Monday, October 22, 2012

PEMBAWA HIV BAHAGIA DI SAMPING ISTERI SELEPAS JALANI PEMULIHAN






KUALA LUMPUR: Kesilapan silam menyebabkan beberapa lelaki bertekad membantu golongan penagih dadah dan pembawa HIV menjalani rawatan pemulihan dengan menyertai kelompok sokong bantu atau pembimbing rakan sebaya (PRS) di beberapa pusat Care & Cure Service Centre (CCSC) sekitar ibu kota.

Zek, 38, yang sudah pulih daripada najis dadah sejak enam tahun lalu berkata, pengalaman terbabit dalam najis dadah seawal usia 16 tahun dijadikan teladan untuk mendidik pesakit yang sedang menjalani rawatan pemulihan supaya menghentikan perbuatan sia-sia itu.

Katanya, kebodohan sendiri akibat terpengaruh dengan rakan sebaya menjadikan dia penagih tegar dan pernah mengutip makanan dalam tong sampah yang sukar dilupakan sepanjang hayatnya.

Selepas tiga kali dimasukkan ke hospital kerana mendapat Hepatitis C dan disahkan dijangkiti virus HIV, dia benar-benar insaf dan berusaha untuk pulih dengan mendapat rawatan di sebuah pusat pemulihan.

Katanya, dia banyak mendapat nasihat daripada abangnya yang juga pensyarah di sebuah universiti tempatan supaya menjaga nama baik keluarga kerana bapa mereka ustaz.

Ternyata, usaha ke pusat pemulihan kendalian AADK adalah tepat dan kini dia hidup bahagia di samping isteri tercinta apabila dia berkahwin beberapa tahun lalu dan dianugerahi dua cahaya mata.

Walaupun isteri tahu yang dia ada HIV positif, namun rawatan berkala dan kasih sayang keluarga memberi kekuatan dalaman kepadanya untuk membina masa depan cemerlang.

Rakannya, Zairi, 42, yang mula menyertai PRS beberapa bulan lalu mengakui rawatan pemulihan itu cukup berkesan untuk pulih sepenuhnya selepas terjebak dengan najis dadah pada 1980-an.

Kini, dia berusaha sebaik mungkin menarik golongan yang terjebak dengan dadah agar tidak terus pincang langkah mereka seperti mana yang pernah dilakukannya.

Pernah bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan tersohor negara dan sering belayar ke beberapa negara luar, namun akhirnya dia terjebak dengan ganja akibat terikut-ikut dengan rakan hingga hanyut dalam dunia khayal. Selepas ditangkap dan dipenjarakan sebanyak tiga kali bahkan hampir mendapat perintah mahkamah untuk dibuang daerah, dia sedar perbuatan itu hanya sia-sia dan bertaubat.

Kini, dia bangga kerana dapat berkongsi pengalaman dengan golongan muda.


Sumber: sini
Republished by: Ummie


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas