Monday, October 22, 2012

DIJANGKITI HIV AKIBAT KEALPAAN SENDIRI





KALAU 20 tahun dulu, dia boleh meraih lebih RM150 sehari selepas ditolak pendapatan harian oleh ‘bapa ayam’, tapi kini untuk mendapatkan RM10 pun susah.

Fiza (bukan nama sebenar) meniti lorong gelap sebagai pelacur seawal usia 21 tahun dan kini dalam usia mencecah 45 tahun, tiada lagi lelaki menjeling ke arahnya kerana lima tahun lalu dia disahkan HIV positif. 

Katanya, kesihatan yang kurang mengizinkan sejak disahkan dijangkiti penyakit digeruni itu menyebabkan dia mengehadkan aktiviti itu gara-gara ramai ‘rakan setugas’ dan bapa ayam lain turut memaklumkan pelanggan mengenai keadaannya. 

Ini menyebabkan ramai pelanggannya ‘lari’ dan Fiza menghadapi fasa sukar untuk kelangsungan hidup hingga memaksa dia menagih simpati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari sesuap nasi.

Namun, katanya, hidup perlu diteruskan dan atas pertolongan NGO itu, dia sedar keterlanjurannya selama ini.

“Dulu saya pernah terfikir untuk berhenti melakukan kerja berdosa ini, tetapi semangat tidak kuat. Cuma tahun lalu, apabila disahkan menghidap sifilis yang dahsyat sehingga alat sulit bernanah dan sukar membuang air kecil, baru saya sedar ajal menghampiri. 

“Sakitnya hanya Tuhan yang tahu, tetapi selepas buat rawatan berkali-kali dan berulang alik ke hospital, akhirnya saya pulih.

“Namun beberapa hari selepas itu, saya kembali mengulangi kerja terkutuk ini kerana itu saja yang mampu dilakukan akibat kebodohan diri.

“Semuanya berpunca daripada sikap saya yang cepat terpedaya dengan rakan sekampung yang menjanjikan kerjaya menarik di ibu kota, sebaliknya saya terjebak dengan bidang pelacuran sepertinya. Beberapa tahun lalu, rakan saya itu meninggal dunia,” katanya. 

Walaupun dilanggani ribuan pelanggan sejak remaja dan kini berdepan musibah Aids pada usia 40-an, wanita ini tidak melakukan rawatan khusus di hospital seperti dilakukan kebanyakan pesakit lain. 

Atas faktor kewangan tidak mencukupi untuk ke hospital, dia terpaksa berserah kepada takdir jika jangka hayatnya tidak panjang kerana tahu sepanjang hidupnya dia hanya bergelumang maksiat dan seharusnya perbuatan terkutuk itu dibalas dengan musibah juga. 

Katanya, bagi mengelak rasa sakit berterusan pada alat sulit, dia menjaga pemakanan tertentu dengan mengelak mengambil jenis makanan yang memungkinkan rasa gatal seperti telur separuh masak dan salad. 

Menurut Fiza, dia pernah cuba melakukan kerjaya lain atas alasan mengubah nasib dan tidak mahu kembali ke dunia gelap itu dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran di ibu kota. 

Bagaimanapun, dia tidak tahan apabila kudratnya diperah teruk oleh majikan kerana bekerja seawal jam 4 petang dan berakhir 6 pagi dengan diberi upah hanya RM40 sehari. 

Bekerja lebih 14 jam tetapi gaji tidak seberapa menyebabkan dia hanya bertahan dua bulan dan kemudian mengambil keputusan berhenti kerja dan kembali melacur. 

Pengalaman bergaul dengan penagih najis dadah sekitar Chow Kit turut membuatkan dia terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti mengambil dadah jenis syabu yang boleh dibeli dengan harga semurah 20 sen. 

Fiza juga mempunyai ‘kekasih’ 15 tahun lebih muda daripadanya dan turut menghidap Aids. Oleh kerana desakan hidup dan tiada pendapatan tetap kerana teman lelaki hanya bekerja mengutip tin atau botol minuman, kehidupan pasangan kekasih ini semakin parah. 

Ditanya mengenai pengalaman pahit yang sukar dilupakan sepanjang hidupnya, Fiza berkata, disebabkan kebodohan sendiri, dia pernah diperdaya pengedar heroin supaya menjaga ‘barang’ yang ditumpangkan di biliknya hingga menyebabkan dia dituduh menjadi pengedar. 

“Disebabkan kebodohan itu, saya terjebak dan dicekup dalam operasi di sekitar Lorong Haji Taib, Chow Kit sebelum Aidilfitri baru-baru ini.

“Dulu saya ditipu rakan baik apabila menawarkan kerja terkutuk ini hingga menyebabkan saya terpedaya, kini sekali lagi saya diperbodohkan.

“Ketika disoal siasat, saya didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu menagih dan salah laku perlakuan seks bebas hingga akhirnya dicekup dan terpaksa meringkuk dalam penjara selama tujuh bulan.

“Sejak itu, saya nekad menghentikan aktiviti ini kerana setiap musibah membuatkan saya benar-benar insaf dan mahu berubah serta berharap jadikan pengalaman saya sebagai iktibar,” katanya. 

Mengenai harapan masa depannya, Fiza berhasrat bekerja di restoran atau apa saja kerja, termasuk mencuci pakaian, asalkan halal kerana hinanya diri jika seseorang itu tidak mempunyai wang. 

Mengenai keinginan untuk berkahwin dan menjalani hidup berumah tangga seperti pasangan lain, hati wanitanya bagaikan tersentuh apabila diajukan persoalan itu. 

“Sebenarnya, kami akan berdepan pelbagai cabaran, antaranya saringan ujian darah dilakukan sebelum berkahwin pasti jadi penghalang utama kerana kami berdua positif HIV.

“Selain itu, teman lelaki saya pernah menyuarakan perkara itu dan ibu tirinya pula meminta wang RM3,000 untuk persiapan majlis. Apa yang dapat kami buat, sedangkan untuk mengalas perut kami seharian pun tiada, apatah lagi untuk menyediakan wang sebanyak itu,” katanya sebelum mengakhiri pertemuan kami dengan wajah sayu.


Sumber: sini
Republished by: Ummie


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas