Friday, November 25, 2011

HIV: NO PREJUDICE TOWARDS ALLAH SWT



Setiap perkara yang berlaku ke atas manusia, sama ada yang baik atau sebaliknya bagi orang yang beriman, ia merupakan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Mereka meyakini dan menyedari di sebalik sesuatu peristiwa ada hikmahnya yang tersendiri dan ia akan sentiasa menyangka baik terhadap Allah swt walaupun pada zahirnya apa yang berlaku ke atas dirinya adalah suatu keburukan atau kegagalan di samping sifat redha kepada ketetapan Allah swt.

Begitu juga sebaliknya apabila diberi nikmat, ia sentiasa terfikir dan bermuhasabah apakah ujian yang diberikan melalui nikmat ini, yang pasti ia adalah ujian kepadanya sama Ada ia bersyukur atau sebaliknya.

Renungilah maksud firman Allah swt, al-Baqarah: 216.
Maksudnya: Kemungkinan apa yang kamu benci adalah amat baik bagimu, dan kemungkinan (pula) apa yang kamu sukai, ia amat buruk bagimu; Allah swt Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Daripada Jabir bin Abdullah ra, aku mendengar Rasulullah saw bersabda sebelum kewafatannnya tiga kali, janganlah seseorang kamu mati melainkan menyangka baik kepada Allah swt.

Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
Maksudnya: Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman, Aku bersama sangkaan hambaKu terhadapKu, sekiranya sangkaannya terhadapKu baik maka baginya kebaikan, maka janganlah bersangka terhadap Allah swt melainkan yang baik.

Adakah sifat ini akan menjadikan manusia bersikap pasif, malas bekerja dan berusaha, tidak melakukan teguran dan nasihat?

Jawapannya pasti tidak, ini kerana sifat ini menjadi pengimbang antara keinginan, kemampuan dan kehendak Allah swt.

Hakikatnya Allah swt yang menentukan segala-galanya. Namun perlu diingat bahawa Allah swt mewajibkan manusia berusaha dengan berbagai-baga9 bentuk taklifat dan tanggungjawab.

Manusia akan dipertanggungjawabkan tentang taklifat tersebut, bukan kejayaan atau kegagalan yang diperolehi. Justeru, dengan adanya sifat baik sangka terhadap Allah, di samping sifat tawakkal dan redha, manusia akan menjadi manusia yang baik, tenang dan tidak menimbulkan masalah pada diri, masyarakat dan negara.

Kebaikan sangka baik kepada Allah swt:

1.   Keimanan dan keyakinan kepada Allah semakin kuat dan tinggi.
2.   Hidup seseorang sentiasa berada dalam lingkungan tawakkal kepada Allah swt.
3.   Hati sentiasa tenang kerana merasa apa yang berlaku ke atas diri adalah ketentuan Allah swt dan semuanya mengandungi hikmah dan kebaikan tersendiri.
4.   Tidak mudah putus asa apabila menghadapi sesuatu kegagalan.
5.   Mendapat keredhaan Allah swt.
6.   Terhindar daripada sifat-sifat mazmumah seperti pemarah, sombong dan putus asa, menyalahkan orang lain dan lain-lain.

Sedarkah suatu hakikat yang ditegaskan oleh Allah swt dalam ayat 70 Surah al-Taubah.
Maksudnya: Maka Allah sekali-kali tidak menzalimi mereka tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.

Mudah-mudahan Allah menganugerahkan cahaya makrifat kepada kita, melaluinya kehidupan kita sentiasa terbimbing menuju kebahagian abadi, kebahagian di akhirat.

Wallahu A’lam.

 Sumber: http://nur-islami.blogspot.com/2009/10/bersangka-baik-dengan-allah-swt.html