Saturday, February 04, 2012

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (13) [ANAEMIA, THROMBOCYTOPENIA, VAGINAL DISCHARGE, WHITE DISCHARGE, SEX TIPS, POLIGAMI]

My best doctor. 
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician

Syukur Alhamdulillah kebelakangan ini, rumah buruk kami tak henti-henti didatangi tetamu terutama di kalangan sahabat rapat komuniti.  Selepas Puan Rusyida sekeluarga, datang pula Mr. Survivor dan Mael selama 2 hari.

Sebaik sahaja mereka pulang, Puan Alia Haryanie pula sudi singgah bertemu mata dan bertanya khabar. Semuanya membawa berita gembira, rezeki dan keberkatan.

Kepada mereka yang sudi hadir, terima kasih kami sekeluarga ucapkan. Mohon maaf atas segala kekurangan layanan. Apa yang ada, itu sahajalah yang mampu kami penuhi. Jangan serik untuk datang lagi.

Dalam begitu, komitmen terhadap komuniti dan blog pun ada macam-macam ragam dan cerita. Komitmen terhadap karier ada yang perlu ditangani secara rutin dan ada yang perlukan tindakan segera.

Poligami & Komitmen Keluarga

Itu tidak termasuk tetamu biasa yang terdiri daripada sanak saudara. Aku pun tak faham kenapa ramai saudara-mara atau sahabat-sahabat sedia ada nak berjumpa untuk dapatkan 2nd opinion dalam hal-hal tertentu terutama masalah rumahtangga dan nak kahwin dua. Agaknya mentang-mentanglah aku mengamalkan poligami. Hahaha…

Tapi kakak-kakak jangan bimbang, aku taklah sejahat yang kakak-kakak sangka...

Setakat ni (katakan 10 orang yang meminta pendapatku tentang hasrat berkahwin dua) tak ada sorangpun yang meneruskan hajat. Kalau setakat nak kahwin kerana nafsu ala cerita P. Ramlee, tak payahlah menambah dosa. Memanglah cara tersebut seronok dan mudah. Mesti pandai bohong dan temberang. Tapi kalau nak tambah beban dan dosa, buatlah.

Kalau nak kahwin kerana yakin bahawa hukum Allah adalah yang terbaik, mesti cukup ilmu di dada. Jadi, tak payah ngarut-ngarutlah bahawa aku akan sokong kau orang membuta tuli. Silap-silap terpaksa tadah telinga dengar khutbah aku.

Ragam dan ujian anak-anak berbeza pula situasinya. Tidak kira terhadap anak-anak lelaki atau terhadap anak-anak dara kesayanganku. Masing-masing ada cerita dan ujian tersendiri. Semuanya menuntut perhatianku sebagai ketua keluarga.

Segala pengalaman tersebut bercampur dan menjadi asam garam pelengkap kehidupan. Sekurang-kurangnya masih ada juga sedikit peranan yang boleh aku lakukan di muka bumiNya ini. Syukur Alhamdulillah...

Rawatan & Sikap PLHIV Semasa Menghadiri Rawatan

Petang semalam, 3 Februari 2012 (Jumaat) aku ditemani isteri-isteriku memenuhi rutin rawatan di Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan. Kali ini ianya sekadar pemantauan biasa kesihatan, kaunseling dan mengambil bekalan HAART.

Jarak dari rumah kami di Temerloh ke KK Jaya Gading dalam anggaran sejam setengah pemanduan santai. Kos tol Chenor- exit Gambang ialah RM9.50 tidak termasuk minyak untuk perjalanan sehala.

Sampai sahaja di klinik, aku lihat fail rawatanku telah tersedia di kaunter kerana aku telah memaklumkan terlebih awal melalui SMS tentang kehadiran aku ke klinik kepada Dr. Iskandar. Ianya bertujuan untuk memudahkan urusan rawatan. Bukan sebagai reminder, tetapi atas dasar keperluan komunikasi professional.

Patients mesti memahami situasi doktor yang sentiasa sibuk dan cubalah mudahkan proses rawatan sendiri sebaik mungkin. Win-win situation. Bantulah diri sendiri apa-apa yang patut. Janganlah asyik merungut sahaja jika berlaku masalah.

Setelah menunjukkan kad rawatan diabetes dan memaklumkan bahawa aku ada temujanji dengan Dr. Iskandar, tanpa menunggu lama, kami dijemput masuk. Lagipun, pekerja KK di kaunter tu memang dah kenal muka selamba toya aku ni.

Seterusnya Dr. Iskandar melakukan rutin biasa pemeriksaan kesihatan seperti pemantauan bacaan glukos, tekanan darah, berat badan, pemeriksaan jangkitan di mulut dan sebagainya. Alhamdulillah segala-galanya normal.







Sesi Kaunseling

1.   Doktor Iskandar mengesahkan bahawa selain HIV dan diabetes, aku juga mengidap beberapa penyakit kronik yang lain iaitu anaemia dan thrombocytopenia.

