Sunday, February 19, 2012

SAKARATUL MAUT



“Abang ada sesak nafas hari ni?” tanyaku mesra. Mata ptosis dah (kelopak mata jatuh – ngantuk)

“Sesak nafas tak ada, batuk kuat ajer, tak dapat tidur dibuatnya,” jelas abang Harun.

Aku senyum. Paru-paru masih penuh dengan jangkitan. Berair-air. Cuba ambil sehelai kertas dan konyot. Begitulah bunyi yang keluar dari stetoskop ini – crepitation. Salur putih nasal prong menyumbat kedua-dua lubang hidungnya dengan oksigen. Pesakit stabil. Ku mengorak langkah ke pantry. Haus sangat rasanya. Kering dah tekak ni.

Gulp, Alhamdulillah! Sedap betul air 100 Plus ni. Beli sebelum subuh tadi, kerja, petang baru sempat minum. Banyak sangat urusan dunia , hal ehwal merawat manusia yang perlu diuruskan secara jujur dan hati-hati, sampai makan minum pun dah kucar-kacir.

Kugapai beg sandang coklatku. Eh, ada newspaper rupanya dalam beg ni! Tarikh 24 September. Hari ni dah 26. Hmm, tak sempat baca lagi. Simpan dululah. Ada masa nanti baru baca.

Begitulah rutin harian sampai melambak-lambak surat khabar lama kat rumah yang dibeli tanpa dibaca. Waktu beli tu memang semangat nak baca, apabila dah sibuk kerja, entah bilalah nak baca. Buku medic pun tak sempat habis!

“Doctor Faizal, ada patient asystole! (tiada degupan jantung),” jerit nurse ke dalam bilik pantry. Ku segera bangkit, meletakkan tin minuman di atas meja lantas menghayun kaki keluar dari bilik pantry dengan tergesa-gesa.

“Ya, Allah jauhkan wad ini daripada malaikat maut,” itulah antara ayat yang terpacul keluar dari mulut tanpa sedar. Pintu bilik pantry kukuak. Dentuman pintu di belakang tak kuhirau.

“Katil berapa kak?”

“Katil 2, nenek Jah, nak inform sesiapa tak?” tanyanya pantas.

“Tolong call Dr. Leong, suruh dia datang cepat. Inform MO second call, Dr. Rama, kan? Saya nak intubation set sekarang, bawa ke katil 2. ETT saiz 7.5,” arahku dalam kalut. Lab coat putih kucampak ke atas kaunter. Nanti dah settle kukemas balik, desusku.

“Puan, encik, minta maaf banyak-banyak. Boleh duduk di luar dahulu, kami nak selamatkan nenek ni dahulu,” pesanku pada ahli keluarga yang cemas.

Terus kutarik langsir menutup sekeliling katil. Jururawat-jururawat turut sama membantu. Aku tak pedulikan apa-apa respons daripada ahli keluarga. Nak menangis ke, nak melolong ke, nak merengek ke, yang penting duduk luar. Aku nak buat bantuan pernafasan sekarang ni (CPR).

Langsir ditutup, ada yang cuba membuka.

“Minta maaf, tolong duduk luar sekejap, saya nak selamatkan nyawa nenek ni. Saya tak nak gangguan,” kataku tanpa intonasi namun volume suara agak tinggi. Jelas. Mustahil tak dengar.

Mataku lekas melekat di cardiac monitor. Cardiac monitoring linear, kadang-kadang baru degupan jantung kembali naik. Tak konsisten. Seorang jururawat yang bersarung tangan sedang menekan dada nenek ini. Keringatnya meleleh. Basah dahi.

“Saya nak ETT saiz 7.5, kak. Tolong buka lampu kat pangkal katil. Turunkan tempat sandar katil ni, biar katil flat. Tarik katil keluar sikit, saya nak mencelah kat dinding. Bagi adrenaline 1 mcg, then atropine 1mcg stat,” arahku monotonous. Jururawat-jururawat ni semua dah mahir dah. Tak payah suruh pun mereka akan tanya doktor, perlu bagi sekarang ke ubat-ubat itu atau tidak. Hari-hari ada orang mati dalam wad. Dah biasa.

Mata kuperiksa dengan lampu suluh. Fixed dilated pupil. Otak dah mati.

Kak Ros yang sedang meng“ambu” melalui oropharyngeal tube kuminta ke tepi. Leher pesakit kuextend. Rahang mulut kutekan dari tepi untuk meluaskan bukaan mulut. Lekas kucabut oropharyngeal tube, capai laryngoscope, ETT tube dan masukkan ke celahan peti suara pesakit apabila terzahir di mata kasar dengan bantuan cahaya daripada laryngoscope dalam kelam tekak seorang manusia.




Equal?” tanyaku pantas kepada seorang jururawat yang sedang memeriksa paru-paru dengan menggunakan stethoscope.

“Tak pastilah doctor. Doctor cuba dengar,” tuturnya perlahan.

“Tolong ambu kejap”.

Kugapai stethoscope biru yang tergantung di leherku sepanjang hari dan terus menekapnya di dada kanan dan kiri.

Transmitted sound. Equal.

“Biar saya sambung,” pintaku sopan. Kak Ros lantas mengalih pungguhnya dan membiarkanku melompat ke atas katil dan terus menekan dada nenek Jah dengan kuat.

“Faizal, perlahan sikit,” tiba-tiba suara mencelah.
“Perlahan? Speed ke, amplitude?” jawabku selamba.

Amplitude la, hemothorax pulak nenek ni nanti,” tutur Dr. Rama yang muncul di sisi katil entah bila. Aku tak perasan.

Nenek Jah tersadai di atas katil. Dadanya berombak tatkala kami cuba mengepam jantungnya secara manual. Mulut terkunci, endotracheal tube menyumbat. Mata terpejam. Tak lagi terbuka. Badannya tidak bergerak seolah-olah pasrah.

Pasrah terhadap kehidupan dunia.
Pasrah terhadap malaikat yang ingin mencabut nyawa.
Pasrah terhadap janji Allah tentang kematian, yang takkan ditunda.
Pasrah terhadap doktor-doktor yang mencuba memanjangkan nyawa, tanggungjawab seorang manusia.

Aku senyap. Air mata mengalir dari kelopak mata Nek Jah yang tertutup.

“Mak, bangunlah mak. Kami nak jumpa mak,” suatu suara wanita terdengar di sebalik langsir. Sebak. Tangisan sebagai muzik background.

“Dr. Rama, boleh tolong CPR?” pintaku sopan. Beliau mengangguk tanpa banyak bicara.

“Makcik, mengucap makcik. La ilaha illallah.”
“La ilaha illallah.”

Kalimat agung ini kubisik di telinga kanan. Mulutku tak lebih 5 cm dari cuping telinga Nenek Jah barangkali.

“Mengucap nek. Lailaha illallah.”

“La ilaha illallah.”

“La ilaha illallah.”

Cardiac monitoring linear. Tiada degupan jantung dirakam walau jantung dipam secara manual dengan tangan-tangan kami.

Dr. Rama terduduk di atas katil. Tangan kiri diangkat. Jam tangan diperhati.

Dah lebih setengah jam. Tiada response. Kita berhenti di sini. Time of death 5.30 pm.

Aku mengangguk. Tiada emosi. Bidang perubatan telah menyedut segala emosi ketika berhadapan dengan situasi begini. Memang dilatih begini.

Sekujur tubuh hanya tinggal tubuh. Kakinya yang sejuk pada mulanya, kini keseluruhan tubuh. Tiada lagi suara nenek Jah yang mampu didengar. Tiada lagi nenek Jah yang sanggup meminjamkan telinganya untuk mendengar segala keluhan kerja yang menyesakkan diri. Tubuh hanya tinggal tubuh. Bersedia untuk bersemadi. Janji Allah itu pasti.

Kusedekahkan al-Fatihah buat Allahyarhamah. Berdiri kaku di sisi katil.

“Faizal, declare to the family,” pesan Dr. Rama. Ku mengangguk lemah.

Sedang ingin berjalan keluar sambil menyelak langsir untuk berhadapan ahli keluarga, tiba-tiba...

“Doktor, katil 25 SOB (shortness of breath, sesak nafas),” jerit staff nurse.

Katil 25? Eh, tu abang Harun kan? tertujah-tujah soalan di benak.
Belum sempat declare, ku terus berlari ke bilik isolation.

Langsir telah ditarik. Beberapa pasang kaki putih terlihat dari luar di bawah langsir yang tergantung.

Lekas kumasuk. Abang Harun umpama ikan di daratan. Tercungap-cungap. Matanya terbuka dan tertutup.

Intubation set right now,” arahku pantas.

Adik-adik pelajar jururawat berlari keluar. Cuak, mungkin pertama kali berhadapan keadaan sebegini.

“Mak, panas mak! Aaaaaaaahhhhhhh,” tutur abang Harun tercungap-cungap. Nafas ditarik panjang. Matanya merah.

“Sabar nak, doktor ada ni nak tolong,” pujuk ibunya dalam tangisan.

Panas mak, panas!
Aaaaaaaaaaaaaaahhhhhhhhhhhhhhhh!!!

Abang tttak tahannn!
Aaaaaaaaaaaaaahhhh

Aku segera menyiapkan perkakas di atas troli emergency. Suara abang Harun menghirup saki baki udara sungguh menggerunkan.

Kakinya tak duduk diam, merah padam. Hemorrhagic blister dah sebesar 10 cm diameter di atas kedua-dua betis.

“Doktor saya ambil ETT (endotracheal tube) kejap. Kat troli ni dah habis, guna kat nenek Jah tadi,”pesan jururawat.

“Dah pergi cepat. Inform anaest for intubation sekali,” pesanku. Dr. Rama segera mencelah masuk.

Kubiarkan beliau sahaja memberi arahan. Beliau lebih arif. Kedua-dua tangan abang Harun kupegang kuat. Pesakit ini agresif.

