Entry ini disediakan pada 2 Ramadhan 1433
Umumnya kita tahu kelebihan bulan Ramadhan kan? Bulan yang dianggap lebih baik daripada 1000 bulan. Jadi, bukanlah satu isu jika aku kongsikan pengalamanku sebagai PLHIV sempena bulan yang penuh keberkatan ini.
Tahun lepas masih pada fasa kekeliruan dalam banyak perkara. Antaranya aku keliru kerana waktu makan HAART yang mesti diambil setiap 12 jam dan risau jika kesan sampingan perubatan menghalang peluangku untuk beribadah pada bulan Ramadhan.
Maklumlah ketika itu aku baru sahaja memulakan rawatan HAART dan bacaan CD4 ku hanya sekitar 46 sahaja.
Aku sangat sedih kerana terasa secara tiba-tiba sahaja aku mendapat HIV. Segala nikmat yang Allah pinjamkan seolah-olah hilang begitu sahaja dalam sekelip mata.
Setelah diberi penerangan dan kaunseling oleh Dr. Iskandar Firzada bin Osman, barulah aku yakin untuk berpuasa. Walaupun terdapat sedikit pro dan kontra, bagi aku itu bukanlah isu selagi ianya belum muktamad. Seronoknya hati tidak terkira, umpama kanak-kanak kecil mendapat sebakul coklat kegemaran.
Alhamdulillah Dia berikan nikmat untuk menjalaninya pada tahun kedua tanpa sebarang masalah. Bahkan HIV mengubah persepsiku dalam banyak perkara tentang ibadah.
Contohnya, jika sebelum ini aku ada kalanya sering menangguhkan atau menganggap mudah untuk menunaikan ibadah. Alhamdulillah, dengan HIV, aku jadi lebih peka dan tidak bertangguh.
Jika sebelum ini ada kalanya aku agak culas memimpin keluarga untuk sama-sama bertadarus, tetapi sejak hidup sebagai PLHIV, aku lebih peka.
Jika sebelum ini ada kalanya aku ponteng tarawih terutama jika travel ke mana-mana dengan alasan bermusafir dan kepenatan, Alhamdulillah sejak bergelar PLHIV, aku sehabis daya menunaikannya walaupun terpaksa melakukannya sendirian di mana-mana sahaja hentian R&R lebuhraya.
Begitulah besarnya nikmat dan hikmah yang Allah berikan melalui HIV.
Kenapa dan mengapa aku bersikap begitu?
Setelah aku disahkan sebagai pesakit kronik, barulah aku mula betul-betul sedar tentang hakikat bahawa kehidupan ini hanya sementara. Jika selama ini aku sering menuturkannya, tetapi ianya sekadar luaran tidak secara penghayatan.
Benarlah bahawa jika tidak diuji, kita mungkin gagal melihat arah dan tujuan sebenar penciptaan kita. Badan yang sihat membuatkan kita sering berfikir kematian masih terlalu jauh sedangkan hakikatnya boleh berlaku bila-bila sahaja, pada sesiapa sahaja.
Kita terlupa hakikat bahawa kematian, semakin kita kita lari ianya semakin hampir. Dunia yang kita rasa penuh nikmat dan keseronokan ini semakin dikejar, semakin meninggalkan kita. Kita gagal menghargai dengan cara yang sebenar-benarnya. Kita menghargai kepalsuan semata-mata.
Alangkah ruginya kita jika selepas menerima didikan, teguran dan ujian Allah yang penuh kasih sayang dan hikmah ini terus tenggelam dalam nafsu dan lalai dalam nikmat dunia.
Alangkah malang jika kita masih selesa bergelumang dengan najis dadah.
Alangkah sedih jika kita masih bergaul tanpa batas dan ketagihan seks bebas yang dilarang Allah.
Alangkah hinanya jika kita masih mempertahankan seksualiti yang Allah jadikan sebagai ujian untuk kita menghindarinya sebagai satu budaya hidup.
Alangkah malunya jika masih hidup serumah bagaikan suami isteri dengan pasangan seks kita tanpa perkahwinan yang sah.
Alangkah baculnya terus-terusan meratap pada hakikat yang tidak lagi mampu diubah.
Alangkah anehnya jika masih gagal menunaikan solat fardhu, gagal menunaikan segala suruhan dan gagal meninggalkan segala laranganNya.
Setidak-tidaknya usaha untuk kembali ke pangkal jalan itu lebih ketara berbanding selesa hidup dalam perkara-perkara sia-sia dan maksiat.
Sejujurnya aku bukanlah bagus sangat pun. Aku masih menikmati kehidupan seperti biasa. Cuma aku cuba menjadi lebih baik dari semalam. Insan biasa yang cuba berhijrah sekalipun sering goyang di sana sini.
Aktiviti sepanjang ramadhan
Berikut adalah sebahagian daripada perkara yang aku lakukan sempena Ramadhan. Bukanlah bermakna ianya yang terbaik atau menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar berkongsi untuk saling mempelajari.
Jika sahabat-sahabat PLHIV mampu melaksanakan dengan cara lebih baik, teruskan. Yang kurang mungkin boleh pelajari sesuatu.
Sempena Ramadhan, automatically jadual pengambilan ubatku daripada 9-9 bertukar kepada 7:30-5:30. Begitu juga ubat-ubatan yang lain.
Aku iftar dengan 3 biji kurma, air suam, buah-buahan, sedikit pati jus Monavie dan delima. Sedikit kuih-muih atau makanan ringan. Sekali-sekala terbabas juga. Aku terus tibai nasi. Minuman berais dan manis seboleh-bolehnya aku elakkan. Kalau kepingin sangat, cukuplah sekadar merasa (kuantiti yang sangat sedikit).
Selepas itu, aku segera makan HAART dan ubat-ubatan lain yang perlu.
Kemudian aku menunaikan solat Maghrib berjemaah seisi keluarga. Bertadarus dan membaca makna ayat. Tidak banyak, sekadar 1 muka surat Al-Quran setiap kali solat fardhu. Kalau nak lebih, buat sendiri-sendiri kerana aku mahu family rasa selesa melakukan ibadah.
Berdasarkan situasi, jika sesuai, kami menikmati makan malam sebelum Isyak tetapi jika tidak, kami makan malam selepas tarawih. Ketika ini, aku cuba minum air kosong sebanyak mungkin sambil-sambil bertarawih. Maksud aku standby sebotol besar air mineral tepi kita semasa solatlah bro, sis…
Kebiasaannya aku cuma bertarawih di rumah berjemaah bersama keluarga kecuali solat-solat fardhu.
Jika tak mampu melakukan solat tarawih berdiri, aku duduk. Solawat, bacaan-bacaan surah tertentu semasa tarawih bukan rukun solat. Jika mampu, aku solatlah dengan cara yang lebih sempurna.
Jika kita tak larat atas faktor-faktor kesihatan, cukuplah baca yang rukun asalkan jangan sesekali kita tinggalkan tarawih. Rugi sangat rasanya jika kita tidak menghidupkan Ramadhan dengan amal ibadah dan doa kerana Allah telah janjikan segala macam kelebihan termasuk doa-doa yang pasti diterimaNya. Tak mahu ke?
Kenapa aku banyak bertarawih di rumah?
Kerana aku mengalami masalah saraf, lenguh-lenguh sendi, dan kepenatan melampau. Aku tidak selesa menghabiskan terlalu banyak masa menunggu dan mungkin terpengaruh pula makan berlebihan jika terdapat jamuan selepas solat tarawih.
Sekalipun fizikal kelihatan sihat, tetapi sakit-sakit sendi dan saraf akibat penyakit-penyakit kronik lain mungkin mempengaruhi tahap kesihatanku.
Selepas tarawih, aku banyak menghabiskan masa melayan emel dan komen-komen yang perlu di blog.
Sekarang ni aku sambil-sambil baring boleh melayan sahabat-sahabat Positive Warriors Support Group di facebook (via phone). Jadi tak adalah aku alami masalah bengkak kaki akibat terlalu lama duduk mengadap PC.
Selepas itu, seboleh-bolehnya aku cuba tidur awal. Keadaan kesihatanku tidak mengizinkan aku berjaga seperti dulu. Jadi harap maklum kalau aku off handphone dan sukar untuk dihubungi atau menghubungi selepas pukul 11 pm.
Aku bimbang jika tidur lewat menyebabkan aku tidak mendapat tidur yang berkualiti sedangkan ianya sangat-sangat penting. Akibatnya aku juga yang merana.
Sahur pula cukup sedikit kurma, pati jus, makan ala kadar, susu, dan air suam. Banyakkan minum air sebelum makan HAART dan ubat-ubat lain. Selepas itu seboleh mungkin ke masjid atau setidak-tidaknya berjemaah bersama keluarga. Selepas Subuh, biasa kami tutup sekali lagi dengan tadarus dan bacaan hadis ringkas sebagai pengisian rohani.
Siang, aku bekerja atau bersama keluarga seperti biasa. Sahabat-sahabat komuniti pun sentiasa ada seperti biasa. Sebelah petang aku biasanya masih sempat layan motor easy rider ku meronda di kawasan berdekatan. Senaman ringan masih dikekalkan sebab ianya sangat-sangat penting.
Cuma yang pasti, sejak dulu aku tidak suka ke bazaar Ramadhan.
Pertama kerana aku mungkin terpengaruh membeli makanan yang tidak perlu. Kedua, aku ni jantan tulen, aku tak selesa tengok pakaian yang ketat-ketat dan mendedahkan aurat. Pandang rasa berdosa dan malu. Tak dipandang terasa rugi. Jadi, seelok-eloknya baik aku jauhi kerana aku bukannya bagus sangat.
Itu sahajalah perkongsian pengalamanku sempena Ramadhan. Rasanya biasa-biasa sahaja, tetapi mungkin ada manfaatnya kepada sebahagian sahabat-sahabat PLHIV yang lain.
3 perkara yang aku sangat-sangat beri perhatian iaitu solat berjemaah, tarawih dan tadarus sepanjang Ramadhan dengan harapan ianya berkekalan selama-lamanya.
3 perkara yang aku sangat-sangat beri perhatian iaitu solat berjemaah, tarawih dan tadarus sepanjang Ramadhan dengan harapan ianya berkekalan selama-lamanya.
Rebutlah peluang untuk meningkatkan amal ibadah dan pahala. Yang itu tak perlulah aku kongsikan kerana bimbang mendatangkan riak dan fitnah. Ada banyak jalan ke syurga. Fikir-fikir sendirilah apa yang patut kita buat.
Akhir kata, kondusi rawatan dan kesihatan kita tidak sama. Buat mengikut keupayaan diri sebaik mungkin. Kesederhanaan dan realistic dalam beribadah adalah satu kemestian.
Jangan disangka dengan amal ibadah yang kita lakukan boleh membeli syurga.
Jangan disangka dengan amal ibadah yang kita lakukan boleh membeli syurga.
AHP: Tips untuk memastikan kita berpeluang beribadah di malam Lailatul Qadr:
Mudah je, jangan sesekali tinggalkan ibadah-ibadah fardhu dan sunat sepanjang Ramadhan, kerana mesti salah satu malam pada bulan Ramadhan adalah malam Lailatul Qadr. Bukan senang nak beribadah dan berdoa pada malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Lebih 83 tahun tu… umur kita pun tak tahu selama mana.
Bayangkan jika malam tersebut kita buat perkara-perkara jijik. Iskhh… tak tahulah aku macam mana buruknya kita bro, sis… mengernyamlah kalau rasa diri kita kuat sangat menerima balasan azab Allah nanti.
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:
Survivor: survivorpng@yahoo.com
Survivor: survivorpng@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
AHP: positive4eva@gmail.com
AHP: positive4eva@gmail.com
Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, sila hubungi:
pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas
Link Perniagaan Online Komuniti: