Saturday, February 02, 2013

CATATAN RINGKAS ORANG HIDUP DENGAN HIV PADA AWAL FEBRUARI 2013 (MESYUARAT AGUNG PPWM KALI PERTAMA)






Sudah seminggu lebih blog ini bersawang. Kesibukan maksima mengekang aku untuk berkongsi pengalaman. Setiap hari yang dilalui terasa sangat singkat dan memenatkan. Malam bertukar siang dan siang kadangkala menjadi malam bagiku. Untuk menjalankan tugas hakiki pun kadang-kadang terasa tidak mampu, tetapi syukurlah aku mendapat sokongan padu daripada majikan dan sahabat-sahabat sekerja yang memahami.

Ianya bermula dengan persediaan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Pertama Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM), menguruskan beberapa urusan penting berkaitan selepasnya, dan urusan family.

E-mail, Whatsapp, SMS, dan panggilan telefon sudah pasti tidak putus-putus. Aku akui ianya memenatkan, tetapi sekurang-kurangnya bakal menjadi bekalan pahala kepada kami sekeluarga, insyaAllah. Bahkan aku tidak berkesempatan untuk memikirkan soal remeh-temeh dan hal peribadi pun. Berputus asa jauh sekali.

Kali ini aku aku mahu berkongsi secara ringkas tentang perjalanan Mesyuarat Agung PPWM yang lalu di Dewan Hadhari, Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 24 Januari 2013, hari Sabtu.

Alhamdulillah, perjalanan mesyuarat tersebut sangat lancar dan dalam suasana mahabbah. Ianya diwakili oleh ahli-ahli yang ikhlas berjuang untuk membantu komuniti tanpa mengira punca jangkitan dan kisah lalu mereka.

Mereka adalah insan-insan hebat yang berganding bahu berjuang dalam isu yang sama atas prinsip Islam, Melayu dan kekeluargaan. Ianya bukan sahaja melibatkan Orang yang Hidup Dengan HIV (ODHA), tetapi turut melibatkan affected people, senior volunteers, NGO sokongan, dan supporters yang majoritinya adalah golongan profesional.

Kehadiran ahli seramai hampir 40 orang untuk Mesyuarat Agung Kali Pertama adalah sejumlah angka yang besar kerana kami adalah merupakan NGO yang baru bergerak. Kami tidak pernah menjadikan perbezaan taraf hidup, pendidikan, dan punca jangkitan sebagai satu halangan. Kehadiran pula dari hampir seluruh negara. Ada yang sanggup datang dari Johor Bahru dan Perlis. Semuanya atas perbelanjaan sendiri dan komitmen yang tinggi.

Untuk menjayakannya bukan mudah. Mempunyai ramai sahabat yang ikhlas merupakan satu anugerah Allah yang tidak ternilai kepada perjuangan kami. Mereka sebahagiannya telah bertungkus-lumus selama hampir sebulan, berkorban melalui berbagai-bagai cara. Masa, idea, wang ringgit, tenaga, dan sebagainya.

Ada yang sudi menaja penginapan yang selesa kepada sahabat-sahabat yang datang dari jauh. Ada yang sudi menaja makanan. Ada yang sudi menjadi pemandu kenderaan menjemput dan menghantar sahabat-sahabat yang memerlukan. Ada yang sudi memunggah segala macam peralatan yang diperlukan dan macam-macam lagi. Masya-Allah… hebatnya pengorbanan mereka. Sesungguhnya aku terharu dan hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikan.




Kehadiran Dr. Iskandar Firzada bin Osman, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan sebagai Penasihat PPWM merangkap Perasmi Mesyuarat Agung memberikan impak besar kepada seluruh ahli. Ramai yang terpesona dan terpegun dengan keprihatinan serta ketulusan hati beliau.

Dr. Iskandar Firzada tetap hadir meluangkan sedikit masa berharga beliau atas perbelanjaan sendiri sekalipun ketika itu sibuk kerana turut terlibat dengan satu urusan lain yang lebih penting.




Begitu juga dengan kehadiran Encik Zamzuri bin Abd. Malik daripada pihak Malaysian AIDS Council (MAC) sebagai Pengerusi Tetap dan sebagai pemerhati, cukup meninggalkan kesan. Bahkan Encik Zamzuri sudi meluangkan masa dan mengorbankan hari cuti beliau bersama komuniti sehingga selesai segala urusan.

Pihak JAWI dan Pusat Islam juga memberikan sokongan dan bantuan dengan cara tersendiri. Begitu juga pihak PAFI dan PEWAHIM yang sudi menghantar wakil. Jazakumullah kheir kepada semua, termasuk para petugas Pengira Undi daripada pihak berkecuali yang dedikasi.

Usai mesyuarat, aku yakin kombinasi Jawatankuasa Majlis Tertinggi dan barisan Exco yang melibatkan golongan berpengalaman, baru dan lama adalah Jawatankuasa yang tepat. InsyaAllah sedikit masa lagi mereka mampu membuktikan PPWM adalah sebuah NGO yang hebat dengan cara tersendiri membantu komuniti. Saling melengkapi NGO lain yang sedia berjuang dalam medan yang sama.

Banyak perubahan baru yang akan dilaksanakan dan syukur kepada Allah, memberikanku pertolongan yang sungguh bermakna ini. Beban yang selama ini tertanggung di bahuku terasa dikongsi bersama dan kepenatan dalam perjuangan terasa berbaloi.

Kepada sahabat-sahabat di luar sana yang belum menjadi ahli secara rasmi, aku menggalakkan untuk turut sama menganggotai PPWM kerana sebarang aktiviti berikutnya kami lebih mengutamakan ahli PPWM terlebih dahulu kerana itu memang benefit mereka sebagai ahli.

Jika kami (PPWM) mengadakan sebarang aktiviti team-building, gathering, workshop, ziarah, kutipan derma, bantuan kewangan, khidmat kaunseling, dan sebagainya, keahlian adalah keutamaan sekalipun bukanlah satu kewajiban.

Kami memang menitikberatkan keahlian, bukan kerana mengejar keahlian secara melulu, tetapi kerana ingin melahirkan seberapa ramai Warriors untuk menentang stigma, diskriminasi, judgmental dan paranoia terhadap ODHA.


Tidak adil jika kita hanya menikmati hasil dan mengharapkan pihak lain membantu kita sedangkan kita sedikitpun tidak ambil peduli susah-payah sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus. Mereka juga ada pelbagai tekanan tersendiri, tetapi tetap berjiwa besar demi membantu komuniti.


Kepada yang berminat untuk menjadi ahli PPWM, sila e-mel positivelypositive77@gmail.com untuk mendapatkan borang permohonan keahlian.

Insya-Allah jumpa lagi.



Hamba-Nya yang dhaif – AHP @ Pie @ Mohamad bin Wahid





Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins:
Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com



Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi