Monday, July 30, 2012

SEKSUALITI ADALAH UJIAN IMAN YANG SANGAT BERAT





Ekoran daripada entry SURAT TERBUKA HIV POSITIF KEPADA ALIM ULAMA’ SEMPENA RAMADHAN 1433 HIJRAH, kotak emelku menerima banyak emel yang menyentuh hati.

Menyentuh hati yang aku maksudkan bukanlah kerana pujian yang aku terima, tetapi kerana kesungguhan insan prihatin ini memahami isu yang aku cuba sampaikan. Sebahagiannya sendiri teruk bergelut berdepan ujian tersebut.

Hari ini aku kongsikan satu emel yang paling menarik perhatianku. Seperkara yang aku sangat-sangat hormati ialah kemampuan beliau memahami bahawa ujian seksualiti yang sedang beliau hadapi adalah sebagai satu bentuk ujian Allah yang sangat besar dan mencabar.

Sekurang-kurangnya setakat ini beliau masih berjaya menghadapinya dan tidak tersasar daripada landasan yang Allah tetapkan. Bukan sebarang kejayaan sebenarnya. Mari kita baca conversation e-mail kami:

Salam Saudara,

Baru-baru ini saya terbaca melalui laman web http://tranungkite.net satu surat terbuka daripada golongan HIV Positive ditujukan kepada ustaz dan ustazah. Sejujurnya hampir menitis air mata saya pada kala saudara menyentuh isu naluri lelaki sejenis dan penderitaan senyap mereka.

Saya tersentuh bagaimana usaha penulisan terbuka itu tanpa disedari mengetuk jauh dalam hati sanubari saya bahawa dalam dunia ini masih ada pihak yang berani tampil mengutarakan permasalahan tersembunyi ini. Syabas diucapkan.

Saya bersetuju dengan pendapat saudara bagaimana rapat dan intimnya HIV positive dengan golongan naluri sejenis baik lelaki mahupun perempuan. Masa dan ketika mereka bakal dihantui dan dibayangi penyakit ini hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Yang pasti penyakit naluri sejenis ini amatlah terasing dan terpisah walau seramai mana saudara menyatakan sahabat yang saudara ada.

Terfikir juga di hati saya untuk tidak meluahkan isi hati di sini memandangkan saya sudah sampai ke satu tahap "Hanya bertawakal kepada Allah" dan membiarkan masa menentukan kesudahan hidup ini.

Bagi golongan naluri sejenis ini saya boleh menyatakan betapa kecelaruan dan ketidakseimbangan emosi seringkali menjadi peneman dan "pengacau" yang mampu menjadikan kita semakin lemah atau sebaliknya.

Walau sekuat mana saya menyatakan tidak pada naluri ini, bila sampai satu peringkat, saya seolah-olah kembali pasrah dan membiarkan sahaja badai memukul diri.

Persoalannya sampai bila dan adakah ada penyelesaian di hujungnya? Jawapan itu bagi saya hanya Allah yang tau.

Yang pasti, pernah ketika saya amat tertekan dan risau yang memuncak cuba untuk saya mengingat kembali sahabat-sahabat yang mungkin boleh menjadi pendengar tanpa syarat atau tanpa persepsi negative, namun saya belum mampu menemuinya dan ada rasa risau dan takut untuk meluahkan akar umbi masalah hidup saya.

Sehingga kini saya masih memilih untuk melawan penyakit ini secara sendirian dan tidak lupa saya masih ada Allah yang sentiasa memerhati dan mengetahui. Tapi jujur saya katakan penyakit ini amatlah menguji dan saya cuma harap Allah melindungi saya selagi mana saya hidup.

Syabas juga diucapkan saudara kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Saya percaya Allah mengasihi setiap daripada kita dan tidak akan membiarkan sepenuhnya kita menderita.

Usaha saudara ini saya yakin tanpa disedari memberi erti yang besar kepada golongan ini yang kebanyakan hanya memilih untuk bersembunyi dan melawan penyakit ini secara senyap.

Daripada: xxxxx


Waalaikumussalam sahabat dan selamat berpuasa.

Sejujurnya saya berpendapat sahabat antara insan terpilih yang berjaya berjihad menghadapi ujian tersebut walaupun derita di dalam hanya Allah yang tahu.

Saya akan kongsikan emel sahabat ini dalam blog dengan sedikit suntingan untuk menjaga rahsia dan privacy sahabat.

Tahniah dan terima kasih atas sokongan. Teruskan perjuangan. Inayah Allah ada di mana-mana jua.


Daripada: AHP