Saturday, February 25, 2012

ANTARA ANGAN-ANGAN TERAKHIRKU SEBAGAI PEMBAWA HIV

Google image


Maaf aku masih terlalu sibuk dengan bermacam-macam komitmen setiap hari. Rasanya hampir selama 16 jam dalam keadaan aku sebagai PLHIV, pesakit diabetes, anaemia, thrombocytopenia dan entah apa-apa lagi. Semuanya menyumbang kepada kepenatan dan kelesuan badan yang teruk.

Sejujurnya aku selalu merasakan umurku dah tak berapa panjang. Sekurang-kurangnya peluang untuk hidup seperti biasa sama seperti insan lain dah tak lama. Bukan kerana HIV, tetapi kerana aku mengidap pelbagai penyakit kronik. Jauh sekali kerana aku rasa berputus asa. Tak tahulah kenapa.

Mungkin kerana aku tak mahu meletakkan harapan yang tinggi-tinggi. Banyak sangat terima kejutan dalam hidup, akhirnya sampai ke satu tahap aku dah tak kisah apapun. Always expect the unexpected, remember? Nikmati sahaja hidup secara A, B, C, D...

Kemungkinan besar tak lama lagi aku terpaksa melalui semula bone marrow biopsy. Dahlah dulu dia orang janji sekali sahaja. “Sekejap je, sikit je, doktor pakar yang buat dan tak sakit sangat pun...”

Macam-macam janji manisnya, tapi tandatangan terhadap risiko pembedahan dan pemindahan darah, wajib aku akur. Tahu-tahu tulang punggungku mereka tebuk 3 kali lubang sekaligus. Meraung aku dibuatnya, tapi sample tak dapat-dapat juga. Akhirnya HIV yang aku dapat.

Bukan tu sahaja, bila aku tanya doktor Cina di Hospital Ampang yang beritahu aku didiagnos HIV positive tu, kenapa buat bone marrow biopsy kalau sample tak ada dan prosedur tu tak perlu, nada suara jawapannya seperti menengking, “Itu saya ta tau!” Muka sepanjang masa masam mencuka.

Aku tanya lagi kenapa result 2 ujian HIV selepas bone marrow biopsy membuktikan aku negative dan tiba-tiba bertukar positive, pun senang sahaja dia kata, "Itu pun saya ta tau..." Malahan ditambah lagi kononnya aku ada HCV? Best kan?

p/s- Kepada ahli keluarga, berhati-hati apabila doktor menyuakan kertas persetujuan untuk pembedahan segera ketika pesakit masih mamai dengan ubat bius selepas menjalani satu pembedahan yang lain.

Begitulah yang terjadi kepada allahyarham birasku baru-baru ni. Beliau pesakit diabetes macam aku, terpaksa dibedah kerana berlaku jangkitan kuman akibat sengatan ikan sewaktu memancing.

Mula-mula potong satu jari tangan sahaja dan selepas tu apabila kuman merebak, terpaksa dibedah di lengan pula. Sekarang beliau selamat berada di alam kubur. Terasa segalanya berlaku dalam sekelip mata.

Sekarang ni, dia orang nak tebuk lagi. Isteri-isteriku awal-awal dah tak setuju. Kalau adik beradik aku tahupun begitu juga. Sekalipun adik beradikku tak tahu aku ada HIV dan tak faham sangatpun tentang penyakit-penyakit kronikku yang lain, tetapi semasa aku setuju buat bone marrow biopsy dulupun mereka dah membebel macam-macam. Maklumlah bercakap memang mudah.

Mak aku kalau tahu lagilah mengamuk. Kalau apa-apa hal terjadi (jangkitan kuman dan sebagainya) risiko aku tanggung sendiri. Keluarga dah nasihat tapi aku degil. Suka atau tidak, risikoku tinggi kerana aku ada diabetes.

