Ini adalah kisah benar salah seorang kumpulan Positive Worriors, kumpulan sokongan komuniti blog ini. Kisah duka seorang PLHIV yang luarannya sangat aktif dan ceria membantu sahabat-sahabat PLHIV. Kita namakan sahaja sebagai Papa.
Papa kuanggap adik dan sahabat rapatku sendiri. Nickname Papa di blog biarlah rahsia atas sebab-sebab tertentu.
Aku dan Papa menjalin persahabatan apabila Papa menghubungiku melalui emel untuk berkongsi rasa ketika Papa kebingungan pada peringkat awal diagnos.
Ketika itu hidup Papa sangat-sangat sunyi. Disebabkan Papa menunjukkan sikap positif dan saling berkongsi sokongan, silaturrahim antara kami terjalin dengan cukup pantas.
Kami banyak berhubung melalui SMS dan telefon. Sesekali aku sekeluarga menziarahi Papa dan begitulah juga Papa yang kelihatan selesa bersama kami sekeluarga. Ada ketikanya Papa akan meninggalkan komen dan sokongan di blog tetapi Papa lebih aktif membantu komuniti secara peribadi di luar sana.
Terlebih dahulu aku minta maaf kepada Papa atas perkongsian tanpa izin ini. Bukan sesekali bertujuan menjaja kisah peribadi Papa tetapi sebagai tanda sokongan ketika Papa berdepan ujian yang sangat mencabar.
Lagipun siapa boleh mendakwa mengenali Papa kecuali sahabat-sahabat rapat kita yang sedia maklum. Salah dan silap harap dimaafkan.
Perkongsian ini sangat jauh kurangnya berbanding cabaran sebenar yang Papa tempuhi tetapi aku yakin sebahagian yang kecil ini cukup sebagai renungan dan pengajaran bersama.
Siapa Papa yang sebenarnya?
Papa seorang bapa tunggal pertengahan 30an. Bapa penyayang kepada seorang anak lelaki penyejuk mata berumur 2 tahun lebih. Seorang yang sangat down to earth sekalipun karier Papa sebelum ini adalah sebagai seorang Jurutera.
Aku paling seronok tengok Papa lebih selesa berkain pelikat berbanding berseluar apabila sesekali kami hang out berbual kosong di mana-mana gerai. “Aku orang kampung…” katanya selamba apabila diusik sahabat-sahabat kerana selesa berkelambu.
Lebih seronok kalau dengar Papa gelak. Bergegar bunyinya mengalahkan supersonic. Bila gelak, Papa tidak peduli orang sekeliling. “Sori kak, kalau saya gelak, memang saya gelak macam ni lah” kata Papa kepada isteri-isteriku.
Sebahagian ujian dalam hidup Papa sebagai PLHIV
Apabila didiagnos sebagai PLHIV, bermulalah beberapa cabaran besar dalam hidup Papa secara bertimpa-timpa. Satu persatu dan semuanya bukan kerana virus tetapi akibat sikap jahil manusia.
Papa terpaksa merelakan perpisahan dengan bekas isteri tercinta. Maklumlah bukan semua orang boleh terima dan faham PLHIV sekalipun bekas isteri Papa adalah kakitangan professional KKM sendiri.
Berpisah dengan isteri bermakna terpaksa berpisah juga dengan anak kesayangan walaupun hubungan sebagai ayah dan anak tidak pernah putus.
Kemudian, Papa terpaksa meletakkan jawatan dengan sebuah company besar daripada luar negara akibat tak tertanggung dengan tekanan majikan, terutama peringkat awal rawatan dan memulakan HAART. Apabila terlalu kerap bercuti, pihak majikan mula mempertikaikan macam-macam perkara.
Banglo mewah Papa, hampir setengah juta. Kalau di KL, aku rasa nilainya berganda. Di mana? Mana boleh aku bagitau semua. Adalah somewhere, and maybe your neighbours! Hahaha…
Malangnya banglo mewah yang baru dibeli untuk family di sebuah taman perumahan berhampiran ‘kampung asal’ bekas isteri akhirnya telah memenjarakan tubuh dan fikiran Papa dengan sangat kejam. Mahligai cinta bertukar penjara air mata.
Boleh bayangkan semua tu? Baru beli rumah untuk anak isteri, tiba-tiba dapat tahu ada HIV. Baru belajar terima hakikat ada HIV, isteri pula terpaksa dilepaskan dan terpaksalah berpisah dengan anak kesayangan.
Baru mula rawatan HAART, ketika keliru dengan macam-macam perkara, majikan sibuk persoalkan itu ini. Aku yakin kalau bukan calang-calang orang, gila dibuatnya.
Bukan itu sahaja, maruah Papa diaibkan pula oleh keluarga bekas isteri yang kebanyakannya berlatar belakangkan pendidikan agama.
Jadi tak hairanlah apabila ada PLHIV yang terfikir untuk bunuh diri dan rosak akidah akibat dihina oleh golongan agama dan anggota masyarakat. Itu tidak termasuk kaum keluarga mereka yang tidak bersalah yang turut menjadi mangsa.
HIV tak bahaya manapun, boleh dirawat dan berpeluang hidup sihat seperti insan lain tetapi hukuman dan sikap masyarakat sangat-sangat menyiksakan.
Kenapa Papa terpaksa berpisah dengan isteri?
Inilah akibat taat dan patuh kepada ibu bapa secara membuta tuli sehingga sanggup membuka aib suami dan ayah kepada zuriat sendiri kepada orang lain. Sepatutnya bila kahwin kepatuhan lebih kepada suami.
Manja dan terlalu dilindungi sejak kecil menyebabkan bekas isteri Papa sering mengadu apa juga masalah kepada ibu bapa. Kalau tak sudi terima Papa, rasanya taklah melukakan sangat tetapi apabila membuka aib suami kepada ahli keluarga sendiri, itulah jadinya.
Apabila keluarga campur tangan, perkara yang sepatutnya boleh jernih menjadi sukar. Tergopoh gapah ternyata membawa padah. Orang luar senang sahaja mencadangkan macam-macam. Maklumlah, bukan mereka yang menanggung akibat kemudian hari.
Siapa yang tahan jika diungkit macam-macam perkara sedangkan salah dan silap tak mampu lagi nak diubah? Pernahkah mereka faham betapa penyesalan dalam diri PLHIV sendiri lebih menyiksakan sekalipun insan-insan tercinta telah memaafkan? Inikan pula dicaci cerca seperti anjing buruk kepala.
Banglo mewah jadi penjara.
Apabila membeli rumah di ‘kampung’ isteri, begitulah jadinya. Semasa beli kita tak terfikirpun untuk berpisah tetapi takdir mengatasi segala-galanya.
Rumah mewah itu terasa sangat sunyi dan segala ruang yang ada terasa sangat menyiksakan. Untuk apa sebenarnya rumah tersebut jika harta tidak lagi membawa makna?
Apabila berpisah, bekas isteri Papa kembali ke rumah ibu bapa bersama anak tercinta. Demi anak, Papa cuba bertahan di situ sekalipun terasa sangat terasing berada di kejiranan yang tidak tahu masalah sebenar.
Siang bertukar menjadi malam, malam bertukar menjadi siang kepada Papa. Seharian dihabiskan masanya untuk tidur atau sesekali melayan anak jika perlu. Malam pula Papa berjaga sehingga pagi.
Malam Papa menghabiskan masa dengan berfikir, menonton TV, melayan komuniti dan memberikan apa-apa sokongan yang patut untuk melepaskan sunyi. Perbelanjaan harian Papa hanya ditampung melalui sedikit sebanyak aset dan simpanan yang terkumpul semasa masih punya karier tempohari.
Jiran-jiran hairan terhadap apa yang terjadi kepada Papa kerana kebanyakan waktu hanya berada di rumah. Nak dikatakan bercerai, sesekali kelihatan juga bekas isteri datang membawa anak pulang ke rumah melepaskan rindu si anak.
Atau bila-bila perlu, Papa terpaksa menebalkan muka ke rumah bekas mertua demi anak. Mahu bersama anak secara peribadipun sukar jika tidak ditemani isteri. Entah apa yang keluarga bekas isteri Papa fikirkan. Takut berjangkit agaknya...
Peliknya apabila tenaganya diperlukan, mereka tak segan-segan pula meminta Papa menjadi ‘pemandu peribadi' ke merata negeri.
Kehidupan Papa hanya berlegar sekitar rumah mewahnya. Nak ke mana-mana termasuk stesen minyak dan membeli belah di shopping complex pun Papa bimbang terserempak dengan saudara mara bekas isteri. Papa terasa sangat aib dengan perbuatan mereka.
Kesudahannya Papa rasa tak perlu langsung keluar rumah sekalipun rumah tersebut sangat-sangat menyiksakan. Segala-galanya yang Papa rasa adalah sunyi, sepi dan sendiri. Bayangkan kita menunggu tetapi tak tahu apa yang perlu ditunggu.
Papa tahu sampai bila harus begitu tetapi apabila memikirkan anak, Papa tak sampai hati untuk berhijrah. Semakin dipendam, semakin memakan diri sedangkan dirinya belum tentu ada banyak masa seperti orang lain.
Papa ingin memulakan kehidupan sebagai individu yang baru. Berhijrah bermakna terpaksa meninggalkan anak dan rumah yang pernah menjadi syurga bersama. Setiap kali membayangkan wajah anak tunggal yang memerlukan, Papa jadi buntu dan keliru. Hati Papa merintih dan menangis di dasar hati tiada siapa yang mengerti kecuali Allah.
Suka atau tidak, Papa terpaksa buat pilihan. Pergi bukan bermakna mengabaikan. Hubungan dengan anak kekal selamanya dan aku percaya apabila dewasa anak lelaki kesayangan Papa sendiri tidak rela Papanya menderita begitu.
Ingatlah kerana yatim piatulah jiwa Rasulullah menjadi independent dan kuat. Kerana bapa para mujahid menyintai syahid dan berjuang fi sabilillahlah lahirnya ramai cendikiawan dan ulama’.
Pergi bukan bermakna meninggalkan. Kadang-kala hidup kita hanya ada dua pilihan dan terpaksa memilih salah satu daripadanya sekalipun kedua-dua pilihan adalah pahit. Semua ini pinjaman Allah semata-mata.
Pilihan mesti dilakukan dan Papa tetap masih boleh berhubung dan menziarahi anak. Bapa sejati takkan dibenci anak sekalipun dipisahkan oleh seribu lautan.
Sudahlah, hentikan kesedihan itu Papa. Ini masanya untuk kita buktikan. Doa kami sentiasa mengiringi.
Kepada pembaca, perkongsian ini bukan bermaksud mencari simpati tetapi sebagai pengajaran kepada insan lain yang mungkin berdepan isu yang sama. Blog ini blog PLHIV, maka cerita dan suara hati kamilah yang kami ceritakan.
Aku yakin sahabatku Papa kuat dan mampu menghadapi ujian ini cuma Papa perlukan sedikit masa demi anak kesayangnnya.
Kami redha dengan perjalanan hidup kami jika kau orang anggap ini balasan yang wajar kami terima. Kami sedar sekalipun aktif membantu dan berkorban untuk negara, masyarakat, family dan anak-anak tetapi hak dan suara hati kami tetap dinafikan. Bahkan isteri yang tidur sebantal belum tentu memahami.
Khilaf lampau kami seolah langsung tidak terampun sedangkan ada kalanya tangan-tangan hina inilah yang membantu ketika tiada insan lain yang sudi.
Kepada adik-adik yang baru belajar erti hidup dan ghairah mencuba macam-macam perkara berisiko di luar sana, pakcik tua ada HIV ni nak nasihatkan:
“Jauhilah perkara sia-sia dalam usia muda. Jangan confident hero sangat. Kena kat batang hidung sendiri belum tentu kau mampu tanggung, bro...”
“Jangan berlagak selagi belum teruji dan sibuk memaki hamun kami sesuka hati apabila ditegur akibat kejahilan sendiri.”
Ok, tak mengapalah, tak perlu melankolik. Cakap banyak pun tak guna. Perjuangan mesti diteruskan selagi bernafas. Kau orang peduli atau tidak, kami akan terus melangkah!