Thursday, October 25, 2012

PERANAN MEDIA NON TRADISIONAL MENYEBARKAN INFO YANG TEPAT TENTANG HIV







Serius

Apa itu media non-tradisional?

Secara mudah, media non-tradisional bukanlah media massa konvensional seperti akhbar harian, majalah, televisyen, radio dan sebagainya. Media konvensional sangat besar peranannya dalam penyebaran maklumat, tetapi kemajuan teknologi menunjukkan berlaku beberapa perubahan mendadak dalam bidang komunikasi dan penyebaran info.

Sebagai contoh, media baru komunikasi dan sosial seperti Facebook, Twitter, laman-laman web dan blog yang lebih interaktif semakin dominan. Ruang visual seperti YouTube pula menjadi rujukan dan pilihan utama generasi muda sehingga kanak-kanak lebih cenderung menggunakan tablet, ipad dan telefon pintar berbanding televisyen.

Inilah yang dimaksudkan media non-tradisonal. Membaca buku teks hampir ketinggalan zaman dan dipandang sepi di era IT.

Aku mula berblog sejak awal diagnos pada Januari 2010. Belum pun sampai 2 tahun, jumlah pembacanya mencecah hampir 1 juta orang. Sebenarnya mungkin lebih kerana semasa peringkat awal aku tidak mempedulikan statistik pengunjung.

Melalui blog tersebut dan atas sokongan sahabat-sahabat, aku dicalonkan untuk anugerah-anugerah tertentu dan ada yang aku menangi. Tetapi itu tidaklah penting pun. Yang penting ialah penyebaran info yang tepat terhadap perjuanganku untuk menentang salah faham tentang HIV.

Melalui blog juga kami membina jalinan silaturrahim dengan pendekatan yang mengutamakan nilai-nilai keislaman, kekeluargaan, dan kemelayuan. Ianya satu ruang yang selesa dan selamat untuk berkongsi sokongan dan membina kekuatan diri.

Ahli-ahlinya terdiri daripada ODHA daripada semua punca risiko jangkitan termasuk para pekerja seks dan affected people (bukan ODHA). Bagi kami, setiap insan berhak mendapat bimbingan, sokongan emosi, dan menerima rawatan tanpa prejudis selagi mereka ada keinginan untuk mencari keredhaan Allah.

Dalam masa tidak sampai 2 tahun juga, atas sokongan banyak pihak, kami sedang dalam menunggu kelulusan untuk menjadi sebuah NGO baru yang saling bekerjasama dengan NGO lain untuk membantu ODHA dan golongan yang menerima impaknya.

Lebih bermakna, melalui blog (media non-tradisional), kami berpeluang menjalin kerjasama dengan lain-lain NGO dan sukarelawan profesional seperti MAC, YAYASAN IHTIMAM, JAKIM, SIDIM, PT, PEWAHIM, PAFI, dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, melalui blog juga, Positive Warriors mula melangkah ke arena antarabangsa dengan penglibatan kami dalam beberapa program peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ramai di kalangan ahli Positive Warriors merupakan duta-duta persidangan berkaitan HIV di peringkat antarabangsa sejak sekian lama.

Bayangkan sahaja kekuatan yang mampu dicapai dan apakah ianya mampu dicapai tanpa pertolongan Allah, tanpa media non-tradisional dan tanpa kerjasama erat kumpulan sokongan?

Pencapaian tersebut tidak adil dianggap sebagai pencapaian peribadi tetapi adalah pencapaian bersama. Kejayaan semua pihak.

Melalui media non tradisonal juga, kita berpeluang berkongsi sokongan melalui pertemuan dan kaunseling secara terbuka, melaksanakan beberapa program atau event, menyediakan kumpulan sokongan di kebanyakan negeri dan hospital-hospital besar hampir di seluruh negara.

Setakat lawatan ke hospital, membantu melalui panggilan telefon, melalui e-mel dan SMS sudah menjadi konvensional. Sekarang, era Whatsapp, Tweet, Viber, Zello, dan sebagainya.

Jadi terpulang kepada kita menggunakan kemudahan sedia ada. Adalah perlu dan bagus membantu secara tradisional sampai bila-bila kerana kita manusia biasa tetapi dalam menyampaikan info dengan pantas kita mempunyai banyak alternatif.

Apa kata kita pergunakan jaringan laman sosial dengan cara yang lebih bermanfaat dan profesional? Bukannya sekadar perkara-perkara melalut dan isu remeh-temeh. 

Buktinya adalah melalui pengalamanku sendiri. Jika mahu digambarkan betapa berkesannya peranan media non-tradisional ini, bunyinya akan kelihatan mendabik dada.

Bayangkan setiap hari selama 7 hari seminggu kita berada di depan PC, mengemaskini info di blog, Facebook, sambil membalas mesej peribadi, Whatsapp, SMS, emel, menaip kertas kerja, dan macam-macam lagi. Ada kalanya tanpa disedari kedua-dua belah tangan memegang 2 handphone serentak untuk membalas pesanan ringkas sambil mulut sibuk bercakap melalui telefon rumah. 

Jika diikutkan, tidak tidur seharian dibuatnya. Kena pandai-pandailah urus diri. 24 jam menjadi tidak pernah cukup. Gaji? Tidak ada. Habis duit lagi adalah. Ha ha ha...

Itu belum termasuk bebanan tugas hakiki, travel ke sana ke mari hingga dinihari, urusan amal ibadah dan kariah setempat, tanggungjawab terhadap keluarga, keperluan peribadi, dan sebagainya. Di hujung semua kesibukan tersebut, ianya menjadi tekanan yang amat sangat dengan pelbagai kerenah biasa membantu komuniti.

Ketika terkebil-kebil menanti lelap yang sangat memenatkan, barulah aku sedar bahawa virus bukanlah musuh sebenar ODHA. Musuh sebenar ODHA adalah ketidakfahaman, stigma, diskriminasi, judgmental, dan salah info. Musuh sebenar ialah jika ODHA tidak menjaga hubungan dengan Allah. Musuh sebenar ialah stigma dalaman ODHA sendiri. Musuh sebenar adalah penyakit rohani.

Emosi

Dalam masa yang sama, aku terasa sangat kerdil di sisi Ilahi. Terasa betapa sakit dan sukarnya menjadi seorang AHP. Sangat-sangat sunyi dan perlukan seseorang yang memahami.

“Untungnya menjadi AHP, dia mendapat jangkitan berbeza daripada kita. Sokongan keluarga sangat kuat. Ramai pihak yang bersimpati kepada dia. Kita ni apa pun tak ada…” “Abang Pie kuat, abang Pie ok, pakcik strong…” bla, bla, bla, yada, yada, yada…”

Amin… aduhai, redha sahajalah apa juga yang melanda. Bosan dan muak dianggap sebagai superhero honky tonky. Perjalanan tetap diteruskan sehingga nafas yang terakhir. Maaf ter emo.



Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas