Friday, November 07, 2014

KEGILAAN DAN KEZALIMAN APA LAGI YANG BAKAL BERLAKU TERHADAP KANAK-KANAK HIV POSITIF INI?


Mari baca kisah benar ini. Mohon jasa baik kepada semua reporter yang prihatin supaya highlight isu ini.




"Mariani (bukan nama sebenar) seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil seorang anak angkat (kita namakan sahaja sebagai Pie) dari sebuah rumah perlindungan.

Kedua-dua ibu dan bapa kandung Pie adalah HIV positif yang telah meninggal dunia disebabkan lewat menjalani rawatan dan akibatnya Pie juga dilahirkan sebagai HIV positif.

Dari rumah perlindungan dan di bawah jagaan ibu bapa angkatmya, Pie telah menerima rawatan Anti Retroviral Therapy (ART) sejak lahir dan membesar dengan sihat. Bacaan CD4 pada tahap lebih daripada 1000 dan Viral Load HIV-1 RNA kurang daripada 20 (not detected).

Awal tahun ini, Pie telah didaftarkan ke sebuah sekolah rendah. Baru-baru ini, ibu bapa salah seorang rakan sekelas kepada Pie, secara tidak sengaja, mendapat tahu berkenaan status kesihatan Pie.

Berikutan itu, ibu bapa kepada rakan sekelas Pie telah mengupah seorang peguam untuk menyaman ibu bapa angkat Pie dengan alasan mereka tidak mendedahkan status kesihatan Pie sebagai people living with HIV (PLHIV). Pie kononnya membahayakan anak-anak mereka. Ibu bapa angkat Pie sekali lagi telah menerima saman terhadap mereka pada 6 November 2014 ( Khamis).

Kejadian ini berlaku di Kuala Lumpur. Ini adalah kejadian kedua di mana ibu bapa angkat Pie disaman atas alasan yang sama.

Kali pertama, di sebuah sekolah sebelumnya, Majistret yang mendengar perbicaraan tersebut memutuskan bahawa ibu bapa angkat Pie bersalah kerana "menyembunyikan" fakta bahawa anak angkat mereka HIV positif, yang menerima rawatan berulang di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (IPHKL), daripada ibu bapa murid yang lain.

Oleh sebab itu, Mahkamah mengarahkan ibu bapa angkat Pie untuk membayar tuntutan dan anak mereka diarahkan untuk ditukarkan ke sekolah yang lain.

Di sekolah yang kedua ini, sebagaimana diceritakan pada permulaan tadi, berlaku kejadian saman-menyaman sekali lagi."




Masyarakat am beranggapan seolah-olah anak-anak yang didiagnos sebagai HIV positif tidak boleh bersekolah dan bergaul dengan anak-anak yang dilahirkan sihat.

Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) sangat terkejut isu sebegini masih berlaku terutama di kawasan Kuala Lumpur yang sepatutnya majoriti masyarakatnya lebih bermaklumat dan bersikap terbuka.

Bacaan viral load telah membuktikan kanak-kanak tersebut sihat dan tidak membahayakan sesiapa.

Bahkan jika kita memahami HIV, non-PLHIV yang membahayakan PLHIV. Bukannya PLHIV yang membahayakan non-PLHIV. HIV pula hanya berjangkit dengan cara-cara tertentu sahaja.

Adakah kita rela kejahilan menjadi penghalang kepada kanak- kanak PLHIV tersebut mendapat pendidikan dan menjalani kehidupan seperti insan lain? Dalam erti kata yang lain, kita lebih rela kanak-kanak yang dijangkiti HIV menjadi mangsa keadaan akibat "kesalahan" ibu bapa mereka. Biarkan sahaja semua PLHIV dan kanak-kanak PLHIV ini bodoh dan mati, begitu?

Jika kita yakin sikap mendiskriminasi, menghina, dan memulau PLHIV adalah kaedah yang berkesan menyekat penularan virus, kenapa statistik menunjukkannya semakin meningkat? Bahkan majoriti berlaku kepada generasi muda Muslim, profesional, dan berbangsa Melayu.

Adakah menjadi 1 dosa dan kehinaan kepada insan-insan prihatin yang cuba membantu kanak-kanak PLHIVAdakah memang tuntutan agama dan budaya kita supaya bersikap begitu terhadap PLHIV?

Perlu difahami, bahawa ini bukan kes pertama yang PPWM hadapi. Kes-kes sebegini kerap kami lihat termasuk terhadap kanak-kanak non-PLHIV semata-mata kerana ibu dan bapanya PLHIV.

Ada pula seluruh ahli keluarga menentang hasrat insan-insan prihatin untuk menjadikan kanak-kanak PLHIV sebagai anak anak angkat. Lebih malang, kes-kes salah faham mengarut sebegini biasanya terjadi di kalangan golongan berpendidikan.

PPWM juga tertanya-tanya bagaimana hak kerahsiaan mengenai status kesihatan kanak-kanak PLHIV ini boleh bocor dan bagaimana pula haknya untuk mendapat layanan sama adil terutamanya hak mendapat pendidikan dalam sebuah negara Islam yang merdeka? 

Sama-sama kita fikirkan dan bertindak memperbetulkan keadaan. Menyebarkan info ini juga mungkin dapat meningkatkan kesedaran.





Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


Wallahu’alam.


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com