KUALA LUMPUR: Disahkan menghidap HIV sama ada menerusi penagihan dadah, jarum suntikan mahupun hubungan rambang bukan bermakna titik akhir dalam kehidupan seseorang.
Ini berikutan penubuhan pusat perawatan dan pemulihan dadah menerusi program pendampingan atau ‘outreach’ direalisasikan buat penagih tegar menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan membantu golongan berkenaan.
Menerusi Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 yang menggariskan seseorang boleh ditahan untuk ujian air kencingnya di bawah Seksyen 3(1) APD (R&P) 1983 sekiranya disyaki sebagai penagih dadah.
Apabila seseorang itu disahkan penagih dadah, majistret boleh membuat perintah menurut Seksyen 6(1) sama ada penagih tersebut menjalani rawatan dan pemulihan di pusat terpilih selama 2 tahun dan pengawasan selama 2 tahun atau diletakkan di bawah pengawasan seseorang pegawai untuk tempoh selama 2-3 tahun.
Kunjungan ke beberapa pusat Cure & Care Service Centre (CCSC) di Taman Maluri, Cheras dan dua pusat berkenaan di Chow Kit yang mengasingkan rawatan untuk lelaki dan wanita menyedarkan kita bahawa golongan itu tidak dipinggirkan.
Ketua Pegawai AADK Daerah Cheras, Norasiken Ahmad ketika ditemui di CCSC Taman Maluri, Cheras berkata, pendekatan mesra digunakan dalam kaedah rawatan penagih dadah atau pesakit HIV yang ditempatkan di pusat itu.
Di pusat jagaan harian yang menempatkan lebih 40 orang itu, mereka melakukan kerja memasak secara giliran, membasuh pakaian dan pelbagai aktiviti bersama dan dikawal selia enam pekerja dan dibantu beberapa pegawai berkaitan. “Mungkin pendekatan kami yang santai dan terbuka menyebabkan ramai kalangan penagih dibantu serta kembali pulih.
Bahkan, ada kalangan mereka sudah pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan di sini, kami mencarikan kerjaya yang sesuai buat mereka berdasarkan kelulusan dan kebolehan masing-masing. “Sebaik habis waktu pejabat, mereka akan pulang ke penginapan berkenaan dan meneruskan rutin hidup seperti biasa. Oleh kerana seronok di pusat ini, ada kalangan mereka tidak mahu kembali ke kampung halaman.
“Sebaliknya, mereka menjadi sukarelawan atau bekerja sebagai pembimbing rakan sebaya (PRS) dengan membantu kumpulan penagih menerusi pengalaman sendiri,” katanya.
AADK katanya, terus mencari jalan meningkatkan lagi usaha dan memperbaiki cara demi mencapai hasrat untuk menjadi Negara Bebas Dadah menjelang 2015 dengan menggunakan pendekatan secara holistik.
Menurutnya, pelbagai program baru dijalankan melalui Transformasi AADK dilakukan dalam bentuk pemulihan yang lebih terbuka, sukarela dan tanpa perundangan serta program rawatan dan pemulihan secara klinikal dipraktikkan.
Sumber: sini
Republished by: Ummie
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:
Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com
Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:
pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas