Friday, February 15, 2013

SUNTIKAN JERAT NELAYAN








Nelayan dan ombak bagaikan sahabat di lautan luas. Satu ketika dulu, musim tengkujuh menjadi musuh utama nelayan dan setiap kali badai melanda, pintu rezeki turut terjejas kerana hasil laut berkurangan.

Realiti, segelintir kehidupan keluarga nelayan dihimpit kesusahan akibat pendapatan tidak menentu bukan kisah dongeng. Di sebalik kegigihan mencari rezeki, kehidupan nelayan turut dicalar dengan pembabitan segelintir mereka dalam kancah penagihan dadah hingga ada antaranya disahkan menghidap AIDS dan HIV.

AIDS dan HIV antara ancaman besar masyarakat nelayan kini. Hasil kaji selidik Centre of Excellence for Research in AIDS (CERIA), Universiti Malaya (UM), membabitkan nelayan di Kuantan, Pahang, amat mengejutkan apabila satu daripada 10 nelayan di laut dalam di negeri itu dikesan terbabit dengan gejala penagihan dadah dan dijangkiti HIV dan AIDS.


Suntik dadah

Kajian sosial yang dijalankan selama lima tahun, Ketua Projek CERIA UM, Martin Choo Kok Keong, 36, dan enam pembantunya mendapati satu daripada tiga nelayan di bandar itu menyuntik dadah.

Martin berkata, hasil itu diperoleh berdasarkan kaji selidik yang dijalankan terhadap 406 nelayan di tiga jeti pendaratan ikan di Kuantan, pada 2011 lalu.

“Ini kajian pertama seumpamanya di dunia membuktikan penyakit AIDS dikesan melalui suntikan dadah dalam kalangan nelayan. Kajian terdahulu hanya terbukti virus HIV diperoleh melalui aktiviti seksual. Kajian sosial ini akan lengkap dalam masa tiga hingga empat bulan akan datang dan ketika itu nanti kita dapat melihat faktor berserta bukti membabitkan isu ini," katanya pada ceramah AIDS di Fakulti Perubatan UM, baru-baru ini.

Martin berkata, lokasi berkenaan menjadi sampel pilihan kajian kerana nelayan di kawasan itu adalah salah satu komuniti terawal menerima program pertukaran jarum dan picagari yang diperkenalkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada 2006. Hasil kajian itu juga menunjukkan hampir separuh nelayan di situ dijangkiti Hepatatis C.


Tekanan emosi

Kajian sosial berkenaan turut memperlihatkan ada beberapa faktor penyumbang kepada pengambilan dadah dalam kalangan nelayan terutama laut dalam di negeri itu yang akhirnya menjahanamkan diri dan keluarga mereka ke kancah lebih merumitkan.

Martin mendedahkan, antara punca paling ketara ialah nelayan berkenaan berhadapan dengan tekanan emosi disebabkan ingin melupakan seketika keluarga yang ditinggalkan sepanjang mencari rezeki di laut dalam.

"Malah, mereka juga menganggap itu cara yang baik untuk menenangkan fikiran, melupakan sementara keluarga, selain ingin menambah kudrat dan mengumpul kekuatan tenaga ketika bertarung mencari rezeki di lautan," katanya.

Pada masa sama, nelayan ini juga ingin mendapatkan keseronokan bersama rakan lain sepanjang berada di laut.


Kehidupan tak menentu

Hakikatnya, demi mencari rezeki, nelayan sanggup meninggalkan anak isteri berminggu-minggu dan ada kalanya berbulan-bulan untuk menampung perbelanjaan bulanan seisi keluarga.

Menjadi nelayan juga bukan semudah difikirkan. Bekerja di tengah panas di dalam bot yang dipukul gelombang sepanjang hari, memberikan pengalaman berbeza. Dengan hasil yang tidak menentu dan pulangan tidak seberapa menyebabkan hidup tidaklah sebegitu indah. Selalu kita mendengar keluhan mereka yang hidup susah dan terpaksa bekerja keras.

Justeru, tidak mustahil jika perkampungan nelayan amat sinonim dengan dua perkara. Pertama, taraf hidup yang rata-ratanya miskin dan mungkin daif dan keduanya. permasalahan penyalahgunaan dadah. Kawasan nelayan kadang-kadang diibaratkan sebagai lubuk penagih dadah.


Ubah pendekatan

Isu penagihan dadah dan jangkitan HIV dan AIDS menjadi keutamaan Malaysia. Lantaran, sebaik Majlis AIDS Malaysia (MAC), ditubuhkan pada 1992 memulakan tugas berat menyediakan khidmat jagaan dan sokongan sukarela kepada penghidap HIV.

Sehingga pada awal 1990-an apabila penularan wabak semakin ketara akibat jangkitan melalui darah daripada pengguna dadah jenis suntikan, MAC mengubah pendekatan kepada meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS di Malaysia selain mengumpulkan dana melalui pertubuhan saudaranya, Yayasan AIDS Malaysia (MAF).

Sehingga negara luar seperti Iran, Kemboja dan Vietnam antara yang sedang mendalami kaedah pengurusan dan pencegahan penyebaran jangkitan daripada Malaysia.

Alasan utama yang diberikan mereka atas penyalahgunaan ini adalah kerana persekitaran kerja yang amat teruk yang memerlukan kudrat, masa dan tenaga yang banyak. Mereka menggunakan alasan ini untuk menghalalkan aktiviti mereka. Dadah kononnya memberikan mereka tenaga dan ketahanan yang lebih panjang dan membolehkan mereka berada di laut dengan lebih lama.


Bukan alasan rindu keluarga

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Selangor, Omar Abdul Rahman, tidak menolak fenomena pembabitan segelintir nelayan dalam kancah najis dadah wujud di kalangan nelayan di seluruh negara.

Katanya, isu penagihan dadah di kalangan nelayan bukan perkara baru kerana sejak tahun 70-an dan 80-an lagi, ada yang sudah terjebak dalam penagihan dadah. Cuma yang membezakannya adalah dari segi faktor pengambilan dan jenis dadah yang diambil.

“Dulu nelayan tradisi mengambil dadah seperti candu dan ganja hanya ketika bekerja. Ketika bekerja di laut dalam, mereka berada dalam kesejukan pada waktu malam menyebabkan terpaksa mengambil candu bagi tujuan pemanasan badan dan menambah kekuatan tenaga. Tetapi pengambilan hanya ketika berada di laut, berbanding hari ini nelayan mengambil dadah kerana mereka berada dalam ketagihan tidak terkawal. Jenis dadah diambil pula lebih ke hadapan iaitu heroin, morfin dan ais untuk tujuan lain.

“Saya berpendapat, alasan mengambil dadah untuk menambah kekuatan tenaga dan emosi yang rindukan keluarga tidak relevan kerana dunia sudah moden. Kehadiran teknologi moden menyebabkan tenaga mesin mahupun robot untuk mengangkat ikan lebih banyak diguna pakai berbanding tenaga manusia. Jika berada di laut dalam, mereka boleh berkomunikasi bersama keluarga menerusi panggilan telefon ataupun internet.

“Kecanggihan teknologi sekarang sepatutnya dimanfaatkan bagi mengelakkan pengambilan dadah. Dadah hanya merosakkan institusi keluarga saja,” katanya yang memberitahu masalah dadah di kalangan nelayan merebak di seluruh negara dan bukan di Pantai Timur saja.

Katanya, susulan isu penagihan dadah yang berterusan itu, kerajaan begitu aktif dalam menganjurkan program seperti sesi dialog bagi menangani masalah tidak berpenghujung berkenaan.

“Pihak AADK selalu turun ke pangkalan nelayan bagi mengawasi masalah ini dan mengadakan program bersama warga nelayan. Selalunya, dua kali setahun dan kerjasama bersama agensi ini memberi manfaat kepada nelayan Saya harap sedikit sebanyak usaha berterusan kerajaan ini berbaloi buat nelayan kerana sudah berjuta ringgit dibelanja untuk menangani isu ini. Kehadiran dadah bukan saja membuatkan diri si penagih merana tetapi memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat sekitar.

“Lihat saja apabila musim tengkujuh, penagih dadah dari kalangan nelayan ini akan mencuri bot mahupun peralatan menangkap ikan bagi membeli dadah. Malah ramai anak nelayan yang terjebak dalam masalah ini,” katanya yang melihat penagihan dadah di kalangan nelayan sebagai faktor masyarakat nelayan tidak dapat keluar dari kepompong kemiskinan.

Mengenai ancaman HIV dan AIDS terhadap nelayan Omar memberitahu, tiada maklumat tepat untuk mengulas isu itu lebih lanjut.


Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Suntikanjeratnelayan/Article/




Ummie: Bayangkan nasib infected dan affected people akibat perbuatan ini seperti pasangan mereka, anak-anak dan keluarga yang turut menerima pelbagai kesan.



Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi