Monday, November 07, 2011

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (10)

DR. ISKANDAR FIRZADA OSMAN
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician

Petang Jumaat (4 Nov 2011), aku ditemani isteri-isteriku menghadiri temujanji rawatan bersama Dr. Iskandar.

Seperti biasa sebelum bertemu Dr. Iskandar, isteri-isteriku akan mentertawa dan ‘memperli’ aku kerana persiapanku mengalahkan wartawan amatur dan seolah-seolah mahu berjumpa buah hati.

Apa taknya, aku sibuk mencatat segala apa yang bakal aku tanya. Kemudian aku akan merapikan diri sebaik mungkin. Kuku mesti pendek, mandi bersih-bersih, berus gigi betul-betul, bercukur licin linyau, rapikan janggut, rambut mesti kemas, pakaian sebersih dan seselesa mungkin dan akhir sekali sembur minyak wangi kegemaran sebelum berlatih senyum. Hahahaha…

Sedangkan pada hari-hari biasa, kalau seharian aku di rumah maka seharianlah aku ‘berseluar pelikat’ tanpa baju. Paling tinggipun pakai baju T kolar bulat.

Eh, apa taknya? Malulah jumpa doktor kalau kita selekeh benar. Doktor akan pantau kita secara keseluruhan termasuk mulut. Kalau nampak sangat tak berjaga, tak patutlah pulak kan. Mesti feel good untuk keyakinan diri.  

Nasib baik petang tersebut tidak ramai patient. Tidak lama menunggu, kami dijemput masuk. Nampaknya aku ada masa yang agak selesa menjalani sesi kaunseling dengan beliau.

Sebenarnya temujanji kali ini lebih kepada untuk mengambil bekalan Kaletra yang hampir habis. Jadi tidak begitu banyak isu berkaitan kesihatan dan rawatan yang aku boleh kongsikan.

Perbualan kami lebih kepada perbualan umum untuk aku memahami HIV/ AIDS. Selebihnya perbualan personal ala-ala kekeluargaan atau sesama rakan rapat. Yang ini tak dapatlah aku share, ya.

Antara maklumat umum yang dapat aku kongsi ialah:

1.   Rawatan HAART biasanya akan dimulakan apabila bacaan CD4 bagi PLHIV lelaki sekitar 350 dan wanita 250. Kenapa? Kerana realitinya imuniti wanita lebih bagus berbanding lelaki. Walau bagaimanapun ianya turut bergantung kepada bacaan viral load individu berkenaan.

2.   KKM belum memutuskan untuk memberikan ubat TB sebagai langkah pro aktif mencegah jangkitan TB di kalangan PLHIV kerana masih banyak pro dan kontra.

Antaranya, berkemungkinan membahayakan PLHIV yang memang sedia menjalani rawatan HAART kerana jumlah ubat-ubatan yang banyak boleh memberikan kesan sampingan terhadap fungsi buah pinggang dan hati.

Selain itu ubat TB hanya diberikan dalam tempoh 6 bulan sedangkan kemungkinan jangkitan adalah berterusan.

Setakat ini, ubat TB hanya akan diberikan apabila kes jangkitan telah berlaku kepada seseorang PLHIV. Lagipun setiap warganegara telah diberikan suntikan pencegahan awal (BCG) ketika kanak-kanak.

3.   Risiko jangkitan HIV akibat penyalahgunaan dadah yang berkongsi jarum suntikan hanyalah sekitar 0.3%. Hepatitis B sekitar 30% dan Hepatitis C sekitar 7%.

Kesimpulannya punca utama jangkita HIV adalah akibat mengamalkan hubungan seks yang tidak selamat!

Jika begitu, kenapa para penagih dadah secara suntikan sering dikaitkan dengan HIV/AIDS?

3.1 Kerana risikonya memang ada.
3.2 Kerana biasanya pula mereka akan melakukan hubungan seks yang tidak selamat dengan berbilang pasangan.

4.   Aku minta pandangan Dr. Iskandar tentang kesihatanku kerana sesekali akan berlaku najis bercampur sedikit darah segar semasa aku buang air besar jika aku makan makanan terlebih pedas dan ‘tajam’ (nanas). Aku bimbang ianya petanda awal kepada masalah anal fissure atau jika berlaku masalah  usus yang semakin menipis sejak mengambil Kaletra.

Dr. Iskandar menjelaskan bahawa jika darah yang keluar adalah darah segar ianya petanda awal terhadap masalah hemorrhoid (buasir).

Antara beberapa perkara yang aku mesti elakkan ialah kerap memakan makan-makanan pedas, duduk terlalu lama (aduih… aku kan blogger!) dan elakkan duduk atau mencangkung dalam tempoh yang lama semasa buang air besar.

5.   Dr. Iskandar meminta izin untuk mengambil darah dan menghubungi Hospital Ampang untuk mendapatkan fail lama rawatanku di sana kerana bacaan plateletku memang sentiasa rendah (sekitar 40-50 sahaja).

Uwaaa…!!! berdebar juga aku bila google info tentang masalah platelet rendah ni tetapi tak kisahlah. Apa-apapun perjuangan tetap diteruskan hingga nafas yang terakhir. Aku tak mahu senak-senakkan kepala.

Aku berdoa semoga aku sekadar tak boleh buat sebarang aktiviti lasak dan sahaja untuk mengelakkan pendarahan dalaman. Selain itu sudah tentu aku kena elakkan luka kerana boleh mengakibatkan pendarahan yang lama.

“Bismillahi tawakkaltu a’lallah…La hawla walaa quwwata illa billah.”

6.   Dr. Iskandar memaklumkan bahawa HbA1c (purata 3 bulan bacaan gula dalam darah) adalah 5.9% dan mengucapkan tahniah atas kawalan yang baik.

Beliau menasihatkan aku supaya kekal dengan keadaan tersebut untuk memastikan urusan rawatan lain tidak bermasalah. Beliau bimbang kerana antara kesan utama Kaletra boleh meningkatkan kandungan gula dalam darah terutama terhadap pesakit diabetes.

Itu sahajalah perkongsian kali ini. Semoga sedikit sebanyk info yang aku kongsi dapat memberikan manfaat untuk semua.

Terima kasih dan jazakumullah khier kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan KK berkenaan. Hanya Allah yang dapat membalas segala jasabaik mereka. Selamat bercuti ke Bali kepada Dr. Iskandar & isteri.