Wednesday, October 10, 2012

2 TAHUN AKU HIDUP SEBAGAI PENGHIDAP HIV





InsyaAllah 2 bulan lagi genap 2 tahun aku hidup sebagai ODHA. Berbanding peringkat awal ketika lalui fasa-fasa kesedihan (grief reaction), aku kini sangat selesa hidup sebagai ODHA. Hikmah jauh melebihi segala-galanya.

Firman Allah bermaksud:
Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.

(Surah asy-Syu'ara: 80)


Sembuh yang dimaksudkan tidak semestinya merujuk kepada satu makna khusus. Ianya mungkin juga membawa maksud rahmat, pertolongan, kebaikan, dan sebagainya.

Beberapa ujian kecil yang disebabkan treatment fatigue dan penyakit-penyakit kronik lain itu memang ada, tetapi hidup siapakah yang langsung tidak diuji? Hendak cerita masalah? Mari sini aku bisikkan dan cerita satu persatu, tetapi untuk apa? Bukan semua ujian hidup related dengan HIV.

Aku tidak pandai untuk menggambarkan betapa banyaknya peluang dan rahmat yang Allah berikan melalui HIV. Peluang memperbaiki diri, menjaga hubungan dengan Allah, menghargai kehidupan, menunaikan tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah, menjalin silaturrahim dan ukhwah, dan sebagainya tidak terhitung.

Seperkara yang pasti, aku kini tidak sempat sekadar memikirkan nasib diri. Jika dulu membantu melalui e-mel, SMS, panggilan telefon, dan aplikasi Whatsapp, kini medan perjuangan semakin luas dan mencabar.

Cerita sensasi dan melankolik memang sudah lama terpadam. Kisah begitu tidak akan mendidik masyarakat supaya menghormati ODHA.  Perlahan-lahan AKU bertukar menjadi KITA.

Untuk makluman, kita dalam proses terakhir menjadi sebuah NGO berdaftar secara rasmi dan telah pun merancang dan melaksanakan beberapa program peringkat kebangsaan dengan kerjasama pelbagai NGO lain.

InsyaAllah, Positive Warriors akan dewasa sebagai sebuah NGO pilihan terbaru yang sedia bekerjasama memberi lebih banyak pilihan kepada komuniti. Kata kuncinya ialah daripada ODHA untuk ODHA.

Kita menyediakan ruang selesa dan selamat berteraskan nilai Islam dan kekeluargaan. Saling melengkapkan dan jauh sekali untuk menyaingi mana-mana NGO sedia ada dan berpengalaman.

Hubungan profesional dengan beberapa NGO seperti MAC, PT, Yayasan Ihtimam, JAKIM, PEWAHIM, PAFI, SIDIM, dan sebagainya sangat rapat. Hubungan dengan sukarelawan seniors merangkumi seluruh negara. Sahabat-sahabat peers dan outreach ada di mana-mana. Kumpulan sokongan sangat ramai termasuk di kalangan wartawan. Syukur alhamdulillah. Semuanya bermula di blog ini dengan bantuan beberapa orang sahabat pengasas Positive Warriors.

Bila mempunyai link begini, keuntungannya kembali kepada komuniti kerana sebarang masalah yang dirujuk dapat kita tangani dengan tepat dan pantas. Kakitangan KKM sendiri termasuk doktor-doktor prihatin sedia memberikan pandangan. Ianya menjadi lebih mudah.

Walaupun tidak menceritakan kepada umum bantuan-bantuan yang telah kita salurkan, mereka yang tahu sahaja dapat memahaminya. Alhamdulillah setakat ini aku berbangga dengan kerjasama dan keprihatinan Positive Warriors berperanan dan menjalin kerjasama dengan NGO lain membantu komuniti. Tahniah kepada sahabat-sahabat.

Untuk mencapat tahap ini, aku rasa bertanggungjawab mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada sahabatku Survivor AHP kerana banyak membantu. Maklumlah, aku turut terikat dengan beban tugas hakiki dan Survivor AHPlah yang paling banyak memainkan peranan di samping sokongan jitu sahabat-sahabat Positive Warriors yang lain.

InsyaAllah, mulai bulan November ini, Positive Warriors akan melangkah setapak lagi ke arena antarabangsa pula apabila turut dijemput terlibat dalam Persidangan Antarabangsa Islam Dan HIV/AIDS pada 19-21 November 2012 di Hotel The Royale Bintang, Kuala Lumpur untuk berkongsi pengalaman.

Entry ini bukan bertujuan mendedahkan kelebihan diri. (Na’uzubillahi min zaalik). Ianya semata-mata dengan niat untuk berkongsi rasa bahawa tiada apa yang perlu digentarkan apabila hidup sebagai ODHA. Kita sama seperti insan lain.

Tidak perlu merengek dan bertelingkah dalam perkara remeh-temeh. Lebih baik risaukan hubungan dengan Allah dan peluang menabur jasa daripada risau memikirkan nasib diri semata-mata. Lebih ramai insan lain yang lebih teruji berbanding kita.

Tunggu sahaja dalam waktu terdekat ini bahawa aku kini telah bersedia mendedahkan status diriku kepada masyarakat umum. Positif penerimaan mereka pahala bagi kita. Negatif penerimaan mereka, pahala juga bagi kita. Jadi, kita tidak rugi apa-apa, kan?



Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)