Tuesday, November 11, 2014

MAK, AYAH... SAYA POSITIF HIV!





Keputusan untuk merahsiakan atau berterus-terang kepada keluarga tentang status sebagai people living with HIV (PLHIV) adalah pilihan masing-masing. Ada pro dan kontranya. Hakikatnya PLHIV tidak membahayakan non-PLHIV sekalipun memaklumkan atau merahsiakan status kesihatan.

Berbeza terhadap bakal pasangan atau pasangan mereka, PLHIV mesti memberitahu status kesihatan demi mengelakkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku termasuk kepada bakal zuriat (jika tanpa rawatan dan pemahaman cara mengelakkan jangkitan).

Mari kita baca 1 lagi sharing pengalaman seorang PLHIV yang mengambil keputusan untuk berterus-terang tentang status kesihatannya kepada keluarga.

Disebabkan aku mengenali beliau secara peribadi, 1 perkara yang jelas tentang pemuda hebat ini ialah sikapnya sangat positif, jujur, dan sentiasa ada semangat untuk berkongsi sokongan.

Selain itu, keputusan nekad ini diambil setelah beliau benar-benar yakin dan faham tentang info asas mengenai HIV. Bukannya dilakukan dalam keadaan terburu-buru.

Beliau juga meminta pandangan dan sokongan ahli komuniti berpengalaman terlebih dahulu sebelum melakukannya.

(Tips 1: Dapatkan pandangan dan sokongan komuniti yang berpengalaman terlebih dahulu)


Mari baca:





Saya didiagnos pada September 2011, bersamaan 17 Ramadhan. Pada masa itu, dunia terasa gelap. Seminggu saya tidak berhenti menangis terutama mengingatkan betapa saya telah mengecewakan abah dan mak di kampung.

Segala kerisauan menyerbu fikiran. Disebabkan saya membesar dan terdidik dalam sebuah keluarga yang mengutamakan nilai-nilai kekeluargaan, saya merasa sangat bersalah merahsiakan status saya sebagai PLHIV kepada keluarga.

Sebaliknya, jika saya berterus-terang, akan bertambah pula kerisauan keluarga terutama abah, emak, dan adik-beradik terhadap saya. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa terutama abah dan mak. Cukuplah segala yang berlaku sebelum ini.

Selain itu, mereka tentu bertanya punca saya dijangkiti, sedangkan itu adalah aib dan ujian hidup saya. Saya tidak mampu mengundurkan waktu. Saya akui saya sangat keliru.


Nota:
Atas alasan tersebutlah Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) menasihatkan supaya kita tidak bertanya tentang punca jangkitan untuk mengelakkan PLHIV merahsiakan status kesihatan, enggan menjalani rawatan dan sebagainya. Mereka biasanya akan dinilai dan dihukum atas perkara yang telah berlaku. Hanya doktor pertama yang merawat sahaja berhak mengetahui punca jangkitan untuk memudahkan urusan rawatan.


"Past is past,
Done is done,
Lepas biarkan lepas,
Yang penting masa depan."

Akhirnya saya mengambil keputusan menangguhkan terlebih dahulu hasrat saya.


(Tips 2: Ambil masa untuk tempoh bertenang)

Selepas seminggu didiagnos, saya bertemu kawan-kawan senasib (peer supporters) dan perlahan-lahan mula mendapat sedikit kekuatan.

Saya mendapat inspirasi melihat mereka mampu meneruskan kehidupan seperti biasa dan rupa-rupanya HIV bukanlah penamat segala-galanya seperti yang sering dibayangkan.

Bermula saat itu, sedikit demi sedikit saya belajar tentang HIV dan terus menjalani rawatan. Saya nekad untuk membantu masyarakat supaya mengelakkan jangkitan HIV dan membimbing infected people berdepan dengan pelbagai tekanan seperti yang telah saya alami.

Akhirnya saya memilih untuk menyertai PPWM atas keyakinan saya bahawa PPWM menyediakan platform yang sesuai dengan jiwa saya.

Melalui penglibatan saya dengan aktiviti-aktiviti PPWM, saya bina lebih banyak kekuatan dan keyakinan.


(Tips 3: Bina kekuatan diri dan jalani rawatan seawal mungkin)

Selepas setahun, atas kerelaan sendiri, saya buat keputusan untuk berterus-terang kepada keluarga tentang status saya sebagai PLHIV.

Tetapi hajat tersebut terpaksa saya tangguhkan selepas timbul masalah lain dalam keluarga dan sekali lagi saya pendamkan sementara waktu niat tersebut.


(Tips 4: Pilih waktu yang sesuai)

Sebenarnya, dalam keluarga saya, orang yang mula-mula tahu tentang status kesihatan saya adalah adik perempuan saya pada tahun 2013. Ini kerana hubungan kami memang rapat.

Adik saya memang tidak bertanya apa-apa apabila saya memaklumkan tentang status saya kerana pada masa itu adik saya bekerja di sebuah pusat rawatan swasta terkemuka. Jadi, info-info asas tentang HIV, adik saya telah sedia maklum.

Penerimaan adik saya sangat baik. Langsung tidak judgemental dan tidak menunjukkan sikap negatif. Malahan adik saya memberikan sokongan supaya saya meneruskan kehidupan seperti biasa. Yang penting ialah bersikap positif dan kepatuhan kepada rawatan.

Penerimaan pertama ini menambahkan keyakinan saya bahawa keputusan yang saya ambil adalah tepat.


(Tips 5: Secara beransur-ansur dan berterus-terang dengan ahli keluarga yang paling rapat serta dipercayai terlebih dahulu sebagai permulaan)




Sehinggalah pada 4 September 2014, saya nekad berterus-terang kepada abah dan emak.

Saya balik kampung. Sebelum tidur, saya berjumpa abah dan emak dan berterus-terang bahawa anak mereka ini adalah PLHIV. Saya redha dengan apa sahaja reaksi yang bakal mereka tunjukkan.

Saya terangkan semua pengetahuan saya tentang HIV kepada mereka untuk memberikan kefahaman dengan cara yang mudah difahami dan diterima.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Maha Menolong. Saya sangkakan abah dan mak akan marah dan buang saya, tetapi sebaliknya Allah telah membantu kami sekeluarga menghadapinya dengan tenang.

Alhamdulillah. Mereka faham dan sesungguhnya kasih sayang ibu bapa kepada kita memang tidak ternilai. Walau apa yang telah terjadi sekali pun, kita tetap anak mereka. Blood is thicker than water.


(Tips 6: Sampaikan dengan cara yang positif)




Saya menitiskan air mata atas penerimaan mereka walaupun saya tahu bahawa saya pernah alpa terhadap nasihat mereka. Saya memohon maaf atas segala kecuaian dan kelemahan diri.

Mereka sedikit pun tidak menempelak saya, sebaliknya memberikan kata-kata semangat untuk saya meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Ianya sesuatu yang di luar jangkaan saya.

Pesan mereka kepada saya, "Walau jahat dan buruk mana pun saya, mereka tidak akan buang saya kerana saya tetap anak mereka."

Abah dan mak sebenarnya sejak dulu sudah dapat mengagak yang saya cuba menyembunyikan sesuatu daripada mereka kerana mereka selalu melihat saya makan ubat apabila balik ke kampung. Tetapi mereka sengaja tidak mahu bertanya untuk mengelakkan saya tertekan atau tersinggung.

Selain bertanyakan punca-punca jangkitan dan rawatan, abah dan emak bertanyakan penglibatan saya dengan PPWM.

Sehabis baik saya cuba terangkan kepada mereka akan dasar-dasar perjuangan PPWM menyantuni infected people, affected people, dan memainkan peranan menyekat penularan virus. Mereka menyokong 100% usaha murni saya dengan komitmen ini.


(Tips 7: Prove yourself worthy)




Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur dipermudahkan segala urusan. Selepas berterus-terang, fikiran saya terasa jauh lebih lapang kerana tidak ada lagi perkara yang membebankan disebabkan cuba menyelindungi sesuatu daripada keluarga.

Bukan itu sahaja. Bila-bila masa sahaja saya boleh mendapat sokongan keluarga. Memang hebat pengalaman tersebut dan menyemarakkan lagi semangat saya untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Akhir kata, jazakumullah khier kathira kepada PPWM, khususnya kepada barisan MT & Exco (yang saya anggap keluarga kedua saya selain keluarga sebenar) yang memberikan sokongan penuh dan atas segala doa.



Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


Wallahu’alam.


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com