Kalau tak tinggi risiko, mesti dia orang bius penuh supaya aku tak sedar semasa prosedur tempohari. Kerana bimbangkan risikolah dia orang cuma bius tempat tebuk tu aje. Itu dia orang yang kata, bukan aku kata. Pastu try kau orang google youtube – bone marrow biopsy. Tengoklah sendiri best atau tak.

Tak dibuat, risiko lain pula yang terpaksa ditanggung. Mungkin akan kedengaranlah ayat begini: "Itulah awak tak mahu buat bone marrow biopsy dulu, sekarang dah terlewat untuk rawatan." Balik-balik aku juga yang kena. Tak larat aku memikirkannya. Biarkan sahaja takdir datang sendiri apabila sampai masanya. Tempuhi dulu hidup satu persatu dengan syukur.

Kalau sampai ajalku pun aku redha. Selagi imanku terpelihara, apa yang nak digusar? Sekurang-kurang hidup tak menyusahkan orang sihat. Semuapun akan mati kecuali Allah. Tak ada apa yang nak diralatkan.

Namun aku berdoa semoga Allah izinkan aku dapat tunaikan beberapa hajatku dalam waktu terdekat. Nak pergi umrah lagi sekali. Nak menunaikan haji dan nak round satu Semenanjung dengan Vulcan 900 cc yang aku plan nak sambar dalam waktu terdekat.

Selain untuk menyebarkan kempen kesedaran HIV, aku nak kutip derma untuk bina Pusat Perlindungan Komuniti setakat yang termampu.

Sebenarnya chopper dan easy riding adalah jiwa aku sejak remaja. Aku pernah memiliki sebuah chopper yang ber cc kecil, tetapi tidak memberikanku kepuasan menunggang. Lagipun superbike sejak tua-tua ni aku dah tak berani. Kalau setakat kereta standard 2000 cc ke bawah, kau orang ajak aku race, anytime aje. Hahaha…

Apabila begini, desakan naluri untuk kembali menunggang chopper terlalu kuat. Terasa ‘hilang’ segala sakit dan masalahku apabila duduk di seat motor.

Setakat ni Allah belum izinkan, jadi kena sabarlah sikit. Tolong doa-doakan hajat aku tercapai, ya. Insya-Allah ada jalannya apabila Allah izinkan nanti. Ada sesiapa nak derma? Hahaha…

Kalau hajatku dikabulkan, aku nak ambil cuti sebulan tanpa gaji. Aku nak ride chopper aku tu dan pakai jaket yang tertulis “I’m HIV Positive”. Kat motor tu aku nak tampal sticker Positive Warrior. Ok kut?

Round satu Malaysia, edar risalah, ceramah, kutip derma untuk bantuan komuniti, singgah solat kat mana-mana masjid, ziarah dan boleh tumpang tidur rumah sahabat-sahabat komuniti. Tak adalah besar sangat belanja sepatutnya, kan?

Lepas tu kalau doktor nak tebuk tulang punggungku lagi, tebuklah. Kalau dia orang diagnos aku dengan macam-macam penyakit lain seperti kanser dan sebagainya pun,(nauzubillah) aku dah tak kisah. Apa risiko aku terima sahaja. Nak chemo ke, apa ke, suka hatilah.

Kalau Allah tak izinkan impianku ini, maknanya Allah akan beri aku sesuatu yang lebih baik. Okaylah tu, syukur lagi…

Cuma, selagi Allah berikan peluang, selagi itu aku perlu berjuang dan berusaha mencapai kesempurnaan hidup sebaik mungkin. Buat amal ibadah dan taburkan jasa.

Apa-apa hal aku akan cuba dapatkan kaunseling awal dengan Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan doktor pakar hematology dari Hospital Ampang pada 12 haribulan Mac nanti di Hospital Kuantan.

Ok, jumpa lagi. Entry memanaskan blog aje ni. Beberapa angan-angan kecilku yang lain tu abaikan sahaja. Simpan di hati. Maaf, kerana segala komen tak sempat aku reply.