Semakin hari kesibukan semakin menimbun. 7 hari seminggu hanya ditumpukan untuk pelbagai aktiviti berkaitan komuniti. Sekalipun ianya satu amanah yang sangat besar, tetapi atas dasar mencari keredhaan Allah dan demi cintakan komuniti, langkah tetap diteruskan selagi termampu.
Salah satu program besar yang telah berjaya dilaksanakan ialah POSITIVE WARRIORS: 2012 Hilarious Fun and Challenges Camp di Nur Lembah Pangsun Resort, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini. Ianya dijalankan pada 12-14 Oktober 2012 (Jumaat hingga Ahad) yang lalu.
Aktiviti yang dijalankan melibatkan indoor dan outdoor secara santai tetapi padat dengan pengisian dalaman yang membina kekuatan rohani. Antaranya pengisian RUH, flying fox, rock climbing, jungle trekking, berakit, dan sebagainya.
Program tersebut sebenarnya Anjuran Yayasan Ihtimam Malaysia dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia. Pihak Positive Warriors selaku NGO diberikan kepercayaan untuk bekerjasama. Ianya satu penghormatan dan pengiktirafan besar kepada kepada kita selaku NGO yang baru bermula.
Selain itu, terdapat beberapa NGO yang turut memberikan kerjasama iaitu SIDIM, PEWAHIM, dan PAFI. Ianya melibatkan seramai hampir 30 orang peserta. Rata-ratanya melibatkan peserta muda yang baru didiagnos.
Disebabkan terdapat beberapa kekangan, aku cuma berkesempatan hadir selaku Presiden Positive Warriors pada Majlis Penutupan pada 14 Oktober 2012. Kak Da dan Ummie terpaksa aku tinggalkan kerana terikat dengan satu komitmen lain di Kuantan. Itu pun sehari sebelumnya aku perlu bertemu beberapa orang sahabat lain secara individu untuk berkongsi pengalaman dan pandangan.
Alhamdulillah, adindaku Survivor AHP dapat hadir dan telah bertungkus-lumus menguruskan pelbagai perkara sebelum program bermula lagi. Beliau sangat banyak membantuku dan menguruskan pelbagai keperluan komuniti dengan kerjasama semua pihak. Semuanya kami lakukan tanpa apa-apa imbuhan material, bahkan perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
Walau bagaimanapun, aku sempat mendapatkan beberapa gambaran sekitar perjalanan program daripada para peserta. Alhamdulillah, kesemuanya memberikan maklum balas yang sangat-sangat memuaskan dan berpuas hati dengan pelbagai program atau aktiviti yang telah diatur.
Segala debaranku untuk melihat hasil sulung Positive Warriors Support Group adalah jauh melebihi sasaran. Bahkan aku sangat bersyukur kerana dapat menjalin silaturrahim secara peribadi dengan beberapa insan hebat daripada pihak JAKIM dan SIDIM.
Sudah tentu nama-nama besar yang banyak membantu komuniti seperti Tuan Haji Zakuan bin Sawai @ Bro. Zeck (Yayasan Ihtimam), Ustaz Mohamed Hanafiah bin Abd Malek @ Sifu Hanafi (SIDIM), Encik Zamzuri bin Abd Malek (MAC), dan lain-lain pihak yang membantu tidak dapat dilupakan. Jazakumullah Kheir…
Terbukti strategi kita bahawa nilai-nilai Islam, kekeluargaan dan kemelayuan yang penuh kasih sayang, daripada ODHA kepada ODHA nampaknya berjaya menambat hati peserta dengan berkesan. Sifu Hanafi berjaya menambat hati para peserta dengan ketulusan dan sifat empati beliau yang tinggi.
Paling menakjubkan ialah apabila para peserta yang muda-muda ini menunjukkan kebangkitan yang drastik dan berkeyakinan. Mereka selesa berjuang sebagai Positive Warriors yang mereka anggap sebagai keluarga besar mereka.
Objektif kita bukanlah sekadar melihat kebangkitan masing-masing secara individu, tetapi berperanan membantu komuniti dalam soal advokasi termasuk mencegah penularan HIV serta menentang stigma, diskriminasi, judgmental, malpractice, dan paranoia.
Alangkah hebatnya jika tenaga muda ini bangkit berjuang dan menarik lebih ramai ODHA yang terpenjara dengan stigma dalaman di luar sana untuk turut sama membuktikan bahawa ODHA bukanlah golongan yang kebanyakannya selama ini dipandang hina.
Terima kasih dan tahniah kepada semua ahli keluargaku yang muda serta bersemangat. Aku berbangga dengan kalian. InsyaAllah, Positive Warriors bakal menjadi NGO ODHA Muslim pertama yang ditubuhkan di Asia dan kedua di dunia.
Pejuang-pejuang muda yang terisi dengan RUH Islam ini adalah bukti bahawa kembali kepada Islam sahajalah jalan penyelesaian dan sumber kekuatan kita.
Terima kasih dan jazakumullah kheir juga kepada sahabat-sahabat dan mentor senior di dalam komuniti yang sudi membantu seperti Kak Ella, Luka Rafieqa, Camelia, Yan, Kak Durah, Arm Ly, Fareez Fauzi, Mizan Mirza, Emma, Che Som, dan beberapa orang lagi yang sudi merendahkan diri.
Positive Warriors yang senior dan berpengalaman sangat banyak memberi inspirasi kepada generasi muda kerana inilah yang yang dimaksudkan dengan Training Of Trainers dan Buddy Support Group – daripada ODHA untuk ODHA tetapi dalam bentuk perkongsian santai. Mereka membantu ahli keluarga yang lebih muda dengan cara masing-masing.
Tidak lupa ucapan terima kasih kepada pihak urusetia dan para fasilitator termasuk Fariza, yang turut hadir untuk menemaniku ke Pangsun. Ini pula bukti bahawa ODHA dan bukan ODHA saling memerlukan dan ada peranan masing-masing dalam menghapuskan salah faham tentang HIV.
Nasihatku kepada semua ahli keluarga Positive Warriors, ODHA dan para pembaca prihatin di luar sana, dalam kita bergembira, fokus terhadap perjuangan mesti kita utamakan. Mari kita lakukannya bersama-sama.
Tidak ada salahnya kita berkongsi kegembiraan dan kedukaan sebagai sebuah keluarga. Tidak bermakna apabila menjadi ODHA, kita seolah-olah hilang segala-galanya. HIV hanya satu bentuk ujian yang sangat-sangat biasa, tetapi dalam bergembira dan berduka, semua ada batasnya.
Marilah bersyukur kerana ujian Allah melalui HIV menyebabkan kita kembali merenung kesilapan diri supaya kita menjadi insan yang lebih baik daripada semalam. Peliharalah hubungan dengan Allah dan hubungan sesama insan.
Berhati-hatilah agar kaffarah tidak menjadi bala’ jika kita berterusan berada dalam kemurkaan Allah. Pergunakan dan manfaatkan NGO, Facebook group, dan blog kita ini sepenuhnya ke arah kebaikan. Jangan sesekali ke arah maksiat. Aku tidak redha.
Perkara remeh-temeh abaikan. Jangan sampai menimbulkan pecah-belah. Terlalu penat bermain dengan emosi. Membina kejayaan tidaklah terlalu susah, tetapi mengekalkan dan mempertingkatkannya memerlukan komitmen yang tinggi.
Kepada pihak Yayasan Ihtimam Malaysia, MAC, SIDIM, PEWAHIM, dan PAFI, aku mengharapkan kerjasama ini berkekalan dan bertambah baik. Banyak lagi program yang kita boleh kita laksanakan bersama demi dakwah dan perjuangan ini. Terima kasih atas kepercayaan.
AHP: Takziah dan syafakallah kepada beberapa orang sahabat yang kemalangan dan tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:
Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com
Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:
pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)