebarang nada pelat ketika ditanya mengenai keluarganya.

Menurut neneknya, bapa Jeremy berasal dari Filipina dan bekerja di sana.
Apabila pulang ke Sarawak, bapanya yang menghidap HIV terus menjangkiti si ibu sebelum melarat ke anak mereka.

Disebabkan terlewat mendapatkan rawatan atas faktor malu pada masyarakat sekeliling dan kurangnya kesedaran mengenai penyakit itu, bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu sebelum ibunya pula menyusul pada awal 2011.

Nenek adalah satu-satunya waris yang ada lalu Jeremy kini menumpang kasih pada warga emas itu yang melakukan kerja kampung bagi menyara kehidupan mereka berdua.

Jeremy adalah antara 10 kanak-kanak dan remaja bersama keluarga mereka yang terbabit dalam Projek Inisiatif Sukarelawan Hari Aids Sedunia anjuran Mac dan MAM, yang memberi penekanan kepada kesedaran di kalangan peserta yang hidup dengan HIV di samping berusaha mewujudkan suasana yang lebih positif untuk mereka.

Acara hari pertama dimulakan dengan aktiviti menjelajah hutan kecil di sekitar resort yang menyaksikan peserta teruja mempelajari perkara baru mengenai alam sekitar, selain melihat bermacam spesies serangga kecil yang selama ini tidak pernah diketahui kewujudannya.

Usai aktiviti itu, peserta kemudian pulang ke bilik masing-masing untuk membersihkan diri sebelum menyertai acara makan malam barbeku di dewan utama.

Sambil makan, bintang Akademi Fantasia, Bob Yusof, yang juga Selebriti Sokongan Reben Merah MAM, tampil menyanyikan beberapa lagu popular sebelum wakil Mac dan MAM menunjukkan kebolehan dan bakat masing-masing dengan persembahan tarian serta nyanyian beramai-ramai.

Dalam kemeriahan itu, Pengurus Besar Jenama Mac Cosmetics Malaysia, Anna Chang tidak ketinggalan menyerahkan sumbangan RM400,000 kepada Pengarah Eksekutif Majlis Aids Malaysia, Roswati Ghani sebagai satu sokongan untuk MAM meneruskan aktiviti bantuan mereka terhadap orang yang hidup dengan HIV di seluruh Malaysia.

Jelas Anna, sumbangan itu dikumpulkan menerusi pembelian gincu dan produk berkaitan kempen Viva Glam, yang mana 100 peratus keuntungan jualan produk itu disalurkan kepada Tabung Aids Mac sebelum diserahkan kepada badan berkaitan.

“Ini salah satu cara projek sukarelawan Mac bersama MAM sejak 2000 dan kami akan terus menyokong program sebegini, seiring dengan moto Everyday Is The World Aids Day (Setiap Hari Adalah Hari Aids Sedunia) yang dilaungkan Mac seluruh dunia,” katanya.

Aktiviti hari terakhir kemudian diteruskan dengan kembara di Laut China Selatan bagi melihat sendiri ikan lumba-lumba dengan lebih dekat yang dikatakan timbul dan ‘bermain-main’ di permukaan laut pada waktu pagi.

Dua bot pertama berjaya melihat aksi comel ikan itu, namun dua bot terakhir pulang hampa dan terpaksa memendekkan lawatan berikutan matahari makin terik di atas kepala.

Selesai menikmati hidangan tengah hari, tiba masanya peserta dan sukarelawan mengucapkan selamat tinggal. Bagi peserta, biarpun aktiviti sokongan seperti ini hanya dua hari, ia amat bermakna bagi mereka untuk meneruskan hidup dengan lebih yakin dan positif.

Usah menghukum tapi bantulah derita mereka

PELBAGAI kempen sudah dianjurkan, bermacam cara dilakukan dan ramai selebriti terbabit dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat, namun masih ramai di kalangan rakyat negeri ini yang masih memandang serong orang hidup dengan HIV dan Aids hingga wujud unsur diskriminasi terhadap mereka.

Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Aids Malaysia (MAM), Roswati Ghani, kerajaan banyak membantu dalam bentuk suntikan dana jutaan ringgit bagi menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan Aids di kalangan masyarakat.

“Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) juga sudah mula menganjurkan beberapa program kesedaran dan menyediakan manual HIV dan Islam sebagai panduan kepada masyarakat.

“Biarpun hasilnya mula tampak positif, tapi stigma masih tebal di kalangan masyarakat kita. Mereka tahu apa itu HIV dan Aids, bagaimana ia dijangkiti dan cara mengurangkan penularannya.

“Tapi bila berdepan orang yang hidup dengan HIV dan Aids ini, segala maklumat yang mereka peroleh itu ditolak tepi lalu meminggirkan mereka.

“Contohnya di Sarawak, tiada satu pun rumah perlindungan diwujudkan bagi membantu mereka.

“Apabila ada program bantuan daripada MAM, ramai yang enggan terbabit kerana takut diketahui jiran atau orang sekeliling kerana dikhuatiri menjejaskan rutin harian mereka.

“Apa yang menyedihkan ialah mereka menjangkiti isteri kemudian anak-anak hingga akhirnya satu keluarga menghidap virus itu.

“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, bukanlah tugas kita untuk menghukum mereka, tapi kita sepatutnya membantu mengurangkan bebanan yang mereka hadapi.

“HIV dan Aids mudah dijangkiti jika tiada kesedaran mengenainya, tidak seperti penyakit barah yang tidak berjangkit sesama manusia. Jadi HIV dan Aids ini sepatutnya dirawat dan diberi perhatian sebagai kesihatan umum,” katanya.

Berdasarkan tema menuju sifar yang ditetapkan UNAids bagi 2011 hingga 2015, Roswati menyifatkan adanya perubahan positif apabila jumlah jangkitan daripada ibu kepada anak makin berkurangan.

“Apa yang kami sasarkan untuk tempoh lima tahun ini ialah sifar jangkitan baru, sifar diskriminasi dan sifar kematian berkaitan Aids. Setakat ini, kami berjaya mengurangkan jumlah jangkitan daripada ibu kepada anak hampir ke angka sifar berikutan wujudnya beberapa rawatan terkini yang dapat membantu mengesannya lebih awal.

“Jangkitan baru di kalangan pengguna jarum suntikan (IDU) juga berkurangan daripada 70 peratus tahun sebelumnya ke 47 peratus pada 2011.

“Cuma apa yang membimbangkan ialah peningkatan jangkitan menerusi aktiviti seksual terutama membabitkan pasangan IDU yang dilaporkan sehingga 48 peratus khususnya di Kelantan dan Terengganu.

“Di sinilah pentingnya peranan Hari Aids Sedunia untuk menyalurkan maklumat kepada pasangan IDU yang majoritinya isteri kepada pengguna dadah memandangkan mereka ini amat terdedah dengan jangkitan HIV dan Aids tanpa disedari.

“Banyak rangka program sudah disusun dan MAM akan berkolaborasi dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan golongan ini, sekali gus membantu mereka mendapatkan rawatan,” ujarnya.

FAKTA:

Mula diperkenalkan pada 1 Disember 1988, Hari Aids Sedunia adalah hari di mana masyarakat dunia berhimpun dan saling bekerjasama memperingati ahli keluarga dan kenalan yang meninggal dunia kerana penyakit itu.

Pada masa sama, pelbagai kempen dan program dijalankan dalam usaha menamatkan wabak ini. 

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.mac.org.my atau hubungi Majlis Aids Malaysia di 03-40451033.


Sumber: sini
Republished by: Lifejacket

AHP: Wahai orang media. Tolong la alert. Bukan PESAKIT HIV, tetapi PEMBAWA HIV (PLHIV). BESAR bezanya antara PESAKIT HIV dengan PEMBAWA HIV (PLHIV).

Monday, February 27, 2012

KISAH BENAR: PERKONGSIAN PENGALAMAN PERKAHWINAN SEORANG ISTERI KEPADA PLHIV


Baru-baru ini aku menerima satu lagi emel yang menceritakan perkongsian pengalaman seorang isteri yang sudi menerima PLHIV sebagai suami.

Kalau sebelum ini daripada Puan ZS, kali ini daripada Puan WF pula. Alangkah bagus kalau kita berpeluang berkongsi pula pengalaman suami non-PLHIV yang berkahwin dengan PLHIV.

Aku sangat mengalu-alukan perkongsian pengalaman begini sebagai insiprasi bersama. Semoga Allah merahmati mereka dan kebahagiaan berkekalan membawa ke syurga. Terima kasih atas keprihatinan. Mari baca:

Assalamualaikum...

Terlebih dahulu, saya memanjatkan kesyukuran kerana hari ini saya diberi keberanian untuk menghantar email kepada AHP. Saya pernah menaip email untuk dihantar, tapi pada masa tersebut, saya merasakan belum masanya saya untuk berkongsi dengan sesiapa.

Alhamdulillah, kini setelah mempunyai kelapangan masa dan keberanian, setelah saya membaca pengalaman Cik Aisyah dan juga ZS, saya terimbas kembali pengalaman saya semasa saya sendiri ingin berkahwin dengan suami (PLHIV). Saya berada di dalam bidang professional. Begitu juga suami. Kami berumur awal 30-an. Saya kenalkan diri saya sebagai WF.

Mungkin kisah hidup saya ni mampu memberikan iktibar atau sedikit semangat kepada mereka yang lain.

May 2011. Suami saya (pada masa itu adalah tunang saya) menelefon saya sewaktu saya sedang sibuk mencari kelengkapan perkahwinan. Pada masa tu saya sedang mencari veil pernikahan. Suara dia sangat lemah. Sedih. Saya fikirkan dia sakit. Dia bertanya, boleh bercakap ke? Mesti la saya jawab boleh. Ayat seterusnya yang keluar daripada mulut beliau adalah, 'kalau kita putus sebulan dua boleh?'

Saya terdiam dan macam tak percaya. Saya salah dengar ke? Seterusnya, saya dengar tangisan beliau. Tangisan yang belum pernah saya dengar sebelum ini. Saya sendiri terkejut. Bila saya tanya, kenapa? Dia hanya jawab, 'abg HIV positif'.

Perasaan saya??? Hanya Tuhan yang tahu. Ikutkan rasa, saya mungkin terjelepuk di kedai. Tapi, akal masih berada di tahap sepatutnya. Syukur, saya hanya melarikan diri di celah-celah kain. Bersandar seketika. Menarik nafas. Suami pada masa itu tak henti menangis. 'Kita bincang bila saya sampai rumah'.

Sepanjang perjalanan pulang, saya tidak nafikan, macam-macam saya fikirkan. Mungkin kerana saya adalah seorang yang memang sentiasa positif. Saya cukup tenang menghadapi semua ini. Tipu kalau saya katakana saya tidak sedih. Saya sedih, tapi suami saya pada masa itu memerlukan sokongan saya. Kalau saya sendiri menangis, sedih, meratap, apa yang akan terjadi kepada dia??

Alhamdulillah, di rumah, saya berbincang dengan beliau. Macam-macam soalan yang keluar daripada mulut saya. Tapi, tidak guna menyesali benda yang sudah berlaku. Walaupun saya tahu, dia sendiri dalam keadaan keliru dan beliau berulang kali mengulangi, nanti KESIAN kat saya. Dia akan rasa BERDOSA sebab tak mampu menjadi suami yang mampu memberi zuriat pada rumah tangga kami.

Soal zuriat adalah antara topik yang membuat beliau sangat sedih. Tidak dinafikan, antara tujuan perkahwinan adalah untuk menambahkan keturunan. Setelah saya sendiri melakukan kajian, membaca yang berkaitan dengan HIV dan sebagainya, saya yakin, saya mampu menghadapi semua ini. Saya nekad untuk meneruskan perkahwinan.

Suami pada mulanya agak tidak bersetuju atas alasan dia takkan mampu memberi apa yang suami lain mampu beri. Tuhan tu Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Syukur, suami akhirnya bersetuju.

Tiba bab-bab menguruskan borang pernikahan, suami menguruskan di sebelah Selangor, saya sendiri di pantai timur. Seperti yang ZS dan Cik Aisyah lalui, saya juga melalui perkara yang sama. Sementelah di sebelah pantai timur (bergantung pada kawasan/daerah) lain caranya.

Di Selangor, Borang Perakuan HIV suami telah dibulatkan REAKTIF. Mungkin ini adalah borang lama. Suami menghantar sendiri borang ke pejabat agama dan berjumpa pegawai agama di sana demi mendapatkan khidmat nasihat.

Mungkin ada yang beranggapan TIDAK PERLU kerana ianya seperti membuka pekung di dada. Kami telah bincangkan semua ini sebab suami ingin mendapatkan kepastian berkaitan hukum. Alhamdulillah, ustaz berkata, 'seandainya si perempuan redha dan rela serta ikhlas menerima anda sebagai suami, yakni tidak ada sedikit paksaan pun, anda  tidak dianggap menganiaya pasangan anda.'

Ustaz juga memberi pujian kerana suami saya ketika itu sangat tenang menghadapi kenyataan yang beliau adalah PLHIV. Suami berkata, 'ustaz, semua ni berkat sokongan tunang saya. Kalau dia tak ada, saya mungkin tidak setabah ini.' Menitik air mata tatkala mendengar ayat tersebut. Bangga? Tidak sesekali saya bangga kerana saya tahu dia sangat memerlukan sokongan saya.

Ustaz berkenaan sendiri menawarkan untuk suami menjadi penceramah motivasi berkenaan PLHIV kerana dia melihat ketabahan dan kekuatan suami dalam menghadapi situasi ini. Ustaz cakap, kebanyakan pasangan selalunya akan menangis beria-ia, ataupun mengadu kesedihan sebab pasangan minta putus. Suami hanya terdiam, sebab beliau sendiri pernah terfikir sebegitu. Tetapi, suami hanya mampu gelak dan dia sendiri belum bersedia untuk berkongsi.

Di pihak saya pula, macam nak luruh jantung sewaktu menghantar borang. Suami ikut serta pulang ke kampung saya kerana kami tidak mahu ayahanda saya turut serta.

Tetapi malangnya, borang saya perlu diambil tandatangan tok imam kawasan lain sebab imam di kampung saya tidak ada. Ayah turut serta ke rumah imam tersebut. Suami saya sudah risau. Bimbang akan terbongkar. Dalam hati tak henti-henti berdoa. Ketika imam menyelak borang suami, mata saya tak beralih langsung. Terpaku menatap setiap yang berlaku. Alhamdulilah, Tuhan permudahkan. Suami di luar muka pucat. Saya keluar saja, saya hadiahkan senyuman. Saya dapat lihat helaan nafas kelegaan yang dia lepaskan. =)

Di pejabat agama, sekali lagi kami berdebar. Perlu melalui 3 orang sebelum dia keluarkan surat. Akhirnya, surat kebenaran berkahwin hanya dapat disiapkan seminggu kemudian. Pada masa ini, Tuhan saja tahu perasaan saya dan suami kerana pejabat agama akan serahkan terus pada tok imam yang menikahkan. 2 minggu berlalu tanpa ada panggilan dari pejabat agama. Lega, itulah yang mampu kami ucapkan.

Alhamdulillah, sekarang ini kami sudah selamat diijabkabulkan. Benar, bukan senang untuk menyesuaikan diri. Berkahwin beberapa bulan sahaja, soalan tentang anak sudah kedengaran. Walaupun peluang untuk menimang cahaya mata ada, tetapi  banyak perkara nak difikirkan. Kami percaya, ada la rezeki kami nanti.

Terus terang saya cakap, di pihak saya sendiri tidak ada masalah. Cuma, suami masih takut-takut dan risau risiko yang saya akan hadapi. Dia tak sanggup melihat saya menderita walaupun kadang-kadang saya sendiri tegaskan itu adalah pilihan saya, bukan paksaan. Tetapi, hati dia hanya dia dan Allah yang tahu. Mungkin dia terlalu sayangkan saya atau dia tak mahu saya berjangkit.

Sekarang suami menerima rawatan susulan di hospital 'P'. Alhamdulillah, tahap virus suami adalah tahap rendah. Dia perlu berjumpa doktor untuk melihat progress 6 bulan sekali. Belum mengambil apa-apa ubat. Hanya kaunseling sahaja. Bagi saya, apa yang penting di sini adalah pasangan NON-PLHIV perlu kuat, dan tidak cepat terngadah.

Mungkin kekuatan saya adalah saya seorang yang positif, dan berfikir secara rasional. Ini adalah dugaan dan ujian yang Tuhan berikan kepada kami untuk melihat sekuat mana kami mampu menghadapi. Tuhan tidak akan memberi ujian dan dugaan  melainkan kepada hamba Nya yang mampu. Setiap apa yang berlaku di dalam hidup kita, akan ada hikmah nya. Mungkin bukan hari ini kita melihat hikmahnya. Itu yang sentiasa saya pegang dalam hidup.

Harapan saya kepada yang lain2 (NON-PLHIV), sekiranya anda betul-betul ikhlas  menerima pasangan anda kerana Allah, insya-Allah, Tuhan akan permudahkan urusan anda. Setiap penyakit yang Tuhan bagi pada kita, anggaplah sebagai penebus dosa dan kesilapan kita.

Wallahu’allam..


........... WF.............

AHP: Tahniah kepada Puan WF suami isteri kerana mereka sangat berdikari dan mampu menghadapi segala ujian dengan tabah. Semoga kebahagiaan mereka kekal membawa ke syurga.

Kepada mana-mana pasangan yang berhasrat berkahwin dengan PLHIV, anda punya cara untuk mendapatkan zuriat bebas HIV. Tidak boleh terlalu yakin tanpa ilmu atau paranoid melulu. Kita perlu berkongsi masalah. Tiada apa yang perlu dirisaukan tentang risiko jangkitan selagi anda mengambil langkah pencegahan dan mendapatkan rawatan secara tepat. Semuanya telah aku kongsikan di blog ini mengikut kategori. Wallahu a’lam!

Saturday, February 25, 2012

ANTARA ANGAN-ANGAN TERAKHIRKU SEBAGAI PEMBAWA HIV

Google image


Maaf aku masih terlalu sibuk dengan bermacam-macam komitmen setiap hari. Rasanya hampir selama 16 jam dalam keadaan aku sebagai PLHIV, pesakit diabetes, anaemia, thrombocytopenia dan entah apa-apa lagi. Semuanya menyumbang kepada kepenatan dan kelesuan badan yang teruk.

Sejujurnya aku selalu merasakan umurku dah tak berapa panjang. Sekurang-kurangnya peluang untuk hidup seperti biasa sama seperti insan lain dah tak lama. Bukan kerana HIV, tetapi kerana aku mengidap pelbagai penyakit kronik. Jauh sekali kerana aku rasa berputus asa. Tak tahulah kenapa.

Mungkin kerana aku tak mahu meletakkan harapan yang tinggi-tinggi. Banyak sangat terima kejutan dalam hidup, akhirnya sampai ke satu tahap aku dah tak kisah apapun. Always expect the unexpected, remember? Nikmati sahaja hidup secara A, B, C, D...

Kemungkinan besar tak lama lagi aku terpaksa melalui semula bone marrow biopsy. Dahlah dulu dia orang janji sekali sahaja. “Sekejap je, sikit je, doktor pakar yang buat dan tak sakit sangat pun...”

Macam-macam janji manisnya, tapi tandatangan terhadap risiko pembedahan dan pemindahan darah, wajib aku akur. Tahu-tahu tulang punggungku mereka tebuk 3 kali lubang sekaligus. Meraung aku dibuatnya, tapi sample tak dapat-dapat juga. Akhirnya HIV yang aku dapat.

Bukan tu sahaja, bila aku tanya doktor Cina di Hospital Ampang yang beritahu aku didiagnos HIV positive tu, kenapa buat bone marrow biopsy kalau sample tak ada dan prosedur tu tak perlu, nada suara jawapannya seperti menengking, “Itu saya ta tau!” Muka sepanjang masa masam mencuka.

