Thursday, November 03, 2011

HIV: BICARA UNTUK TEMAN


Teman…

Nama blog AKU HIV POSITIF dipilih sebagai satu manifestasi penerimaan dan redhaku terhadap ujian Allah ini.

Kenapa aku memilih untuk berblog dan berbicara secara terbuka tentang HIV/AIDS dan kehidupanku sebagai seorang PLHIV? Panjang ceritanya, kalau rajin belek-beleklah entries lama.

Didiagnos sebagai PLHIV pada 28 Disember 2010. 15 Januari 2011 blog inipun wujud. Di luar jangkaanku sendiri, jumlah pengunjungnya telah mencecah ratusan ribu dengan pantas sekalipun blog ini bukan bertemakan gossip artis dan berita sensasi. Aku sekadar menulis mengikut cara dan gayaku.

Perlahan-lahan daripada sebuah blog peribadi, ianya bertukar menjadi sebuah blog komuniti. Aku redha dan hadiahkannya dengan besar hati. Ini blog kita, dari kita untuk kita. Tiada kepentingan peribadi jika boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat.

Ya, ianya bukan dikendalikan sebagai seorang yang professional tapi inilah luahan dan medan kita sebagai PLHIV amatur yang masih belajar memuhasabah dan memperbaiki diri.

Syukur alhamdulillah ianya mendapat sokongan moral dan bantuan daripada pakar dalam pelbagai bidang terutamanya di bidang perubatan, sukarelawan dan insan-insan prihatin (bukan PLHIV) tanpa prejudis. Jika mahu disenaraikan, senarainya cukup panjang. Biarlah empunya badan yang tahu sendiri. Hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikan mereka.

Itu bantuan bukan PLHIV. Sokongan dan bantuan rakan PLHIV pula memang tidak terkira. Tanpa izin dan pertolongan Allah, tanpa sokongan sahabat-sahabat, blog ini tidak akan ke mana-mana.


Sekalipun aku bukanlah bekas penagih dadah secara suntikan, jauh sekali gay dan pengamal seks bebas, hakikatnya aku tetap seorang PLHIV.  Tak kisah siapapun dan apapun punca jangkitan, sahabat-sahabat aku anggap ahli keluargaku sendiri. Ujian kita berbeza tetapi perlu saling menyokong dan membantu mengikut keupayaan dan kelebihan masing-masing.

Yang penting kita sama-sama telah dianugerahkan ujian yang sama. Ujian yang penuh rahmat di sebalik segala musibah seperti yang umum bayangkan. Siapa lagi yang lebih mengerti jika bukan teman-teman senasib?

Teman…

Blog kita ini dibaca oleh pelbagai golongan sama ada professional, para pelajar IPT, kolej, murid-murid sekolah menengah dan rendah (unit B&K) dan orang awam.

Yang menghubungiku melalui emel atas tujuan-tujuan tertentu terdiri daripada pelbagai karier seperti pemandu teksi, CEO, doktor, kakitangan KKM, kaunselor, peguam, wartawan, jurutera, kerani, pereka grafik, guru dan macam-macam lagi karier yang mungkin tidak sahabat-sahabat jangkakan. Sudah tentu termasuklah jurujual pelbagai produk kesihatan.… hehehe.

Selain berkaitan permasalahan HIV, antara tujuan-tujuan utama kunjungan pembaca (bukan PLHIV) adalah untuk membuat research atau thesis mengenai kita. Majoritinya kerana mereka mahu memahami dimensi budaya hidup dan corak pemikiran kita. Anthropology.

HIV yang mereka faham umumnya adalah penyakit merbahaya, berkudis, busuk, terlantar di jalanan, hina dan menjijikkan. Golongan PLHIV perlu dijauhkan dan kalau boleh diasingkan ke sebuah pulau khas (Ini reality dan ironinya beliau adalah seorang doktor. OMG!)

Mereka langsung tidak perasan bahawa mungkin imam mereka di masjid, doktor yang merawat penyakit mereka, guru-guru yang mengajar anak-anak mereka, chef dan pekerja restoran yang menyediakan makanan kepada mereka, penulis teks ucapan mereka, peguam yang menguruskan kes mereka, motivator yang mengendalikan kem motivasi mereka, kerani jabatan-jabatan tertentu yang menyelesaikan keperluan mereka, jururawat yang mengambil darah mereka, ustaz ustazah yang memberi tazkirah kepada mereka dan sebagainya adalah seorang PLHIV! Kelakar bukan? HAHAHA….

Saban hari mereka berkongsi macam-macam keperluan dengan kita tetapi sebaik sahaja mereka tahu kita seorang PLHIV, mereka serta merta jadi takut. Apatah lagi mahu berkahwin dengan seorang PLHIV…

Jika sebelum ini mereka selesa minum dan bersembang dengan kita, serta merta sebahagiannya menjadi resah dan serba salah apabila kita mengaku seorang PLHIV. Mula kelihatan janggal duduk semeja dan berkongsi makanan dengan kita. Bahasa badan dan ekpresi wajah tidak mampu menipu.

Kalau boleh pinggan mangkuk nak diasing. Bercakap pun jauh-jauh dan kerap memalingkan muka. Ada-ada sahaja alasannya untuk segera pergi atau sekurang-kurangnya tangan asyik menutup mulut gelas.

Agaknya bimbang nafas kita menjangkitkan virus atau jika ada percikan air liur kita tersembur merata-rata dan membahayakan mereka. Hebat kita, kan? Kalah raksasa dalam cerita Ultraman Taro. HAHAHAHA….!

Mereka memantau kita dan melihat apa saja ‘keanehan’ yang berlaku di sini.

“Eh, kenapa tak tergolek lagi mamat/ minah ni?” Owh… ada rawatannya untuk HIV ya!, Owh… rupa-rupanya sama sahaja seperti penyakit-penyakit kronik lain, owh… boleh kahwin dan dapat anak bebas HIV rupa-rupanya, owh… ada karier, ingatkan mengharapkan belas ihsan orang lain je, owh… begitu cara mengelakkan jangkitan, owh…” macam-macamlah.

Segala gelagat kita diperhatikan dengan penuh minat. Kita umpama sekumpulan ikan comel di dalam sebuah akuarium. Itu pun masih ok kerana aku tak samakan seperti sekumpulan monyet buruk kepala di dalam zoo, hehehe…

Tapi tak boleh juga menyalahkan mereka sepenuhnya. Di situlah letaknya kepentingan ilmu dan rasa insani individu. Dari sinilah boleh dilihat keikhlasan dan kepergantungan individu terhadap segala kekuasaan Allah.

Kita pula janganlah sensitive sangat. Kita perlu berusaha memberikan kefahaman yang tepat kepada mereka. Sabarlah kerana sabar dan syukur sama-sama penting.

Jadi bangkitlah teman-teman. Buktikan kita tidak seperti yang mereka sangka. Kita adalah insan istimewa, real fighter bukannya loser!

Aku tidak mampu respon segala komen atau pendapat sahabat-sahabat dalam setiap entry tetapi sahabat-sahabat sendiri berkongsilah sokongan dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. Ingatlah kita sentiasa sedang diperhatikan. Apa sahaja yang kita kongsi, sekalipun cukup simple mungkin boleh disensasikan dan mungkin juga memberi pengajaran kepada insan lain.

Ringan-ringankan tangan menulis sepatah dua kata ringkas sebagai tanda sokongan, nasihat dan ingatan. Berkongsi secebis info dan ilmu secara tertib. Janganlah hanya sekadar menjadi pembaca sepi sedangkan kita boleh memberikan sesuatu yang besar impaknya.

Mungkin sahabat-sahabat tidak perasan, sebenarnya kita telah membantu ramai insan-insan yang putus harapan dan kesepian, menyelamatkan aqidah individu tertentu, menyelamatkan sebuah rumah tangga, menyelamatkan sebuah keluarga daripada perpecahan, membantu pasangan mendirikan masjid (berkahwin), mendidik generasi muda menjauhi maksiat, mengembalikan insan khilaf ke pangkal jalan, memberi inspirasi kepada rakan-rakan para pesakit kronik lain dan sebagainya.

Ini reality dan aku bukannya bercakap tanpa bukti. Sahabat-sahabat sendiri boleh membuktikannya. Maka, apalah sangat ujian ini berbanding rahmat yang tidak terhingga yang Allah kurniakan? Bukankah sepatutnya kita bangga dan bersyukur kerana dengan HIV lah kita mendapat segala peluang tersebut?

Aku sendiri semasa sihat langsung tidak terfikir akan mendapat peluang ini. Rupa-rupanya Allah beri peluang dengan memberikan sedikit ujian terlebih dahulu sebelum rahmat. Itupun ujian untuk membersihkan segala kekotoran sama ada yang disedari ataupun tidak. Syukur alhamdulillah…

Inilah medan perjuangan dan peluang melaksanakan amal bakti bagi insan-insan yang dipandang hina seperti kita. Kita adalah golongan yang sentiasa memikirkan peluang dan harapan. Kita tidak gentar kepada masalah dan halangan.  

Pedulikan pandangan manusia. Yang lebih penting ialah pandangan Allah dan di sanalah tujuan perjalanan yang hakiki. Ada perkara yang semakin dikejar semakin menjauh (dunia) dan ada perkara yang semakin kita lari, semakin menghampiri (kematian & kebenaran).
  
Teman…

Selain itu banyakkan memberi berbanding menerima. Jadilah golongan yang sedikit bukannya golongan yang banyak. Jadilah segelintir daripada mereka yang melaksanakan fardhu kifayah bukannya sekadar melaksanakan fardhu ain. Mari taburkan bunga dan wangian di mana sahaja kita berada.

Apabila bersama rakan-rakan, jadilah antara yang terawal memberikan salam, mengukir senyuman dan berjabat tangan. Bila bersama rakan sekerja, kitalah antara yang paling awal membantu, prihatin berkongsi suka duka dengan ikhlas. Bila bersama keluarga, kita adalah pemberi ketenangan dan tempat bergantung harap.

Apabila bersama masyarakat kita bersikap rasional dan menjadi pencetus keharmonian. Semuanya bukanlah sesukar manapun jika kita melakukan dengan ikhlas dan rendah hati. Jangan sesekali menjadi kambing yang menyendiri. Kelak mudah menjadi mangsa serigala (syaitan) yang sentiasa cuba memfitnah dan menyesatkan.

Akhir kata teman-temanku yang tercinta,

Mari kita bangkit bersama-sama menentang stigma, discrimination, judgmental, paranoid, prejudice dan stigma. Usaha perlu bersungguh-sungguh tanpa mengenal lelah. Marilah berdakwah bilhal (contoh teladan) atau billisan (lisan). Lakukan dengan apa saja cara yang kita mampu. Hidup terlalu singkat untuk ditangisi. Air mata terlalu mahal dibazirkan untuk kedunguan.
 

Daripada,
Sahabatmu AHP.