Ucapan semasa Majlis Penutupan Program Pengukuhan PLHIV di Starpoints Hotel, Kuala Lumpur, 23-25 April 2013
Peringkat awal diagnos sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA), aku sangat bergantung kepada media alternatif (non-traditional media) untuk mencari maklumat berkaitan HIV, harapan, dan peluang.
Selain mengumpulkan segala maklumat yang dicari dan difikirkan menarik, aku juga menjadikan media alternatif (blog) sebagai satu perjuangan, therapy dan untuk berkongsi pengalaman sebagai ODHA. Harapan aku supaya boleh dijadikan rujukan keluarga dan kepada golongan yang memerlukan.
Walau sehebat manapun maklumat, aku lebih suka membaca dan merenungi kekuatan atau kelemahan melalui pengalaman sebenar beberapa orang bloggers ODHA yang lebih awal berblog sekalipun kadangkala blog mereka penuh kekeliruan atau hidup segan mati tidak mahu. Sayang mereka gagal mengeksploitasinya untuk membantu sesama komuniti.
Dengan sedikit pengalaman lama berblog sebelum ini dan sedikit bakat dalam bidang penulisan, maka lahirlah blog ini: AKU HIV POSITIF (http://akuhivpositif.blospot.com). Sudah tentu pada peringkat awal, perkongsianku juga penuh kekeliruan, tetapi itulah lumrah kehidupan. Maklum sahaja aku baru berdepan sesuatu yang baru, besar dan mengejutkan dalam hidup.
Selain keluarga, Dr. Iskandar Firzada bin Osman adalah individu yang menyokong minatku untuk berkongsi pengalaman melalui blog. Prinsipku mudah sahaja, aku tidak mahu mati sebagai seorang yang kalah. Aku mahu mati di medan perjuangan.
Tanpa dirancang, setelah 2 tahun, blogku kini mencecah hampir 1.5 juta orang pembaca. Boleh tahan untuk seorang basic blogger tanpa mengejar sebarang keuntungan peribadi. Beberapa pencapaian tertentu telah diperolehi tetapi impak yang paling besar ialah peluang berjuang membantu komuniti dan membantu pencegahan penularan HIV. Maksud aku, peluang melaksanakan tuntutan dakwah dan fardhu kifayah dengan caraku.
Daripada blog aku juga lahirnya beberapa buah blog lain dalam isu yang sama atau hampir sama. Ada yang aktif, ada yang tidak aktif. Itu terpulang kepada pemiliknya atas rasional masing-masing.
Sekalipun ada blog yang tidak aktif, aku yakin tetap ada kesannya kepada komuniti dan mereka yang memerlukan. Alangkah nikmatnya mendapat pahala yang berterusan dengan sekadar mengetuk-ngetuk keyboard PC. Alangkah malangnya pula mendapat dosa dengan sekadar mengetuk-ngetuk keyboard yang sama.
Terdapat beberapa buah blog yang mendapat inspirasi daripada blogku terpaksa kuabaikan atas sebab-sebab tertentu seperti perkongsian mereka terlalu mengikut emosi, bersikap negatif, mencari perbezaan, selesa dengan nilai dan norma tertentu yang bertentangan dengan Islam, mempromosikan pandangan (kononnya tidak perlu mendapatkan rawatan HAART) dan sebagainya.
Segelintir yang menolak HAART mungkin pandai tetapi mustahil lebih pandai daripada majoriti doktor Muslim yang prihatin dan mendapat pendidikan khusus dalam bidang Infectious Diseases (ID) di Malaysia. Jika mereka hebat, elok berdebat dengan pakar daripada World Health Organization (WHO). Buktikan.
Aku sangat terbuka dengan perbezaan pandangan, tetapi jika sampai ke tahap seolah-olah memperkecil-kecilkan dan memaksa individu lain berpegang kepada nilai yang sama, itu mencerminkan sikap keanak-anakan. Seelok-eloknya fokus pada blog atau laman web sendiri. Promosikan maklumat secara besar-besaran. Jika terbukti dan diterima, aku yang pertama akan sokong.
Setiap individu mempunyai pelbagai sebab dan isu dijangkiti HIV. Ada tahap-tahap tertentu kesihatan. Tidak adil kita menilai apa yang kita rasa dan memaksa nilainya kepada individu yang lain. Hanya al-Qur’an dan hadis sahih sahaja yang tidak boleh dipertikaikan.
Jadi, secara ringkasnya, kita jelas bahawa betapa besar peranan dan peluang yang dijanjikan media alternatif pada masa hadapan, tidak perlu menjemput sidang media khas dan bergantung kepada pihak lain semata-mata untuk berjuang serta menyampaikan maklumat.
Apakah Media Alternatif atau Non-Traditional Media?
Jangan pening-peningkan kepala. Tidak perlu rujuk Kamus Dewan atau Oxford Dictionary. Selain media massa utama, itu adalah media alternatif seperti laman web, FaceBook, Blog, Twitter, You Tube dan sebagainya.
Beberapa Tips Mudah Untuk Mengeksploitasi Media Alternatif
Berikut adalah beberapa tips berdasarkan sedikit pengalamanku sendiri berblog dengan kemahiran teknikal dan teknologi maklumat yang terhad. Bermula daripada zero sebelum perlahan-lahan belajar daripada pengalaman.
1. Objektif.
Mesti jelas tujuan kita membina laman web, berblog dan berFacebook. Tanpa objektif yang jelas, segala-galanya tidak akan ke mana. Seboleh-bolehnya fokus kepada 1 isu sahaja. Jika HIV, maka cukuplah sekadar HIV dan segala perkara yang berkaitan dengannya.
