Sunday, May 25, 2014

BERKHATAN DAPAT MENGURANGKAN RISIKO JANGKITAN HIV SEHINGGA 73%





Ramai yang tidak sedar bahawa berkhatan dapat mengurangkan risiko jangkitan HIV. Itulah antara hikmah sesuatu tuntutan syariah yang sangat mementingkan aspek kebersihan, sama ada kesihatan dan kebersihan jasmani, emosi, rohani, dan intelektual (JERI) yang kurang difahami oleh sebahagian umat Islam sendiri.

Sebenarnya isu yang diutarakan ini bukanlah perkara baru, bahkan telah lama diketahui dan dilaksanakan di sesetengah negara untuk mengurangkan risiko jangkitan virus melalui cara hubungan seks.

Aspek kebersihan sangat dititik beratkan dalam Islam, bahkan lelaki lebih rendah risiko dijangkiti HIV berbanding wanita kerana fitrahnya wanita lebih berperanan sebagai ‘penerima’ dalam hubungan seks.

Luka kecil yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar (micro abrasion) mudah berlaku dalam faraj wanita semasa mengadakan hubungan seks. Langkah pencegahan standard seperti penggunaan kondom tetap penting untuk menjamin keselamatan terutama kepada wanita dan bakal zuriat.

Justeru, stigma dan diskriminasi bahawa kanak-kanak lelaki yang dijangkiti HIV tidak perlu dikhatankan atas sebab-sebab keselamatan sedangkan mereka mempunyai tahap kesihatan yang baik (CD4 tinggi dan virus tidak dapat dikesan) adalah memualkan.

Apa kata kita baca sendiri kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini sebagai bukti.




Kuala Lumpur: Jangkitan melalui aktiviti seks bebas menyumbang kepada 2,510 kes baru HIV tahun lalu, sekaligus menunjukkan peningkatan drastik berbanding hanya 985 kes, lima tahun lalu.

Tahun lalu, 3,393 kes baru HIV direkodkan dengan 2,510 atau 74 peratus daripadanya berpunca akibat hubungan seks manakala pada 2009, sebanyak 985 kes (32 peratus) direkodkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, susulan peningkatan mendadak itu, beliau meminta pegawai di Kementerian Kesihatan mencari kaedah penyelesaian menyeluruh bagi membanteras jangkitan virus itu melalui aktiviti seksual.


“Walaupun seks dalam konteks HIV sangat sensitif dan kompleks, usaha ini perlu segera dilakukan antaranya menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menangani transmisi seksual HIV.

“Selain itu, menggalakkan khatan bagi lelaki, yang mana kaedah ini diakui dapat menurunkan kadar jangkitan HIV sebanyak 64 peratus, malah ada kajian menunjukkan penurunan sehingga 73 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman pada Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Kali Ke-12 Majlis AIDS Malaysia (MAC) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Penyakit Berjangkit) dan Ketua Sektor (AIDS/STI) Dr Sha’ari Ngadiman serta Presiden MAC Datuk Dr Raj Abdul Karim.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, secara keseluruhannya setiap tahun kes jangkitan baru HIV mencatat penurunan secara konsisten sejak 2002 (6,978 kes) kepada 3,393 kes, tahun lalu.

“Jangkitan HIV baru dalam kalangan penagih dadah menggunakan kaedah menyuntik (PWID) yang dahulunya berisiko tinggi HIV juga menurun daripada 53 peratus pada 2006 kepada 22 peratus, tahun lalu.

“Ia hasil program Pengurangan Kemudaratan (Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan dan Terapi Gantian Metadon) yang dilancarkan bersama KKM, MAC dan pelbagai pihak berkaitan, termasuk NGO pada 2006,” katanya.


Sumber: Galak khatan elak HIV
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GalakkhatanelakHIV/Article/index_html


Nota AHP Pie:

Di kesempatan ini juga aku mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua pembaca tetap blog ini kerana semakin kurang online dan berkongsi pelbagai isu mengenai HIV. Kaunseling online juga terpaksa dikurangkan kerana perlu fokus terhadap beberapa perkara penting untuk sementara waktu.

Mohon maaf atas segala salah silap. Tolong doa-doakan urusan yang bakal dilakukan dalam waktu terdekat ini dipermudahkan dan diberkati-Nya.


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group).Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com