Tuesday, November 08, 2011

PLHIV MASIH BOLEH MILIKI ZURIAT


Bagi pasangan yang mengambil keputusan untuk meneruskan perkahwinan meskipun telah mengetahui dirinya atau pasangan dijangkiti HIV melalui ujian saringan yang dilakukan, mereka sebenarnya masih boleh menjalani hidup sebagai suami isteri normal.  Bagaimanapun, individu yang disahkan menghidap HIV harus segera bertemu pakar bagi mendapatkan nasihat mengenai cara-cara penjagaan kesihatan dan rawatan.

Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang juga merupakan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman, menyatakan bagi mengelakkan risiko jangkitan, pasangan dinasihatkan supaya menggunakan kondom sewaktu hubungan intim.

Ini kerana sekiranya salah seorang daripada mereka menerima rawatan dan jumlah virus di dalam tubuhnya juga adalah rendah, maka peratusan untuk menjangkiti pasangannya juga adalah rendah.  Dalam hal ini, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa jumlah virus di dalam tubuh seorang pesakit HIV adalah berbeza-beza tahapnya.

Meskipun begitu, mereka juga sebenarnya masih boleh memiliki zuriat sekiranya ingin berbuat demikian.  Bagaimanapun, menurut beliau, perkara ini agak kompleks untuk diperkatakan kerana ia bergantung pada persetujuan kedua-dua pihak.  Sebagai persediaan, mereka perlu diberi maklumat sepenuhnya tentang perkara tersebut.

Bagi ibu-ibu hamil yang disahkan HIV negatif tetapi pasangannya pula merupakan pesakit HIV positif, bayi di dalam kandungan si ibu tidak terdedah pada risiko jangkitan HIV.  Bagaimanapun, sekiranya si ibu didapati positif, dia akan diberi rawatan sepanjang tempoh kehamilan, sewaktu kelahiran dan kepada bayi itu sendiri.  Dengan ini, kemungkinan risiko bayi dijangkiti HIV amat rendah.

“Bagaimanapun, di PPUM, saya dan Pakar-Pakar Obstektriks dan Pediatrik sedaya upaya melakukan yang terbaik apabila mengendalikan ibu hamil yang positif HIV.  Bermula pada tahun 1997, tidak pernah ada bayi yang positif HIV dilahirkan meskipun ibu atau bapanya adalah individu penghidap penyakit maut ini,” ujar Prof. Adeeba yang menyatakan ada juga bakal pengantin yang meminta beliau menukar keputusan ujian saringan setelah didapati positif HIV kerana takut dan malu.

Ubat Anti-HIV AZT

Bagi wanita yang mengambil keputusan untuk hamil, mereka sebaiknya dinasihatkan supaya berbincang dengan pasangan dan menjalani sesi kaunseling.  Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Majlis AIDS Malaysia atau klinik wanita yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

Wanita-wanita positif HIV mungkin memindahkan virus berkenaan kepada bayinya sewaktu hamil, semasa bersalin atau ketika memberikan susu badan kepada bayi.  Meskipun risiko jangkitan rendah, namun sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan agar mengadakan hubungan seks lebih selamat sebaik sahaja disahkan hamil.

Selain itu, individu terbabit juga perlu meminimumkan hubungan seks tidak selamat sewaktu subur dan mengelakkan hubungan seks di luar tempoh kesuburan dan selepas kelahiran.  Dalam pada itu, cuba dapatkan doktor atau bidan yang dipercayai serta tempat bersalin yang selamat dan elakkan menahan kesakitan terlalu lama.

Ibu positif HIV yang hamil juga perlu melakukan pemeriksaan awal dan akan diberikan ubat anti-HIV seperti Azidothymidine (AZT) seawal bulan keempat kehamilan dan sewaktu melahirkan anak serta kepada bayi berkenaan sebaik sahaja dilahirkan.  Bagaimanapun, ubat ini perlu diambil di bawah pengawasan doktor.

Sebagai langkah mengelakkan jangkitan, bayi yang baru dilahirkan itu juga perlu dielakkan daripada menerima susu ibunya atau menghentikannya segera mungkin.

Oleh kerana bayi baru yang dilahirkan mempunyai antibodi ibunya, maka agak sukar untuk mengetahui sama ada bayi tersebut dijangkiti atau tidak.  Ujian Antibodi HIV untuk bayi biasanya dilakukan apabila usia bayi berkenaan sekurang-kurangnya 18 bulan.

Sekiranya bayi berkenaan disahkan positif HIV, anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan rawatan perubatan yang intensif untuk bayi anda.  Bayi boleh diimunisasikan dari sebarang penyakit kanak-kanak sama seperti bayi-bayi lain.

Sumber:  Majalah Harmoni, 15 Mac 2010


AHP: Kredit kepada MAC dan Puan Seroja.