Sunday, January 01, 2012

TERBUNUH RAKAN- ‘PESAKIT’ HIV TERSALAH HAYUN PARANG KETIKA PERGI TUNTUT HUTANG


MARANG: Gara-gara memukul rakannya menggunakan sebilah parang ketika berbincang masalah hutang di sebuah kilang baja pada 15 September lalu, seorang penghidap HIV dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Amzul Jusoh, 39, dari Kampung Rhu Muda, di sini, yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kematian Hassan Harun, 37, menggunakan sebilah parang.

Terdahulu tertuduh memakai baju lokap berwarna merah dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya atas alasan perlu menjaga ibunya yang uzur.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh terhadap Hassan di Sea Union Fishmill Sdn Bhd di Kampung Batangan, di sini, antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi, 15 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 304(b) KK kerana membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama mangsa dan seorang lagi rakan pergi ke kawasan kilang berkenaan kira-kira jam 3 pagi untuk berbincang masalah hutang dengan seorang rakan mereka yang berada di situ.

Bagaimanapun, tertuduh yang ketika itu memegang sebilah parang tersalah memukul mangsa berikutan keadaan persekitaran gelap.

Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan serius pada kepala.

Sumber: sini


AHP:
Membaca berita penuh berserta gambar tertuduh dalam akhbar Harian Metro bertarikh 28 Disember 2011 (Rabu) muka surat 15 bertajuk: Terbunuh Rakan. Pesakit HIV tersalah hayun parang ketika pergi tuntut hutang.

1.   Agaknya bila pula kita akan baca tajuk berita ditulis begini: Pesakit gout tersalah hayun parang ketika pergi tuntut hutang. Apa kena mengena status penyakit seseorang dengan jenayah yang dilakukan? Sudahlah begitu, bukankah status tersebut sepatutnya sulit?

2.   Kenapa istilah untuk PLHIV sering berubah-ubah. Dalam myMetro ditulis sebagai pengidap HIV (oklah juga) dan dalam akhbar ditulis sebagai pesakit HIV untuk berita yang sama?

3.   Bukankah kesalahan-kesalahan remeh ini akhirnya menyuburkan stigma, diskriminasi dan judgmental dalam kalangan masyarakat?