“Bang, bawa mengucap bang. Ingat Allah, La ilaha illallah. La ilaha illallah.”

Badannya umpama disalai hidup-hidup. Tak berhenti bergerak. Matanya terbeliak menahan pedih, tangan dipegang. Kaki terikat di hujung katil.

“Mengucap nak, mengucap,” jerit si ibu sebak. Air mata umpama air terjun. Entah ke mana limpahnya, entah di mana empangnya.

“Sakit, mak!!!!!!!!!!!!” jerit abang Harun kuat. Nafasnya ditarik panjang. Lidahnya terjelir keluar. Tekaknya berbunyi, berdiri bulu romaku.

Tuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuttttttttt. Cardiac monitoring kupandang – asystole!

“Minta maaf makcik, kami nak beri bantuan kecemasan,” pesan Dr. Rama. Kusegera melompat ke atas katil. Dada abang Harun kehenyak kuat. Jantung dipam dengan tangan.

“Huuuuuuuuuhhhhhhhhhhhhuuuu. Ya Allah, ambillah nyawa aku, jangan ambil nyawa anakku! Ambillah nyawa aku!” jerit ibu tunggal ini. Tangan tak dilepas dari tubuh abang Harun.

Staff nurse segera memegang ibunya untuk dibawa keluar. Susah payah dibuatnya. Sudah berumur, entah mana datang kudrat itu. Tangan tak terlepas dari bucu katil.

Dr. Rama segera intubate pesakit (masukkan tube ke dalam kerongkong). Susah, yang dilihat hanya darah.

“Jangan tinggalkan mak, nak! Jangan tinggalkan mak! Ambil nyawa aku ya Allah. Biar dia hidup ya Allah! Aku mohon pada engkau ya Allah! Jangan seksa anak aku begini!” jerit si ibu seolah-olah hilang akal.

“Bangun bang, tengok mak, nak,”
“Bangun bang...”
“Bang...” (jatuh pengsan)

Teeeeeeeeeeeeeeeeeeettttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttt.

Begitulah bunyi cardiac monitoring tatkala diisytihar kematian. Sakaratul maut yang diperhati di depan mata terbawa-bawa ke tidur. Pesakit yang tersenyum dan menyapa doktor di kala pagi, tidak lagi bersuara menjelang dinihari. Umur muda tak menjanjikan hidup lama. Niat di hati ingin mengucap kalimah suci di saat akhir, namun berapa ramai pesakitkah yang kudengar mengucap kalimah suci ini pada akhir usia? - Tiada-

Suaranya mungkin kuat menggertak pekerja.
Nanti suaranya juga mungkin kuat merayu sebagai hamba.

Perangainya mungkin lincah mengikat manusia dengan janji durjana.
Nanti perangainya juga mungkin lincah di atas katil, namun terikat tidak bermaya

Tekaknya mungkin basah dengan arak yang dituntung ketika usia.
Nanti tekaknya juga mungkin basah dengan darah, rentung, nafasnya sia-sia.

Dadanya mungkin jelita dipasak silicon, menggiurkan pemuda gila.
Nanti dada siliconnya mungkin pecah, penyet, busuk ditekan doktor, tatkala bantuan kecemasan bermula

Mulutnya mungkin liar mencium pemuda atau gadis kota.
Nanti mulutnya juga mungkin liar mencium dan menghirup saki baki udara, di saat roh menjauh , badan terkebil-kebil menanti neraka.

Nauzubillahi minzalik!

(Sebagai renungan – abang Harun (bukan nama sebenar) hanya berusia 27 tahun, HIV positif, Hepatitis B dan C positif, transgendered with breast implant. Meninggal dunia dalam keadaan terseksa yang sebenarnya sukar digambarkan dalam bentuk kata-kata dalam tulisan ini. Seburuk-buruk manusia, dia masih anak – begitulah prinsip seorang ibu, membela anaknya tatkala derita kesakitan walau ahli keluarga lain membuang anaknya itu dari pandangan mata, dek kerana marah dan tidak mendengar kata. Kembalilah ke pangkal jalan, jangan menyeksa diri anda dan keluarga anda untuk kegembiraan yang sementara dan sia-sia.)

Tolong sebarkan artikel ini sekiranya difikirkan bermanfaat.

***PERINGATAN SEPANJANG MASA KETIKA MEMBACA BLOG INI***

(1) Semua nama karakter yang dinyatakan BUKAN NAMA SEBENAR. Saya tidak menggunakan nama sebenar untuk mana-mana karakter di dalam blog ini. Sekiranya berasa tidak selesa dengan sebarang karakter atau kebetulan sama nama atau saya cuai menukar nama karakter, sila maklumkan kepada saya.

(2) Sebarang prosedur perubatan atau investigations yang TIDAK DINYATAKAN SECARA DETAIL DAN LENGKAP harap dimaafkan. Sini bukan tempatnya untuk berbincang teori ilmu perubatan.

(3) KISAH BENAR INI DIOLAH SEMULA SERBA SEDIKIT agar sesuai untuk tatapan pembaca.


Dipetik dari sini.
Republished by Lifejacket.