Monday, January 23, 2012

JANGKITAN SEKSUAL & RADANGAN PELVIK - INFO SIHAT




Apa Itu Penyakit Radangan Pelvik?

Ia adalah sejenis penyakit berjangkit yang progresif dan berlaku pada tiub faloppian, rahim, servik dan / atau ovari.

Kebanyakan remaja perempuan mengalami PID daripada jangkitan seksual (STIs).

Apakah Gejala Penyakit Radangan Pelvik?

Gejala Penyakit Radangan Pelvik adalah pelbagai. Ianya meliputi tiada gejala kepada gejala yang teruk.

Gejala-gejala ini termasuklah:

  • Sakit di bawah bahagian abdomen
  • Lelehan vagina yang banyak, berbau busuk, dan berwarna tidak normal
  • Sakit semasa hubungan seks
  • Darah haid yang terlalu banyak dengan kesakitan yang berlebihan
  • Perdarahan antara kitaran haid
  • Menggigil, demam, dan muntah
  • Kepenatan yang berlebihan
  • Hilang selera makan
  • Sakit pinggang
  • Kencing sakit dan lebih kerap
Apa Akan Berlaku Jika Anda Menghidap Penyakit Radangan Pelvik?

  • Ia akan menyebabkan parut dalaman yang teruk dan mengakibatkan kemandulan.
  • Jika seseorang itu hamil, parut dalaman akan menyebabkan kehamilan ektopik (kehamilan diluar rahim).
  • Ia boleh menyebabkan nanah berkumpul di tiub fallopian dan ovari.




Bagaimana Mengesan Dan Merawat Penyakit Radangan Pelvik?

  • Anda dikehendaki menjalani pemeriksaan pelvik dan lelehan genital akan dianalisa
  • Ujian kehamilan juga dibuat
  • Untuk mengesan Penyakit Radangan Pelvik, pemeriksaan ultrasound juga perlu dibuat
  • Anda akan diberi rawatan antibiotik untuk beberapa minggu
  • Anda harus menghabiskan keseluruhan antibiotik yang diberi. Jika tidak, jangkitan mungkin berulang
  • Jika anda mempunyai gejala yang teruk, anda mungkin dimasukkan ke wad untuk beberapa hari bagi mendapatkan rawatan antibiotik secara intravena
  • Pasangan anda mungkin juga perlu mendapatkan rawatan
Bagaimana Anda Mencegah Penyakit Radangan Pelvik?

Cara yang paling baik untuk mencegah PID adalah dengan mengelakkan diri daripada hubungan seks.

Jika anda berumur 16 tahun ke bawah, menjalinkan hubungan seks adalah salah di sisi undang-undang kecuali anda telah berkahwin.
  • Undang-undang Malaysia menyatakan bahawa perhubungan seks dengan remaja perempuan yang berumur 16 tahun dan ke bawah, samada dengan persetujuan atau tidak, akan mengakibatkan lelaki berkenaan disabitkan kesalahan merogol.
Jika anda aktif melakukan hubungan seks, amalkan hubungan seks yang selamat.
  • Setia pada seorang pasangan. Elakkan daripada bertukar-tukar pasangan.
  • Gunakan kondom. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100% berkesan dalam pencegahan Penyakit Radangan Pelvik, tetapi ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan.
  • Elakkan daripada pengambilan alkohol atau dadah di mana ia akan menjejaskan pertimbangan anda.

Sumber: AO melalui INFO SIHAT - RADANGAN PELVIK