Saturday, October 27, 2012

BERTERUS-TERANG MENGENAI STATUS HIV POSITIFKU KEPADA SEMUA KELUARGA SEMPENA EIDUL ADHA 2012






Umumnya di Malaysia, Eidul Adha kelihatan kurang meriah berbanding Eidul Fitri. Dulu-dulu aku pun begitu. Sebaliknya Eidul Adha adalah hari yang sangat dekat di hatiku sejak aku semakin dewasa. Setelah aku mula faham hikmah yang terselindung di sebalik sirah (sejarahnya). Ianya patut diraikan melebihi Eidul Fitri.

Salah satu keistimewaan yang paling aku suka ialah berpeluang bertakbir dan melakukan ibadah korban selama 3 hari. Indah dan damainya tidak terkira. Bukan soal makan daging korban yang aku maksudkan. Bila sudah semakin berumur seperti aku, makan daging lebih-lebih pun tak boleh juga.

Sempena Eidul Adha pada hari Jumaat, 10 ZulHijjah (26 Oktober 2012) semua adik beradikku berkumpul di Rumah “Abang Cik” ku seorang peneroka di Felda Keratong 3. Ibuku berkorban seekor lembu dan meminta semua adik-beradikku hadir.

Kebetulan pula abangku yang seorang ini akan mengadakan majlis perkahwinan anak daranya tidak berapa lama lagi dan majlis cukur jambul cucu beliau turut diadakan sempena adik-beradik berkumpul. Menjelang Maghrib petang Khamis, aku, isteri-isteri dan anak-anakku tercinta sampai di Keratong.

Alang-alang sudah berkumpul, terdetik di hatiku untuk berterus-terang tentang statusku kepada semua adik-beradik.

Rasionalnya:

Pertama:

Lambat laun mereka akan tahu juga statusku nanti. Aku tak mahu isteri-isteri dan anak-anakku disalahkan andai terjadi sesuatu nanti.

Walaupun aku kelihatan soft spoken dan cool, hanya yang rapat tahu bahawa karektor semualajadiku adalah seorang fighter. Boleh bertukar menjadi old grumpiest secara tiba-tiba. Kalau defender aku tidak berada di tahap sekarang.

Aku sangat-sangat agresif dan degil jika aku yakin bahawa apa yang aku buat adalah betul. Semakin hari aku semakin tidak sabar untuk hadir secara terbuka menentang ketidak adilan terhadap ODHA. Banyak perkara yang aku mahu lakukan dengan bebas sekalipun aku seorang ODHA.

Jika hasrat itu diizinkannya, lebih baik mereka dengar sendiri penjelasan dari mulutku daripada tertanya-tanya di kemudian hari. Ini adalah antara pengorbanan yang mesti aku bayar untuk perjuangan ini.

Kedua:

Aku ingin membuktikan bahawa, bukan HIV yang menjadi isu. Isu sebenar ialah sikap masing-masing. Tidak kira apapun juga punca jangkitan, yang penting masa depan. Sejarah bukan isu. Aku muak dengan judgmental, stigma, diskriminasi dan paranoia. Bicara soal emosi dan isu remeh-temeh memang memenatkan.

Lebih kurang pukul 10 malam, semua adik-beradik dan ipar-duai berkumpul. Termasuk beberapa anak saudaraku yang dewasa. Sudah tentu isteri-isteri dan anak-anakku hadir kerana mereka sangat penting dan sentiasa melihat jatuh bangunku.

Apa perasaanku ketika itu?

Tak ada apa-apa. Biasa-biasa sahaja. Ya, memang aku ODHA dan apa isunya? Aku tidak merancangpun sebenarnya untuk berterus-terang begitu. Ianya lebih kepada spontan. Apa yang bakal keluarga besarku fikir dan rasa, terpulanglah kepada persepsi mereka. Jauh sekali nak minta simpati.

Ringkas cerita dengan gelak selamba tanpa perasaan aku isytiharkan bahawa aku sebenarnya telah 2 tahun didiagnos sebagai ODHA. Aku jelaskan bahawa mereka tidak perlu risau apa-apa tentang itu kerana himpunan penyakit-penyakit kronik lain dalam tubuhku jauh lebih bahaya berbanding HIV jika tanpa kawalan.

Aku jelaskan juga bahawa mereka tidak perlu risau bersalaman, berpelukan, berkongsi tandas, berkongsi makanan, minuman, terbersin, terbatuk, atau apa-apa sahaja bentuk hubungan kasual. Mereka tak perlu takut-takut aku mencium, gomol dan peluk anak cucu mereka.

Aku terangkan bahawa ODHA mampu hidup sihat, sentiasa ada di sekeliling mereka. ODHA mampu bekerja, berkahwin, melahirkan anak bebas HIV, belajar, berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara sama seperti orang lain.

Aku terangkan bahawa HIV hanya jadi bahaya jika tanpa rawatan yang tepat atau kepatuhan kepada rawatan.  

Aku terangkan tentang stigma “mandi klorok”, isu jenazah diplastikkan, adakah bahaya jika tubuhku berdarah dan terkena kulit mereka, jika digigit nyamuk dan sebagainya. Macam-macamlah yang selama ini mungkin mengelirukan mereka.

Aku minta mereka redha aku jika aku pergi secara tiba-tiba. Aku juga memaklumkan bahawa aku kini semakin hampir mendedahkan diri secara terbuka kepada umum. Aku mohon pengertian mereka bahawa aku mahu berjuang dengan caraku.

Seterusnya aku buka peluang mereka bertanya apa sahaja yang mereka keliru dan ragu-ragu. Alhamdulillah rasanya hampir tidak ada pun.

Kesimpulannya aku lihat mereka seperti biasa sahaja. Terima sahaja aku yang senget benget ni seperti biasa. Memang itu pun yang aku jangkakan. Jika ada sedikit perasaan dan persepsi tertentu di hati mereka, itu bukan masalahku. Aku percaya bahawa kebenaran tetap benar.

Aku pula sambil declare status tu tetap melawak dan tersengih-sengih macam biasa. Sengih sahaja, apa lagi pilihan yang ada?

Kenapa mereka menerimanya dengan mudah?

Seperti yang selalu aku katakan sebelum ini, aku sangat mual didiskriminasikan sebagai ODHA yang terpilih dan bernasib baik. Dapat sokongan keluarga, bla, bla, bla, yada, yada, yada… Konon-konon aku ini idola, superhero honky tonky. Kau orang betul-betul tahu ke apa yang aku tempuh?

Hati menangis siapa yang tahu? Aku tak mahu bercakap soal emosi. Tolonglah jangan judge aku sebegitu. Sangat-sangat sakit dan melukakan.

Bagi aku keluargaku menerimaku sebagai ODHA dengan mudah kerana aku yang memudahkan mereka memahaminya dan membuktikan bahawa HIV bukanlah sekadar isu air mata murahan. Bukan seperti yang selalu mereka tonton di televisyen atau baca di akhbar.

ODHA sendiri mesti buktikan mereka kuat dan terima takdir masing-masing. Redha dengan ujian Allah. Punca jangkitan bukan isu jika kita kenal diri kita.

Kalau boleh nak hidup dengan ODHA sahaja seumur hidup kan? Nak hospital ODHA, doktor ODHA, pak imam ODHA, majikan ODHA dan apa-apa sahajalah semuanya mesti ODHA. ODHA terlupa bahawa hakikatnya mereka sentiasa sahaja perlukan sokongan bukan ODHA dalam kehidupan harian.

Tak payahlah tunggu semua orang (bukan ODHA) terima kita sebelum kita sendiri terima diri kita. Kakitangan Kementerian Kesihatan sendiri masih ramai yang tak faham HIV, inikan pula orang umum. Berikan sedikit masa.

Bahkan dalam beberapa perkara aku lihat ODHA sendiri lebih teruk mendiskriminasikan bukan ODHA. Sesama ODHA pula ada yang sibuk bertelingkah hal remeh-temeh. Bersatu kita teguh, bercerai kita bersepai!  

Berjuang dulu dik, baru kau tahu langit ni tinggi atau rendah. Memang ramai bukan ODHA yang tak faham tetapi kalau masing-masing menyorok, sampai ke sudah isu takkan selesai. Kalau nak menyorok, menyoroklah. Itu hak dan pilihan masing-masing.

(Silap-silap ni nanti ramailah yang menghubungi aku dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan statement provokasi ini)

Ringkas cerita, begitulah perkongsian pengalamanku pada malam Eidul Adha. Latar belakang keluargaku bukanlah semua belajar tinggi-tinggipun tetapi blood is thicker than water dan prove yourself worthy.

Orang menerima kita kerana melihat apa yang kita ada sekarang. Kuasai maklumat asas tentang HIV dan cuba jadikan yang complicated dapat dilihat secara mudah. Make it easier. 

Aku tidak mengatakan bahawa semua orang mesti buat seperti yang aku lakukan. Terpulang kepada situasi dan cara masing-masing. Yang penting kita bersikap positif. Yakin pada diri sendiri dan tak perlu rasa rendah diri.

Selamat Eidul Mubarak!


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas