Sepanjang Mei 2013, selain daripada berdepan dengan rutin harian yang sentiasa menjawab pelbagai pertanyaan dan urusan berkaitan HIV serta pengurusan Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM), aku juga sibuk menghadiri pelbagai events atas jemputan pelbagai pihak terutamanya menjelang sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia (IAMD 2013).
Disebabkan oleh kekangan tersebut aku tidak berkesempatan mengemaskini blog ini seperti biasa. Bahkan masih terdapat senarai panjang tugas yang tidak menampakkan sebarang peluang untuk berehat seketika dalam waktu terdekat.
Kepenatannya hanya Tuhan yang tahu. Ada kalanya berminggu aku terpaksa meninggalkan keluarga termasuk tugas-tugas hakikiku. Syukurlah setakat ini majikan dan rakan-rakan setugasku masih boleh bertolak-ansur. Jazakumullah kheir kepada mereka. InsyaAllah ini sebahagian daripada berkat doa komuniti.
Kadang-kadang aku agak tertekan dengan rasa bersalah membebankan rakan-rakan setugas, tetapi perjuangan ini sangat penting untuk mendidik masyarakat mengenai HIV/ AIDS secara terbuka khususnya bagi menentang stigma, diskriminasi, paranoia, dan judgmental.
Bahkan berjuang membantu komuniti dan menghadiri pelbagai event tersebut, komitmenku jauh lebih berat berbanding tugas hakiki. Ada kalanya terpaksa bersedia sejak pagi sehingga larut malam. Sentiasa bergerak dan keluar masuk hotel merata-rata tempat dan sebahagiannya hanya menggunakan perbelanjaan sendiri yang bukan sedikit.
Antara aktiviti terbesar yang baru aku lalui ialah menghadiri Program Perkhemahan Muhibbah Siri 2/2013, anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM dengan kerjasama Yayasan Ihtimam Malaysia, dan Majlis AIDS Malaysia pada 17 – 19 Mei 2013 di Dusun Eco Resort & Training Village, Bentong, Pahang.
Para peserta adalah terdiri daripada ahli PPWM yang melibatkan infected, affected, NGOs sokongan, supporters, dan volunteers. Kehadiranku adalah semata-mata untuk memberikan sokongan kepada komuniti khususnya ahli PPWM dan demi memastikan hubungan baik antara PPWM dengan pihak JAKIM, Yayasan Ihtimam, serta MAC terpelihara.
Alhamdulillah dengan sokongan dan bimbingan pihak JAKIM dan Sifu Hanafi, para peserta mendapat banyak manfaat khususnya untuk membina kekuatan diri dan jalinan ukhwah. Aku berharap melalui program sebegini akan memberikan output yang besar terhadap pembangunan komuniti. Tahniah kepada semua pihak termasuk kepada ahli-ahli PPWM sendiri yang memberikan kerjasama demi memastikan semuanya berjalan lancar.
Aku bersama-sama Ustaz Zakuan bin Sawai, Pengarah Eksekutif Yayasan Ihtimam Malaysia yang sangat sporting
Sifu Hanafi sedang mengendalikan bengkel bersama komuniti
Pada sebelah petang 18 Mei 2013, aku terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur kerana perlu bersedia dan mewakili PPWM untuk event seterusnya iaitu sebagai ahli panel forum sempena Hari Memperingati AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan di Dewan Daud Al-Fathoni di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 19 Mei 2013.
Ahli-ahli panel yang lain ialah Ustaz Mohamad Zamri bin Mohamad Shafek (Ketua Penolong Pengarah, Institut Latihan Malaysia, JAKIM) dan Saudara Fahrin Ahmad, Selebriti Sokongan Riben Merah, Majlis AIDS Malaysia sebagai moderator.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh pelbagai NGOs dan individu prihatin dan telah dirasmikan oleh Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM.
Syukur alhamdulillah selepas forum tersebut berlangsung, aku adalah salah seorang daripada 5 orang yang dipilih sebagai Tokoh Anugerah Komuniti Terbaik 2013. Aku merasakan diriku sangat kerdil berbanding tokoh-tokoh lain yang jauh lebih berperanan tetapi sekurang-kurangnya ianya sebagai satu pengiktirafan kepada PPWM dan kepada mereka yang berani dan sedia tampil secara terbuka membantu komuniti.
Bukan nama, pengiktirafan, dan penghargaan yang dikejar. Tambahan lagi perjuanganku masih terlalu baru dalam usaha membantu komuniti berbanding para senior yang jauh lebih berpengalaman.
Bersama Tuan Haji Razali, beberapa orang VVIP dan sebahagian daripada penerima Tokoh Anugerah Komuniti Terbaik 2013
Bersama sebahagian daripada pihak media
Bersama Encik Hisham Hussein, Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia dan Roswati Ghani Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia (MAC)
Sebahagian daripada staf sokongan MAC yang komited membantu komuniti
Usai majlis, aku telah ditemubual oleh banyak media arus perdana, tetapi seperti biasa aku tidak mempunyai cerita sedih dan sensasi yang mahu dikongsikan walaupun aku hidup sebagai ODHA. Segala-galanya terlalu biasa dan normal. Yang penting adalah menentang stigma, diskriminasi dan judgmental yang lebih memudaratkan ODHA berbanding peluang hidup sihat. Terpulang kepada pihak media untuk menyiarkannya.