Apabila Dr. Iskandar mengesahkan aku mengidap thrombocytopenia, aku lebih jelas kenapa aku dimasukkan ke hospital kerana suspek denggi berdarah tempoh hari.

Memang pesakit thrombocytopenia mengalami masalah platelet yang rendah, pendarahan pada hidung, pendarahan sekitar gusi, dan mengalami lebam di anggota badan.

Syukur, bertambah lagi rezeki dan koleksi anugerah Allah, hehehe…

Sebenarnya aku yang meminta pengesahan tersebut supaya mudah aku memahami masalah kesihatan sendiri dan mengambil beberapa langkah awal kawalan.

2.   Bagi PLHIV yang berkahwin dan mengalami masalah rasa penat berpanjangan dan lemah-lemah otot akibat kesan sampingan rawatan HAART atau penyakit-penyakit kronik lain, senaman secara konsisten adalah sangat-sangat penting untuk mengekalkan stamina semasa melakukan hubungan seks dan kesihatan badan.

Selain dapat mengekalkan kekuatan otot, senaman dapat membantu lelaki mencapai ereksi yang sempurna dan mengurangkan keletihan selepas melakukan hubungan seks.

Untuk mendapatkan info lanjut mengenai kebaikan senaman terhadap stamina dan kualiti kelelakian, kau orang googlelah sendiri. Tak larat aku nak taip dan aku pun bukan pakar di dalam bidang perubatan.

Apa yang Doktor Iskandar terangkanpun aku sekadar antara faham dengan tidak kerana membabitkan beberapa istilah perubatan.

3.   Kepada PLHIV yang selalu ke gym untuk membina otot, elakkan pengambilan steroid sebagai jalan singkat mendapatkan hasil jika tanpa bantuan dan bimbingan professional trainer. Dibimbangi pengambilan steroid tanpa bimbingan pakar boleh mengakibatkan kesan sampingan terhadap fungsi buah pinggang. Wallahu a’lam!

(Aku tambah sendiri: Aku berpendapat kalau ke gym untuk senaman, oklah, tetapi kalau nak bina badan supaya berotot sampai ke tahap ambil steroid dan sebagainya, agak-agaklah bro… Bukan apa, kombinasi HAART pun dah sedia satu beban kepada badan, inikan pula nak tambah dengan steroid)

4.   Jika PLHIV mengalami dehydration akibat pengambilan HAART, selain dengan cara banyak minum air kosong / suam, PLHIV boleh mengambil ubat sapu tanpa pewangi untuk disapu pada bahagian kulit yang kering. Aku syorkan olive oil je…

5.   Bacaan CD4 yang turun naik adalah normal kerana CD4 turut bergantung kepada rehat yang mencukupi, mood, dan waktu ianya diambil.

Sangat penting untuk difahami bahawa bacaan CD4 yang tinggi adalah baik untuk imuniti individu, tetapi jumlah virus (VL) yang tinggi dan tanpa kawalan HAART boleh meningkatkan risiko jangkitan terhadap pasangan.

Jadi kalau dah kahwin, tak mahu ambil HAART dan enggan pula pakai protection (kondom), cubalah bayangkan zalim atau tidaknya bertindak begitu. Kasihanlah kepada pasangan yang telah banyak berkorban dan sudi menerima kita. Itu adalah hak dan keadilan untuk mereka.

Yang buat aku betul-betul tak faham, macam mana sesetengah PLHIV yang terbabit masih mampu ereksi dan menjalinkan hubungan seks sedangkan mereka tahu ianya membahayakan pasangan yang mereka dakwa insan yang amat disayangi. Kalau tak sayang, takkan kahwin, kan? Entahlah, banyak juga kes begitu yang aku jumpa.

6.   Bagi isteri kepada PLHIV yang mengalami vaginal discharge atau white discharge atau masalah keputihan yang ada berlaku di kalangan sebahagian wanita, ianya TIDAK membahayakan PLHIV semasa hubungan seks.

Sudah tentu penggunaan kondom masih perlu, tetapi masalah keputihan tersebut boleh dikatakan common atau biasa berlaku pada wanita yang disebabkan oleh faktor-faktor biologi dan fisiologi mereka.

Walau bagaimanapun, setiap wanita yang telah berkahwin adalah sangat disarankan untuk menjalani ujian Pap Smear yang boleh dilakukan di klinik-klinik kesihatan yang berhampiran. 

Jalaninya sekali pada setiap tahun selama 3 tahun berturut-turut dan jika hasil ujian adalah normal, anda boleh menjalaninya sekali setiap 3 atau 5 tahun sekali.

OK, itu sahaja perkongsian info kali ini. Moga ada manfaatnya kepada para pembaca. Setinggi-tinggi penghargaan & terima kasih kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua warga KK Jaya Gading, Kuantan.


Nota AHP:
Jika memerlukan pandangan, sila hubungi aku di positive4eva@gmail.com atau 017 980 5682 (AHP). Panggilan telefon hanya akan dilayan antara pukul 5-7pm sahaja. SMS tidak akan dilayan. 


Link yang bagus untuk dilayari, sila klik: sini