2. Gunakan kata kunci (keywords) yang tepat.
Kita mesti bijak menjangkakan keywords popular kepada golongan pembaca yang kita kehendaki. Perkataan-perkataan seperti HIV, AIDS, STI, penyakit kelamin, rawatan HIV, stigma, diskriminasi, dan sebagainya sangat penting tetapi tidak perlulah terlalu sensasi dan ‘murah’.
3. Gunakan laman web atau blog yang ringkas.
Jangan terlalu teknikal, penuh dengan pelbagai html code yang canggih dan sarat dengan grafik. Sebolehnya-bolehnya mudah untuk load sekalipun di kawasan yang mendapat liputan internet yang kurang memuaskan. Selain memudahkan pembaca, ianya juga memudahkan kita sebagai pengendali. Yang penting ialah content.
4. Mudah difahami. (make it easy)
Kongsi dan kumpulkan maklumat yang mudah difahami kerana pembaca biasanya mahukan maklumat yang sebegitu. Maklumat-maklumat berat boleh mereka cari sendiri apabila sampai ketikanya. Sertakan sahaja cadangan link berkaitan di laman web atau blog kita jika difikirkan sesuai.
Info yang bagus tetapi apabila disampaikan dalam bentuk yang terlalu abstrak sukar dihadami pembaca. Blog maklumat dan perjuangan tidak sama dengan personal blog yang boleh berkongsi apa saja tidak kira menu sambal belacan, belimbing rebus, petua kecantikan, dan ubah suai kenderaan.
5. Ikut kemahiran masing-masing.
Kongsikan maklumat mengikut minat, pengalaman, dan situasi masing-masing serta fokus.
Contoh:
Jika kita baru sahaja didiagnos, kongsikan pengalaman memulakan rawatan, kekeliruan, dan sebagainya. Lebih baik menjadi diri sendiri, tetapi cuba elakkan perkongsian yang terlalu beremosi. Emosi biasanya menenggelamkan rasional.
Jika kita pernah menempuh pengalaman menjalani rawatan penyakit-penyakit sampingan yang lain seperti rawatan Hepatitis B, C, dan sebagainya, adalah penting ianya dikongsi dengan cara yang positif.
Setiap dugaan mesti dirasionalkan dengan kewajaran tindakan dan peluang untuk hidup sihat. Elakkan melonggokkan semua maklumat dalam satu perkongsian sahaja.
Jika kita seorang professional volunteer atau supporter, elok dikongsikan satu persatu pengalaman yang difikirkan paling memberi inspirasi kepada pembaca. Tidak kiralah apa juga jenis pengalaman untuk merangsang komuniti bangkit dan memberikan kefahaman positif kepada masyarakat.
Mahir dalam sesuatu bidang, mustahil semua bidang yang lain pun kita mahir.
Tidak ada manusia yang terlalu hebat atau terlalu lemah. Walaupun sekadar berkongsi 1 rajah tertentu sahaja tetapi mungkin besar maknanya bagi pembaca yang lain.
Isu sebenar ODHA
6. Saling bekerjasama.
Menjaga hubungan baik dan saling menyokong dengan blogger atau pengendali laman web yang berkaitan. Ianya bukan sekadar untuk membantu kita dalam soal teknikal, tetapi yang lebih penting saling bertukar maklumat berkaitan, membina jaringan untuk membantu komuniti, dan dapat meningkatkan trafik pembaca. Keuntungannya ialah para pembaca mendapat lebih variasi maklumat dan kita pula dapat mencapai objektif penyebaran maklumat.
7. Sentiasa kemaskini (update) maklumat.
Kemaskini maklumat bergantung kepada kelapangan dan keperluan, tetapi jangan terlalu lama tidak dikemaskini. Apabila laman web dan blog bersawang, para pembaca akan beralih ke laman web atau blog yang menyediakan maklumat terkini dan dapat menarik minat mereka.
8. Terbuka dengan perbezaan pandangan.
Dalam berblog, biasanya terdapat pelbagai respon, kritikan dan komen. Sebenarnya terpulang kepada kita untuk menanganinya. Setiap individu mempunyai pelbagai persepsi. Kritikan sangat perlu untuk kita memuhasabah diri. Jika ada komen yang difikirkan merapu meraban, cuba menarik perhatian, atau menunjuk pandai, delete sahaja. Tidak perlu pening-peningkan kepala.
9. Sertakan talian khidmat sokongan NGOs lain.
Nombor telefon, alamat laman web, e-mel, dan sebagainya elok untuk menambahkan nilai interaktif laman web atau blog kita. Seboleh-bolehnya buka tawaran kepada sahabat-sahabat yang lain yang berminat untuk membantu tetapi hak privacy mereka perlu dijaga.
10. Jaga kepercayaan pembaca. (nasihat untuk diri sendiri)
Apabila pembaca mempercayai kita dan menghubungi kita untuk mendapatkan bantuan, terpulang kepada kita untuk membuat keputusan. Tetapi maruah dan aib mereka mesti dihormati dan dilindungi.
Bukan itu sahaja, maruah dan aib sendiri juga perlu dipelihara. Masih boleh difahami jika sesekali kelihatan melayan emosi tetapi apabila memilih jalan dakwah dan perjuangan, berhati-hatilah.
Elakkan perkongsian yang mencerminkan kekeliruan pemikiran kita sekalipun ianya luahan jujur isi hati. Memilih untuk berada di medan perjuangan, bermakna kita menerima hakikat bahawa hanya menjadi kuat sahaja pilihan yang kita ada.
Cukup setakat ini dulu. InsyaAllah jumpa lagi.
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/
NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Mizan Mirza: positivelypositive77@gmail.com
Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
NGO Sokongan:
Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org/
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi
Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)