Pada 20 – 21 Mei 2013 pula, aku bersama Dr. Ilias Adam Yee (mewakili Universiti Malaya) dan Saudara Fahrin Ahmad serta Owen Yap (Selebriti Sokongan Riben Merah, MAC) hadir sebagai penceramah dan berkongsi pandangan tentang isu HIV/AIDS termasuk rawatan terkini, stigma, diskriminasi, dan judgmental bersama kakitangan Sime Darby di Auditorium Sime Darby Plantation Corporate Office, Petaling Jaya, Selangor dan di Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur anjuran MAC.
Sebahagian daripada staf Sime Darby Plantation
Sejujurnya aku mengkagumi komitmen semua ahli panel dan staf Sime Darby yang sangat memahami dan bersikap terbuka. Saudara Fahrin Ahmad dalam kedua-dua sesi sanggup merendah diri berkongsi minuman denganku untuk membuktikan kepada audience bahawa tiada jangkitan melalui pergaulan kasual dengan ODHA. Walaupun simple, cara tersebut sangat berkesan dan bermakna.
Barangkali kerana mereka memang berpendidikan tinggi dan sentiasa terdedah dengan pelbagai info tanpa judgmental, maka mereka bersikap amat terbuka. Sime Darby yang ku perhatikan adalah sebuah Government-Linked Company (GLC) yang sangat prihatin dengan nasib komuniti terpinggir termasuk orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, dan kanak-kanak terbiar.
Aku sangat berharap PPWM dapat menjalin kerjasama baik yang berkekalan dengan pihak Sime Darby melalui peluang menjalin hubungan yang pihak MAC buka.
Pada 21-23 Mei 2013, aku bergegas pula ke Ancasa Allsuites Resort & Spa, di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk berkongsi sokongan dalam satu sesi ceramah bertajuk Stigma, Sokong & Bantu bersama para Imam JAWI anjuran JAKIM iaitu Bengkel Manual Islam Dan HIV/ AIDS.
Bersama golongan agamawan adalah keutamaanku untuk menentang salah faham dan membantu komuniti. Perlu diingatkan bahawa sekitar 98,000 ODHA yang telah didiagnos sebagai ODHA. Mereka yang belum didiagnos adalah dalam anggaran 2 – 3 kali ganda dan jumlah tersebut tidak termasuk affected people yang menerima kesan yang hampir sama seperti suami, isteri, anak, keluarga, dan sebagainya.
Kadar jangkitan di kalangan pasangan kepada ODHA menunjukkan peningkatan yang semakin tinggi berbanding pengamal aktiviti berisiko dan kesemua mereka (tanpa mengira punca jangkitan) berhak mendapat bimbingan, sokongan, dan rawatan.
Stigma, judgmental, dan diskriminasi hanya akan menambah penularan virus dan penganiayaan. Inilah yang seharusnya disedari oleh semua pihak. Visual negatif di dalam fikiran masing-masing bahawa ODHA adalah sekadar insan-insan yang sengaja mengambil risiko, terbiar di jalanan, kurus kering, dan tidak menyumbang apa-apa kepada negara mesti dihapuskan.
Ramai ODHA turut menyumbang jasa kepada agama dan pembangunan negara. Selain memegang pelbagai jawatan penting di dalam pelbagai bidang profesiosional, ramai ODHA turut terdiri daripada lulusan agama termasuk dari Timur Tengah seperti bekas para pelajar tahfiz, imam, ustaz, ustazah, peguam syar’ie, dan sebagainya.
Aku sangat sedih jika golongan agamawan yang sepatutnya membantu, tetapi bersikap tidak ambil peduli tentang isu yang melibatkan ramai umat Islam ini dengan pelbagai alasan masing-masing.
Adalah malang jika terdapat golongan agamawan berpendidikan tinggi yang masih tidak jelas tentang cara jangkitan HIV, rawatan terkini, keliru tentang pelaksanaan program pertukaran jarum suntikan, methadone, dan pembahagian kondom (Needle Syringe Exchange Program atau NSEP). Tiada guna bersikap menghukum sedangkan golongan agamawan sangat diperlukan oleh komuniti dan besar pengaruh serta peranannya di kalangan masyarakat setempat.
Sekadar berkongsi, aku pernah menghadiri satu program yang dianjurkan oleh sebuah NGO tertentu, yang sokongan sesama komunitinya sangat hebat, tetapi kosong tanpa pengisian agama. Akhirnya program tersebut yang sepatutnya dibina untuk mendapat redha Allah menjadi sia-sia tanpa penglibatan golongan agamawan. Sesat dan menyesatkan kerana tuntutan fardhu ain dianggap hanya soal individu. Harm reduction semata-mata dan kerana itulah aku bersetuju PPWM ditubuhkan atas landasan perjuangan Islam, Melayu dan kekeluargaan.
Alhamdulillah, para imam di dalam program yang aku hadiri kali ini menunjukkan sedia faham tentang isu HIV/AIDS, prihatin dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran dengan cara yang tepat kepada masyarakat di peringkat kariah masing-masing. Kepada para pemimpin hebat ini, kita doakan mereka istiqamah dengan azam mereka.
Bersama Dr. Zaini binti Haji Ishak, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit HIV/AIDS dari Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan
Setakat ini dulu, jumpa lagi. Jazakumullah kheir yang tidak terhingga kepada semua pihak yang prihatin dan membantu komuniti khususnya JAKIM, Yayasan Ihtimam, MAC, dan para penceramah setiap program.
Ayuh sahabat-sahabatku ODHA, kita bangkit. Ini bukan lagi masanya untuk kisah syahdu syahdan dan melayan emosi. Makin dibiarkan ketidakfahaman tentang isu HIV/ AIDS ini, makin berleluasa penganiayaan.
Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/
NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Mizan Mirza: positivelypositive77@gmail.com
Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
NGO Sokongan:
Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi
Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)