Sunday, May 05, 2013

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN KALI KE-28



My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician



Pagi Jumaat, 3 Mei 2013, aku ditemani Kak Da ke Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan bertemu Dr. Iskandar Firzada bin Osman untuk mengambil bekalan HAART dan pemantauan kesihatanku. Selain pemantauan kesihatan dan bekalan ubat, temujanji tersebut adalah untuk mengemaskini maklumat dan mendapatkan beberapa pandangan Dr. Iskandar Firzada selaku Penasihat Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM).

Alhamdulillah tiada apa-apa yang merisaukan tentang keadaan kesihatanku kecuali kepenatan akibat kesibukan yang Dr. Iskandar Firzada sedia maklum.

Berikut adalah beberapa info terkini berkaitan pertanyaan beberapa orang sahabat komuniti yang meminta pandangan daripada Dr. Iskandar mengenai masalah kesihatan mereka.

Seperti biasa, perlu dingatkan bahawa berikut adalah soalan dan jawapan yang aku fahami mengikut pemahamanku. Maklumat sebenar yang Dr. Iskandar Firzada cuba sampaikan mungkin sedikit berbeza.

1.     Adakah Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) yang telah mendapat rawatan HAART tidak dibenarkan mengambil makanan pedas?

Tiada interaksi antara HAART dengan makanan pedas. Ianya bergantung kepada individu tersebut. Makanan yang terlalu pedas tidak digalakkan kepada sesiapa pun kerana ianya boleh menganggu fungsi usus.

Walau bagaimanapun, ODHA yang turut mengidap gastrik atau buasir hendaklah mengelakkan makanan pedas dan terlalu berempah.

Jika mengalami masalah perut tidak selesa setiap kali memakan makanan pedas, sila buat pemeriksaan masalah gastrik atau buasir.

2.     Bolehkah seseorang ibu ODHA mengikat saluran peranakan (tuba legation) untuk mengelakkan kehamilan dan apakah kesan jangka panjang kesihatan terhadap mereka?

Mengikat saluran peranakan biasanya adalah untuk mengelakkan kehamilan atas sebab-sebab tertentu atas nasihat doktor. Ianya bergantung kepada situasi dan masalah kesihatan ibu ODHA itu sendiri. Sebagai contoh, jika ODHA tersebut mengidap anemia dan talassemia serta dinasihatkan supaya tidak mengandung, maka doktor akan mencadangkan beberapa alternatif.

Jika pasangan tersebut tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan isu-isu lain, biasanya 3 kaedah pencegahan kehamilan dicadangkan iaitu pil pencegahan kehamilan, injection (3 bulan sekali), dan implant (3 tahun sekali).

Kaedah implant
  
Jika pasangan masih muda, doktor biasanya tidak menggalakkan “ikat” (tuba legation) kerana pasangan mungkin mengubah fikiran selepas beberapa tahun. Perlu diketahui bahawa setelah menjalani tuba legation, peluang untuk hamil selepas itu adalah lebih rendah kerana hakikatnya saluran tersebut tetap dipotong sebelum dicantumkan semula.

Kaedah tuba legation

Secara umum, tiada sebarang kesan sampingan kepada ibu ODHA yang memilih untuk melakukan tuba legation.

3.      Info tambahan mengenai rawatan dialysis kepada ODHA.

Menurut doktor pakar nephrology (rawatan buah pinggang) yang dihubungi oleh Dr. Iskandar Firzada, secara umumnya, setiap pesakit buah pinggang seboleh-bolehnya cuba elakkan menerima rawatan dialysis kerana ianya boleh dirawat sebelum sampai ke tahap tersebut (sama ada ODHA atau bukan ODHA).

Berbalik kepada kenyataan sebelum ini bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengasingkan mesin haemodialysis untuk pesakit Hepatitis B dan ODHA dengan bukan ODHA, Dr. Iskandar membuat pembetulan bahawa memang mesin haemodialysis akan diasingkan.

Ianya bukan disebabkan isu risiko jangkitan (semua peralatan yang digunakan adalah pakai-buang) tetapi untuk mengelakkan timbulnya salah faham akibat persepsi.

Pusat Rawatan Swasta yang enggan membenarkan ODHA menjalani rawatan haemodialysis adalah atas pilihan mereka dan di luar bidang kuasa KKM.

Rawatan Dialysis secara Umum

1.      Haemodialysis secara mudahnya fungsi buah pinggang diambil alih oleh mesin haemodialysis. Kaedah ini adalah yang paling popular.

Haemodialysis

2.      CAPD -

C- Continuous (Berterusan). Ambulatory (Boleh bergerak). P- Peritoneal (Selaput dalam perut). Dialysis (Rawatan buah pinggang)

Secara mudahnya, CAPD bermaksud rawatan buah pinggang yang boleh dilakukan sendiri di rumah atau sambil memandu. Ianya lebih murah, mudah, dan praktikal, tetapi kurang popular di Malaysia.

CAPD

Syarat utamanya ialah perut pesakit tersebut belum pernah menjalani sebarang pembedahan yang mengakibatkan selaput perut terputus seperti pembedahan apendiks, bersalin, dan sebagainya kerana ianya menggunakan selaput dalam perut pesakit sendiri sebagai penapis mencuci darah.

Ada beberapa soalan lagi yang tidak aku tanyakan kerana pernah ditanya dan dikongsikan sebelum ini.

Selesai temujanji, aku dan Kak Da singgah makan tengah hari di gerai makan berhampiran. Semasa bersembang dengan beberapa peniaga dan pelanggan di gerai berdekatan, barulah kami sedar betapa tingginya penghormatan terhadap dedikasi dan keprihatinan Dr. Iskandar Firzada membantu masyarakat. Semua masyarakat sekeliling mengenali Dr. Iskandar Firzada dan menyatakan penghargaan. Sesungguhnya doktor yang hebat sentiasa berada di mulut dan doa mereka yang pernah dibantu.

Itu sahaja untuk kali ini. Moga ada manfaatnya kepada semua. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan atas perkhidmatan yang cemerlang.


Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)