Aku tanya lagi kenapa result 2 ujian HIV selepas bone marrow biopsy membuktikan aku negative dan tiba-tiba bertukar positive, pun senang sahaja dia kata, "Itu pun saya ta tau..." Malahan ditambah lagi kononnya aku ada HCV? Best kan?

p/s- Kepada ahli keluarga, berhati-hati apabila doktor menyuakan kertas persetujuan untuk pembedahan segera ketika pesakit masih mamai dengan ubat bius selepas menjalani satu pembedahan yang lain.

Begitulah yang terjadi kepada allahyarham birasku baru-baru ni. Beliau pesakit diabetes macam aku, terpaksa dibedah kerana berlaku jangkitan kuman akibat sengatan ikan sewaktu memancing.

Mula-mula potong satu jari tangan sahaja dan selepas tu apabila kuman merebak, terpaksa dibedah di lengan pula. Sekarang beliau selamat berada di alam kubur. Terasa segalanya berlaku dalam sekelip mata.

Sekarang ni, dia orang nak tebuk lagi. Isteri-isteriku awal-awal dah tak setuju. Kalau adik beradik aku tahupun begitu juga. Sekalipun adik beradikku tak tahu aku ada HIV dan tak faham sangatpun tentang penyakit-penyakit kronikku yang lain, tetapi semasa aku setuju buat bone marrow biopsy dulupun mereka dah membebel macam-macam. Maklumlah bercakap memang mudah.

Mak aku kalau tahu lagilah mengamuk. Kalau apa-apa hal terjadi (jangkitan kuman dan sebagainya) risiko aku tanggung sendiri. Keluarga dah nasihat tapi aku degil. Suka atau tidak, risikoku tinggi kerana aku ada diabetes.

Kalau tak tinggi risiko, mesti dia orang bius penuh supaya aku tak sedar semasa prosedur tempohari. Kerana bimbangkan risikolah dia orang cuma bius tempat tebuk tu aje. Itu dia orang yang kata, bukan aku kata. Pastu try kau orang google youtube – bone marrow biopsy. Tengoklah sendiri best atau tak.

Tak dibuat, risiko lain pula yang terpaksa ditanggung. Mungkin akan kedengaranlah ayat begini: "Itulah awak tak mahu buat bone marrow biopsy dulu, sekarang dah terlewat untuk rawatan." Balik-balik aku juga yang kena. Tak larat aku memikirkannya. Biarkan sahaja takdir datang sendiri apabila sampai masanya. Tempuhi dulu hidup satu persatu dengan syukur.

Kalau sampai ajalku pun aku redha. Selagi imanku terpelihara, apa yang nak digusar? Sekurang-kurang hidup tak menyusahkan orang sihat. Semuapun akan mati kecuali Allah. Tak ada apa yang nak diralatkan.

Namun aku berdoa semoga Allah izinkan aku dapat tunaikan beberapa hajatku dalam waktu terdekat. Nak pergi umrah lagi sekali. Nak menunaikan haji dan nak round satu Semenanjung dengan Vulcan 900 cc yang aku plan nak sambar dalam waktu terdekat.

Selain untuk menyebarkan kempen kesedaran HIV, aku nak kutip derma untuk bina Pusat Perlindungan Komuniti setakat yang termampu.

Sebenarnya chopper dan easy riding adalah jiwa aku sejak remaja. Aku pernah memiliki sebuah chopper yang ber cc kecil, tetapi tidak memberikanku kepuasan menunggang. Lagipun superbike sejak tua-tua ni aku dah tak berani. Kalau setakat kereta standard 2000 cc ke bawah, kau orang ajak aku race, anytime aje. Hahaha…

Apabila begini, desakan naluri untuk kembali menunggang chopper terlalu kuat. Terasa ‘hilang’ segala sakit dan masalahku apabila duduk di seat motor.

Setakat ni Allah belum izinkan, jadi kena sabarlah sikit. Tolong doa-doakan hajat aku tercapai, ya. Insya-Allah ada jalannya apabila Allah izinkan nanti. Ada sesiapa nak derma? Hahaha…

Kalau hajatku dikabulkan, aku nak ambil cuti sebulan tanpa gaji. Aku nak ride chopper aku tu dan pakai jaket yang tertulis “I’m HIV Positive”. Kat motor tu aku nak tampal sticker Positive Warrior. Ok kut?

Round satu Malaysia, edar risalah, ceramah, kutip derma untuk bantuan komuniti, singgah solat kat mana-mana masjid, ziarah dan boleh tumpang tidur rumah sahabat-sahabat komuniti. Tak adalah besar sangat belanja sepatutnya, kan?

Lepas tu kalau doktor nak tebuk tulang punggungku lagi, tebuklah. Kalau dia orang diagnos aku dengan macam-macam penyakit lain seperti kanser dan sebagainya pun,(nauzubillah) aku dah tak kisah. Apa risiko aku terima sahaja. Nak chemo ke, apa ke, suka hatilah.

Kalau Allah tak izinkan impianku ini, maknanya Allah akan beri aku sesuatu yang lebih baik. Okaylah tu, syukur lagi…

Cuma, selagi Allah berikan peluang, selagi itu aku perlu berjuang dan berusaha mencapai kesempurnaan hidup sebaik mungkin. Buat amal ibadah dan taburkan jasa.

Apa-apa hal aku akan cuba dapatkan kaunseling awal dengan Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan doktor pakar hematology dari Hospital Ampang pada 12 haribulan Mac nanti di Hospital Kuantan.

Ok, jumpa lagi. Entry memanaskan blog aje ni. Beberapa angan-angan kecilku yang lain tu abaikan sahaja. Simpan di hati. Maaf, kerana segala komen tak sempat aku reply.

Friday, February 24, 2012

BEZA ANTARA HIV 1 DAN HIV 2 SERTA CARA JANGKITANNYA (PENTING)



Saya mendapat email daripada seorang pembaca yang saya namakan ’Siti’ yang bertanyakan beberapa soalan. Soalannya agak menarik, lalu saya jadikan sebagai soalan pilihan. Ada 2 soalan.



Soalan 1:


Apakah perbezaan dan persamaan di antara HIV1 dan HIV 2? Salah satunya saya negatif.


HIV adalah singkatan kepada Human Immunodeficiency Virus di mana Human merujuk kepada virus yang hanya boleh menjangkiti manusia.


“Immunodeficiency” pula merujuk kepada sistem imun yang dilemahkan dengan memusnahkan sel-sel penting yang melawan penyakit dan jangkitan.


Deficiency” merujuk kepada kekurangan sistem imun yang menyebabkan tidak boleh melindungi anda.


Manakala “Virus” hanya boleh membiak sendiri dengan mengambil alih sel dalam badan perumah. 


Human Immunodeficiency Virus (HIV) merupakan sejenis virus dari genus Lentivirus yang mana merupakan keluarga retrovirus yang menyebabkan Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS).


Seperti yang umum ketahui, HIV mempunyai dua jenis iaitu HIV 1 dan HIV 2.

Perbezaannya ialah:


HIV 1 merupakan epidemik seluruh dunia dan mempunyai beberapa subjenis. Subjenis yang terbesar bagi HIV 1 adalah M (Major).


Selain subjenis M, terdapat juga subjenis O, P, dan N.


O merujuk kepada outlier, N merujuk kepada new dan P merujuk kepada pending the identification of further human cases.


HIV 2 hanya ditemui di sebelah barat Afrika seperti Angola, Brazil dan India. Sangat terhad di Eropah dan juga Amerika Syarikat. Ianya merupakan HIV yang jarang ditemui.


HIV 2 dikatakan mempunyai 8 subjenis yang mana setakat ini hanya subjenis A dan B yang menjadi wabak.


HIV 2 dikatakan kurang virulence dan infectivity berbanding HIV 1.


“Virulence” merujuk kepada kebolehan atau kecekapan sesuatu virus untuk menyerang tisu perumah. Lebih virulence adalah lebih cepat menyerang berbanding kurang virulence.


“Infectivity” pula merujuk kepada kebolehan sesuatu patogen (contoh kes ini adalah virus) yang menyebabkan jangkitan. Ini bermakna HIV 2 lebih lambat memusnahkan sistem pertahanan badan berbanding dengan HIV 1.


Hanya HIV 1 yang biasa ditemui di seluruh dunia kerana HIV 2 kurang virulence dan infectivity.


Ini bermakna, HIV 2 lebih lambat proses menyerangnya berbanding dengan HIV 1 yang lebih mudah menyerang dan menyebabkan ketahanan tubuh lemah.


Setakat ini, kedua-dua HIV ini belum ditemui ubat yang mampu untuk membunuhnya di dalam badan. Kedua-dua HIV ini merebak dengan cara yang sama dan kedua-duanya boleh menyebabkan AIDS.


Secara ringkasnya, persamaan bagi HIV 1 dan HIV 2 ialah ianya disebarkan dengan cara yang sama.



Soalan 2:


Bolehkan seseorang itu mempunyai HIV 1 dan HIV 2 sekiranya sudah mempunyai salah satu jenis HIV?


Saya sedang mencari maklumat tentang ini, masih belum jumpa dalam mana-mana rujukan. Tapi seingat saya, saya pernah membaca info tersebut yang sedia terdapat di blog ini. Jadi, berdasarkan kepada artikel tersebut, saya rasa seseorang yang dijangkiti HIV boleh dijangkiti semula oleh HIV yang lain.



Persoalannya:
Jika kedua-dua pasangan menghidap HIV, perlukah kami menggunakan perlindungan (kondom)?


Perlu. Anda mungkin menghadapi risiko dijangkiti dengan penyakit atau strain HIV yang berlainan (jangkitan semula).


Rujukan: http://akuhivpositif.blogspot.com/2011/10/seks-lebih-selamat-bagi-pasangan-hiv.html

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang jangkitan semula, saya nasihatkan anda klik link tersebut dan baca.


Untuk mengetahui maklumat asas lain berkaitan HIV, AIDS dan INFO boleh klik label ataupun kategori tersebut.


Harapan kami semoga anda memahami maklumat asas HIV dan AIDS terlebih dahulu untuk memudahkan anda memahami artikel yang berkaitan dan apa jua kekeliruan berkaitan HIV.


Masih banyak yang boleh dikongsikan dengan tajuk ini, namun saya hadkan kepada ini dahulu. Insya-Allah, jika ada masa, saya kongsikan pada masa hadapan.


Wallahualam.


Anonymous One: Segala salah dan silap harap dapat beri teguran.


Rujukan 1:      Wikipedia 
Rujukan 2:      Microbiology and immunology On-line
Rujukan 3:      Bio's Area
Rujukan 4:      About.com

Thursday, February 23, 2012

JOM RELEASE TENSION SAMBIL DENGAR CERAMAH USTAZ AZHAR IDRUS



“Ya Allah, betapa Engkau mengetahui keterbatasan upayaku… bantulah aku menghadapi segala dugaanMu ini. Sesungguhnya aku redha Ya Allah tetapi berilah aku sedikit kekuatan dan kelapangan membantu sesama insan atas dasar kasih sayangMu Ya Allah!”

Sibuknya tidak terkira, penatnya tidak terkata. Idea berlonggok di kepala, komen pembaca bertimbun, ziarah rakan blogger tidak berbalas, masih banyak emel yang yang belum diteliti, jemputan pertemuan mahabbah bersama PLHIV yang memerlukan perlu dipenuhi, SMS kadang-kadang tinggal sepi dan maafkan aku bila ada kalanya panggilan telefon tidak berjawab.

Terima kasih atas sokongan yang tidak mengenal lelah. Aku perlukan sedikit masa. Teruskan perjuangan, moga sentiasa tabah dan dalam limpah redha serta inayahNya. Mohon sedikit masa dan pengertian. Jumpa lagi, insyaAllah…

AHP:
positive4eva@gmail.com
017 980 5682 (panggilan sahaja)

Tuesday, February 21, 2012

BACHA BAZI - PENARI BUDAK LELAKI


Punca penularan terkini HIV nampaknya bertukar trend. Golongan penyalahguna dadah yang berkongsi jarum suntikan dan pekerja seks menunjukkan penurunan ketara. Pekerja seks semakin pandai mengambil langkah pencegahan.

Risiko jangkitan melalui perkongsian jarum suntikan dadah pula hanyalah sekitar 0.3% sahaja pada setiap kali mereka melakukan aktiviti. Masalahnya apabila mereka menyalahguna dadah, maka sibuklah mereka melakukan seks bebas tanpa langkah keselamatan.

Maklumlah bila kepala stone, maka rengganglah hubungan dengan Allah. Bila renggang, ikut sahaja apa yang nafsu kata. Begitu juga apabila kepala dah penuh dengan segala macam pil khayal atau arak. ‘Layan sedap’ sahaja yang difikirkannya.

Semua jadi berani. Pastu meraung! Bila kena, mulalah panic, paranoid dan melalut di blog ni...

Risiko sebenar akibat berkongsi jarum suntikan dadah adalah penyakit Hepatitis C.

Golongan yang paling tinggi terdedah kepada risiko jangkitan HIV sekarang adalah golongan homoseksual (gay), suri rumah dan pengamal seks bebas.

Jadi, aku harap, perkongsian cerita daripada blog sahabatku ini (sila klik) elok dijadikan renungan bersama. Belajar dan fikirkan sesuatu, tak perlu aku berceramah panjang.

Ini bukan bemakna aku bersikap diskriminasi dan meremehkan kecenderungan seksualiti yang Allah jadikan sebagai ujian. Aku cuma mengajak pembaca untuk sama-sama berjihad mencari keredhaan Allah.

Allah telah menetapkan segala-galanya mengikut fitrah dan jika berlaku masalah, ada penyelesaian dengan cara yang sebaik-baiknya.

Tahniah dan terima kasih kepada Saudara Naj Mi atas kesudian beliau berkongsi info yang bermanfaat ini. Aku memang mengalu-alukan para pembaca turut membaca setiap entry beliau kerana perkongsiannya yang banyak memberi inspirasi, infomatif, matang, dan positif.

Mohon maaf kepada saudara Naj Mi atas sedikit suntingan untuk disesuaikan dengan konsep blog ini. Mari baca:



Tahukah kita apa itu Bacha Bazi? Dalam bahasa omputih maknanya “Dancing Boys”. Lebih kurang maksudnya dalam bahasa Melayu kita ialah “Penari Budak Lelaki”. Saya tertarik dengan berita ini dan ianya bukan cerita rekaan tetapi cerita yang benar-benar berlaku di Afghanistan dan saya baru tahu mengenainya. Sekadar buat renungan kita bersama.


Di Afghanistan, wanita dan gadis tidak dibenarkan menari di khalayak ramai. Sebaliknya, budak-budak lelaki berumur belasan tahun boleh menari dengan berpakaian wanita dan bersolek. Biasanya yang mempunyai rupa paras menarik dan dianggap ‘jambu’, digalakkan menjadi budak penari. Rata-rata usia mereka sekitar 10 tahun hingga 19 tahun.


Untuk siapa mereka menari? Bacha Bazi adalah khusus untuk menghiburkan khalayak lelaki. Selepas acara tarian itu, mereka kemudian akan dipilih dan dibawa pulang oleh kalangan pembesar, orang-orang kaya dan berpengaruh untuk aktiviti seks.

Lantaran kemiskinan, ramai budak lelaki menggilap bakat menari untuk menyertai kelompok Bacha Bazi. Sebahagian lagi ditipu dan akhirnya tanpa rela terjebak dengan gejala tersebut. Tidak kurang juga dijual sebagai dagangan seks. Bukan rahsia lagi, seks sejenis terutamanya perbuatan sodomi menjadi tabiat ramai lelaki di negara yang penduduknya beragama Islam itu. Perit untuk diakui, tetapi itulah hakikatnya.

Kisah Bacha Bazi pernah didedahkan oleh wartawan Afghanistan, Najibullah Quraishi yang kemudian memenangi anugerah kewartawanan. Pendedahan tersebut mendapat perhatian meluas media di Barat tidak lama dulu.

Gejala tersebut pernah diharamkan ketika rejim Taliban memerintah Afghanistan, tetapi kembali diamalkan di beberapa wilayah tertentu tanpa diheboh-hebohkan. Amalan itu sukar dibendung memandangkan golongan elit yang mengamalkan seks sejenis dan sodomi dikatakan makin membesar.


Paling menyayat hati, sebahagian daripada budak penari itu dilaporkan menjadi mangsa rogol, malah ada yang diseksa serta dibunuh. Bayangkan budak lelaki yang dalam usia persekolahan menjadi hamba kebuasan nafsu seks sejenis golongan yang berpengaruh.


Pihak berkuasa pula cuba menafikan tetapi pendedahan yang dibuat serta pengakuan sebahagian budak yang terlibat, tidak dapat menutup realiti. 

Sumber: sini



Pernah tak kita semua bayangkan cerita ini? Saya sendiri tidak pernah terbayang benda begini berlaku di negara yang luarannya nampak sangat kuat Islamnya itu. Kenapa boleh jadi begitu, ya???

Pashtun women in Pakistan


Penindasaan dan kekejaman terhadap kaum wanita dan para isteri juga amat dahsyat berlaku di Afghanistan dan juga di Pakistan. Saya pernah berbual dengan beberapa orang di kedai makan di Peshawar, Pakistan, sengaja bertanya ke mana perginya kaum wanita.

Lebih kurang begini ceritanya yang saya ingat (maaf kalau tersilap; semua ini hanya berpandukan kepada apa yang saya ingat saja ketika menulis entry ini). Mereka bercerita ada anak gadis yang dipukul dan dibunuh hanya kerana ia berbual dengan lelaki, malah jika mengintai “jantan” dari jendela tingkap rumah pun, jikalau saudara lelaki itu tahu, boleh mengundang malapetaka bahaya pada sang gadis. Kebiasaannya terjadi pada mereka yang terdiri daripada kaum Pashtun, terutamanya yang tinggal di pedalaman.

Kaum Pashtun paling ramai terdapat di Pakistan. Jika kita ternampak kelibat wanita yang tidak bertutup litup di sekitar Peshawar atau mana-mana di Pakistan, mereka kata wanita ini bukan dari suku kaum Pashtun.

Berita keganasan begini kerap juga kita dengarkan. Pernah saya terbaca kisah isteri yang dipotong hidung, malah disimbah asid hanya kerana telah melakukan kesilapan kecil.

Okay, berbalik semula kepada kisah Bacha Bazi ni. Rasanya benda begini pun memang dah ada berlaku di Malaysia, sama ada Mak Nyah atau Macho Man yang menari di khalayak ramai. Lebih kurang sama jer dengan Bacha Bazi tu. Bezanya mereka di Malaysia buat dengan sukarela, malah seronok lagi, tetapi di Afghanistan mereka terpaksa atau dipaksa melakukannya.

Entahlah. Pada akhir zaman ni, bolehkah perkara sebegini kita bendung? Kesian Bacha Bazi di Afghanistan tu. Macam mana kita nak selamatkan mereka? Boleh ke? Jangan kita kata itu hanya soal di negara sana saja kerana perkara begini boleh terjadi pada anak-anak kita juga. Ya, mengikut acuan cara dan “style” kehidupan kita di sini.

Bolehkah kita tolong mereka???

Jawapan dari saya, ya, kita boleh tolong. Kita tolong berdoa pada Allah, minta dihapuskan gejala Bacha Bazi yang berlaku di Afghanistan itu. Moga doa kita didengari Allah dan mana tahu, makbul doa kita itu nanti. Tak lupa juga tolong doakan juga buat negara kita, semoga Allah hindarkan amalan seperti ini dari terus bermaharajalela dan berleluasa.


Syukur yang teramat sangat kerana saya dikurniakan HIV. Syukur alhamdulillah.

Source: sini
Republished by Lifejacket.