Wednesday, July 11, 2012

MITOS MENGENAI HIV dan AIDS



Mitos 1:

Saya tidak harus bekerja atau berkawan dengan seseorang HIV positif kerana saya mungkin akan dijangkiti.

Anda tidak boleh mendapat HIV melalui perhubungan kasual.

Ini bermakna, anda tidak boleh mendapat HIV dengan berada di dalam bilik atau hidup di dalam rumah yang sama, memeluk atau mencium PLHIV. HIV tidak boleh disebar melalui sentuhan biasa atau air liur.

Ia hanya boleh disebarkan melalui perhubungan seks dengan seseorang yang dijangkiti HIV tanpa perlindungan, atau berkongsi picagari yang tercemar dengan virus HIV, ibu PLHIV kepada anak, atau melalui pemindahan darah dan organ yang dicemari virus.

Mitos 2:

Saya tidak boleh mendapat HIV daripada teman lelaki atau perempuan saya kerana saya tahu orang ini mencintai saya dan saya percaya kepada dia.

Ini boleh menjadi konsepsi yang salah dan membawa maut.

Umumnya, orang yang mencintai sesama mereka tidak berniat memberi HIV kepada yang lain.

Pada masa yang sama, individu tersebut mungkin HIV positif dan tidak mengetahuinya kerana seseorang boleh dijangkiti HIV tanpa menunjukkan sebarang simptom.

Cara yang paling baik dan pasti adalah dengan menjalani ujian darah untuk kedua-dua pasangan.

Mitos 3: 

Terdapat rawatan yang boleh menyembuhkan HIV dan AIDS.

Rawatan terkini untuk virus yang boleh membawa maut ini adalah lebih baik daripada dulu. Rawatan tersebut terbukti dapat meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup PLHIV. Mereka mampu hidup sihat sama seperti manusia lain.

Walau bagaimanapun, belum ditemui penyembuhan secara total, kecuali dengan izin Allah.

Apabila rawatan berjaya, terdapat sedikit virus sahaja yang terdapat dalam darah menyebabkan ujian darah tidak dapat mengesannya.

Kajian terhadap PLHIV dengan tahap darah “tidak dapat dikesan” telah menunjukkan yang virus itu masih terdapat di dalam badan PLHIV, bersembunyi, ‘tidur’ di dalam limfa dan organ lain.

Mereka ini boleh disamakan dengan pesakit kanser peringkat ringan dan mereka perlu makan ubat untuk terus sihat.

Mereka masih berkemungkinan menjangkiti orang lain. Oleh itu mereka harus mengamalkan amalan seks sihat dengan menggunakan kondom.

Mitos 4:

Saya tidak mahu mengambil ujian, kerana sekiranya saya mendapat HIV, hidup saya tidak bermakna lagi.

Diakui apabila didiagnos sebagai HIV positif, anda akan lalui fasa awal yang sangat-sangat mengelirukan.

Tetapi adalah penting untuk menjalankan ujian secepat mungkin sekiranya anda berpendapat yang anda terdedah kepada risiko dijangkiti virus ini.

Sekiranya anda tahu status anda, peluang untuk respon terhadap rawatan yang ada mungkin lebih baik.

Walaupun belum terdapat rawatan yang boleh menghapuskan 100% HIV, virus ini boleh dikawal dengan ubat-ubatan terkini sama seperti penyakit kencing manis dan penyakit jantung.

Mitos 5:

Saya tidak akan dijangkiti HIV kerana saya seorang homoseksual / heteroseksual dan bukan penagih dadah.

Sebenarnya, kadar jangkitan HIV semakin meningkat di antara golongan homoseksual / heteroseksual dan surirumah. Orang yang mempunyai lebih dari satu pasangan seks mempunyai risiko tertinggi.

Malangnya, ramai yang enggan memberitahu pasangan seks mereka yang mereka pernah mempunyai hubungan yang lain. Oleh itu, jauhi seks bebas dan amalkan seks halal dan selamat.

Jalani  ujian darah bersama pasangan anda sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.


AHP:

Sebagai Muslim, cara paling sempurna untuk menjauhi jangkitan ialah dengan menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Jika terbabas, kembalilah kepada fitrah kejadian insani walau apa pun punca dan ujian hidup kita.

Tolonglah faham bahawa jangkitan tidak pernah dibuktikan berlaku melalui aktiviti berkucupan dengan PLHIV, menjaga PLHIV yang menerima rawatan, terdedah kepada percikan darah PLHIV, berkongsi  sudu, pinggan, gelas, makanan serta minuman dengan PLHIV, percikan air liur, tersentuh darah PLHIV tanpa glove dan sebagainya.

Secara teorinya ada yang sebahagiannya berkemungkinan tetapi tidak pernah dibuktikan berlaku secara klinikal.

Jangkitan yang berlaku hanya dengan 4 cara sahaja. Itu pun ada peratusan tertentu setiap risiko. Ingat betul-betul:

·        Hubungan seks dengan PLHIV tanpa perlindungan.
·        Ibu PLHIV kepada anak tanpa rawatan dan pemantauan pakar.
·        Berkongsi picagari yang di dalamnya ada darah yang tercemar dengan virus HIV. Terdedah sahaja di udara, virus tersebut mati.
·        Pemindahan darah atau organ tercemar virus HIV.

FAQs

Oral seks?
Kalau dah sampai tahap telan air mani, memang berisikolah. Tak kiralah berapa tinggi atau rendahnya risiko.

Habis, kenapa AHP kata boleh berkucupan dengan PLHIV?
Berkucupan dan jilatan tidak sama dengan menelan air mani. Apa-apapun, sebaik-baiknya jauhilah perkara yang anda tidak pasti asalkan jangan melulu.

Bagaimana kalau gusi saya berdarah dan terdapat luka di dalam mulut saya?
Secara teori, ya. Secara klinikal, belum pernah terbukti. Sila rujuk semula perkara nombor 3 (Cara jangkitan).

Mudah cerita: Kalau terdedah kepada risiko dan ragu-ragu, cara paling tepat ialah jalani ujian HIV.


Sumber  asal: Luka Rafieqa (forwarded e-mail) dan carian internet.
Suntingan: AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
Along: insansepertiaku@yahoo.com
Survivor: survivorpng@yahoo.
com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya termasuk FB (Secret Group), sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas
017-366-5570 (Norhayati)

Link Perniagaan Online Komuniti: