Tuesday, May 13, 2014

SELAMAT JIKA IKUT ARAHAN DOKTOR




Apa itu ubat?

Setiap orang boleh jatuh sakit, tetapi ada pelbagai cara untuk kita pulih semula. Antaranya dengan pengambilan ubat. Namun, adakah kita benar-benar mengenali ubat yang diambil?

Sebenarnya, ramai tidak pasti dengan ubat-ubatan diambil kerana wujud lambakan di pasaran. Berdasarkan kajian peringkat kebangsaan kali kedua ‘A National Survey on Use of Medicines’ (NSUM II) yang dijalankan pada 2012, hanya separuh iaitu 56.6 peratus pengguna ubat di Malaysia tahu menggunakan ubat secara betul dan berkualiti.


Mengikut definisi, ubat adalah bahan kimia yang digunakan untuk mengawal, merawat atau mencegah penyakit. Di Malaysia, ubat-ubatan dikawal penggunaan, penjualan dan pengagihannya melalui Akta Racun 1952.

Secara umumnya, ubat selamat jika diambil mengikut arahan doktor dan ahli farmasi. Pengambilan secara berkualiti boleh menjamin keselamatan pengubatan dan rawatan yang diterima berkesan.


Selain itu, ia dapat mengelak kesan mudarat kepada pengguna. Semua ubat yang hendak dipasarkan dan digunakan di negara ini mesti didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia bagi memastikan ubat berkualiti, selamat, dan berkesan digunakan. Ketulenan sesuatu ubat boleh dikenal pasti melalui semakan nombor pendaftaran (MAL) produk dan semakan label hologram MeditagTM menggunakan alat dekoder Meditag di farmasi.


Untuk memahami kategori ubat mengikut perundangan dengan lebih lanjut, ia boleh dibahagikan kepada kategori ubat am dan ubat terkawal.

Ubat am ialah ubat yang boleh dibeli daripada farmasi dan kedai biasa seperti ubat demam (Paracetamol) dan vitamin.


Ubat terkawal pula terbahagi kepada dua iaitu ubat dengan preskripsi (slip ubat) yang boleh diperoleh hanya melalui doktor atau ahli farmasi, contohnya ubat-ubatan untuk rawatan hipertensi dan antibiotik, manakala ubat tanpa preskripsi pula boleh diperoleh daripada ahli farmasi tanpa preskripsi seperti ubat selesema, batuk dan krim kegatalan kulit.

Apabila membincangkan mengenai ubat, terus terlintas dalam bentuk biji tetapi hakikatnya ubat mempunyai pelbagai bentuk dosej.


Pengguna perlu mengetahui dosej setiap ubat yang diambil kerana ia berkait rapat dengan cara pengambilan atau penggunaannya dalam mengawal kesihatan, merawat, atau mencegah sesuatu penyakit.

Antara bentuk dosej ialah tablet, kapsul, ubat minum, ubat sapu, ubat sedut, ubat suntikan, ubat titisan atau salap mata, ubat titisan atau semburan hidung, dan ubat sisipan. Apa yang berlaku, ramai keliru untuk mengenal pasti nama sesuatu ubat.


Nama generik adalah nama kimia atau nama bahan aktif ubat yang diguna pakai di seluruh dunia, manakala nama dagangan atau jenama ialah yang diberi syarikat pengeluar atau pengilang ubat.

Oleh itu, pengguna digalakkan mengetahui nama generik ubat dan bukan nama dagangan untuk mengelak kekeliruan ketika ingin mengambil atau menggunakan ubat.


Bukan saja nama dagangan atau jenama ubat akan berlainan daripada setiap pengeluar, malah bentuk dan warna ubat juga berbeza.

Justeru, mengetahui nama generik atau nama bahan aktif ubat boleh mengelak terambil ubat salah atau mengambil dua ubat sama tetapi berbeza warna dan nama jenama. Tempat simpanan ubat juga penting bagi memastikan ia dalam keadaan baik.


Elak simpan di dalam bilik mandi, dekat sinki, atas tingkap atau dalam kereta kerana suhu dan kelembapan yang tidak sesuai boleh merosakkan ubat.

Jika masih keliru atau ada pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerusi talian 1800 88 6722.



Waktu operasi pusat panggilan ini dari 8 pagi hingga 5 petang. Selain itu, pengguna boleh menyampaikan soalan ke e-mel pharmacy1@moh.gov.my.


Artikel ini disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia


Sumber: sini



Republished by: Ummie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group).Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com