Sunday, November 23, 2014

BENARKAH RAWATAN HAART DAPAT RAWAT HIV DAN HEPATITIS C?





Antara tujuan ujian darah secara berkala terhadap PLHIV (People Living With HIV) yang turut menghidap Hepatitis-C adalah untuk memantau viral load Hepatitis-C.

PLHIV yang menghidap Hepatitis-C biasanya adalah kerana mereka pernah menyalahguna dadah dengan cara berkongsi jarum suntikan yang dicemari virus Hepatitis-C.

Cara jangkitan Hepatitis-C adalah lebih kepada blood-borne atau melalui darah yang telah tercemar oleh virus berbanding melalui air liur atau mana-mana cecair badan.

Antaranya termasuklah melalui perkongsian jarum suntikan dadah di kalangan pengguna dadah suntikan atau injected drug user (IDU), cacah atau tattoo, prosedur pemindahan darah, atau pemindahan organ.

Sebagai contoh, sekiranya seorang PLHIV lelaki yang juga seorang penghidap Hepatitis-C berkahwin dengan seorang wanita non-PLHIV, wanita tersebut mempunyai kemungkinan dijangkiti HIV sahaja (jika suaminya tidak mengambil rawatan HAART dan langkah pencegahan jangkitan).

Sangat jarang yang turut dijangkiti Hepatitis-C kerana mereka tidak terlibat dengan risiko jangkitan melalui darah.

Perlu difahami bahawa jangkitan Hepatitis-B adalah 100 kali ganda dan Hepatitis-C pula 10 kali ganda lebih mudah berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan yang tercemar virus berbanding HIV.

Sekalipun risiko jangkitan HIV lebih rendah, tetapi perulangan perbuatan berkongsi jarum suntikan dan kurangnya  pertimbangan akibat 'high' boleh menyebabkan pelbagai aktiviti berisiko lain yang menyebabkan jangkitan HIV telah berlaku.

Rawatan

Hepatitis-C boleh dirawat (curable), tetapi kos rawatannya tinggi.

Jika CD4 tubuh PLHIV masih rendah, rawatan Hepatitis-C akan ditangguhkan sehingga CD4nya stabil kerana peringkat awal rawatan Hepatitis-C turut menurunkan CD4. Situasi begini lebih membahayakan PLHIV berkenaan.

Walau bagaimanapun, Hepatitis-C turut dapat dirawat melalui rawatan HAART. Contoh, Lamivudine iaitu salah satu kombinasi rawatan HAART pernah digunakan untuk membantu merawat Hepatitis-C.

Jadi, ujian darah selepas rawatan HAART turut memantau keberkesanan pengurangan viral load Hepatitis-C selepas pengambilan Lamivudine.

Jika tidak berkesan, doktor akan mempertimbangkan beberapa langkah rawatan yang lain.

Nota:
CD4, imuniti tubuh atau kiraan sel darah putih boleh turun dan naik disebabkan oleh banyak faktor, bukan semata-mata hanya kerana HIV.

Kos Rawatan

Kos rawatan Hepatitis-C sangat tinggi. Kos ujian x-ray dan magnetic resonance imaging (MRI) untuk mengesannya bermula daripada RM800.00 dan perlu ditanggung oleh pesakit.

Jika dikesan bengkak pada hati, pesakit perlu menyediakan di antara RM10,000.00 sehingga RM15,000.00 untuk kos rawatan.




Adakah benar kos sebegitu perlu ditanggung oleh pesakit?

Disebabkan Hepatitis-C adalah sejenis penyakit berjangkit, secara umumnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menanggung kesemua kos perubatan penyakit berjangkit.

Walau bagaimanapun, bagi Hepatitis-C, kosnya tidak ditanggung oleh pihak KKM.

Penanggungan kos rawatan adalah bergantung kepada latar belakang pesakit. Sekiranya pesakit adalah penjawat awam, maka kos rawatan adalah ditanggung oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jika pesakit adalah kakitangan swasta, maka separuh kos rawatan adalah ditanggung oleh majikan dan separuh lagi ditanggung sendiri oleh pesakit. Kos yang ditanggung oleh pihak majikan pula bergantung kepada peruntukan pihak majikan pesakit.

Jika pesakit tidak mampu menanggung kos rawatan, pihak hospital kerajaan atau Klinik Kesihatan tetap akan meneruskan rawatan.

Tetapi, untuk melangsaikan bayaran rawatan tersebut, mereka boleh memohon bantuan daripada Tabung Perubatan Pesakit (TPP), Baitulmal, atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka yang memerlukan bantuan juga boleh merujuk perkara ini kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) yang ada di semua hospital kerajaan dan Klinik Kesihatan yang tertentu untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara untuk memohon bantuan.


Kredit:
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)

Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


Wallahu’alam.


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org

Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com