Tuesday, February 19, 2013

ANTARA EMOSI DAN REALITI KEHIDUPAN SEORANG PEMBAWA HIV YANG BERNAMA “AKU”







Sahabat-sahabat rapat selalu komplen, “Kebelakangan ini entri blog abang agak berat dan emosional!”

Emosional? Rasanya tidak. Apa yang aku rasa, itulah yang aku luahkan. Cuma mungkin kerana mereka tahu beberapa isu yang berlaku dalam kehidupanku, mereka memandangnya dari sudut tekanan harian yang aku alami. 

Semuanya sekadar perkongsian umum perjalanan kehidupanku sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) dan sentiasa berdepan dengan isu komuniti. Dulu dipimpin, sekarang ini belajar memimpin. Tentulah sedikit berbeza.

Seboleh-bolehnya aku cuba lindungkan tekanan dalaman sendiri dan hanya berkongsi nilai-nilai positif. Aku tahu jika perkongsianku menjurus kepada negatif, negatif jugalah yang pembaca akan rasa. Jika aku kongsikan nilai positif tetapi masih ada yang memandangnya dari sudut negatif, itu persepsi individu. Bermain emosi dalam usia seperti aku rasanya tidak relevan lagi. “Rumah kata pergi, kubur kata mari.”

Jika sahabat-sahabat bertanyakan khabar, biasanya aku akan menjawab, “Alhamdulillah, baik-baik sahaja.” Sebenarnya itulah doa untuk semua. Tiada gunanya aku memanjangkan apa yang aku rasa kerana setiap individu punya tekanan tersendiri.

Tidak perlu panjangkan cerita. Hidup sebagai pesakit diabetes pun banyak ujian yang terpaksa aku tanggung. Bahkan diabetes lebih bahaya daripada HIV sekalipun tidak berdepan dengan stigma, diskriminasi dan judgemental. Kewajiban menjaga diet, senaman, dan amalan hidup sihat memerlukan disiplin yang sangat tinggi. Sedikit sahaja terbabas, segala macam risiko termasuk rasa lesu dan kepenatan melampau akan aku alami. Dugaan-dugaan tersebut kadangkala agak mencabar, apatah lagi bila melibatkan pelbagai komitmen lain.

Ada masanya perlu diakui menyukarkan aku melaksanakan tugas hakiki di tempat kerja. Aku malu terhadap majikan yang sentiasa memberikan kerjasama. Seboleh-bolehnya aku cuba mengelak daripada mengambil cuti. Enggan membebankan rakan-rakan yang terpaksa mengambil alih tugas, tetapi apakan daya. Ada masanya aku terlalu kepenatan dan tidak cukup rehat.

Ditambah dengan pelbagai ujian hidup sebagai ODHA, sudah tentu bertambah lagi ujiannya. Berada di medan juang bersama komuniti menyebabkan aku sentiasa terdedah kepada pelbagai tekanan. Sama ada akibat kesibukan, simpati, dan empati, serta tidak kurang perlu berdepan dengan perkara-perkara yang aku tidak suka. Sedikit sebanyak ianya turut mempengaruhi emosiku. Terlalu banyak terdedah dengan aura negatif sedangkan diri sendiri pun masih perlukan sokongan komuniti.

Emosi tersebut saling bercampur-gaul dan peliknya aku tetap tidak mampu mengabaikannya. Mungkin kerana aku juga merasa ‘sakitnya’ hidup sebagai ODHA. Alhamdulillah, ujian-ujian tersebut jugalah yang menjadikan aku lebih kuat. Aku infakkan diriku Lillahi Taala untuk membantu.

Syukur keluargaku memahami dan semoga pahalanya berpanjangan kepada mereka. Kalaulah aku ini masih bujang, dan orang tahu keadaan sebenarku, sampai ke sudah tidak ada perempuan yang sanggup menerimaku. Bukan kerana HIV, tetapi kerana sibuk mengalahkan VVIP.

Bayangkan setiap hari aku berdepan dengan berbelas-belas kes berkaitan komuniti sama ada daripada infected atau affected people.

Aduan ketakutan akibat terdedah kepada aktiviti berisiko, dibenci keluarga, kehilangan atau diskriminasi dalam bidang pekerjaan dan peluang kenaikan pangkat, dianiaya suami, isteri atau mertua yang enggan menerima status mereka, masalah putus cinta, trauma dijangkiti virus daripada pasangan, perceraian akibat HIV, jangkitan penyakit kelamin, urusan perkahwinan, dipulau masyarakat, dan sebagainya.

Aku dapat rasakan sakitnya apabila sahabat-sahabat komuniti diungkit atas kesalahan lampau yang mereka sendiri benci mengenangnya. Asyik dipertikaikan punca, ditanya kenapa, mengapa, dan sebagainya. Sentiasa dihukum sedangkan sepatutnya mereka dibantu dan diberi sokongan.

Sebaliknya aku juga berasa sangat sedih apabila ramai yang masih gagal melihatnya sebagai satu tanda didikan atau ujian Allah supaya memuhasabah diri. Di sinilah biasanya timbul dilema supaya aku bertindak penuh hikmah supaya mereka tidak terlalu menjauhkan diri walaupun aku sendiri tidak setuju dengan apa yang mereka lakukan.

Itu belum termasuk yang masih enggan mengubah cara hidup, selesa berada dalam maksiat, enggan menjaga hubungan dengan Allah, menyalahkan Tuhan, mengugut, memanipulasi, memecah-belahkan komuniti, dan sebagainya.

Malahan, kadang-kadang ada yang menghubungi dan mengadu, “Abang, saya hendak pakai pakaian warna apa untuk pergi kerja hari ini?” Mak aihh. Manjanya kau! Aku yang sedang tersedak menahan caci-maki ini terima sahajalah segalanya. Hidup terlalu singkat untuk dibazirkan demi akhirat yang kekal abadi.

Kemuncak segala tekanan, apabila NGO yang aku pimpin iaitu Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) dan jaringan hubunganku dengan NGO serta komuniti lain di seluruh negara cuba dihancurkan.

Apabila terpaksa memilih antara individu atau jemaah, aku wajib memilih jemaah. Di situlah konflik mula timbul dan tidak sangka sehingga begitu sekali serangan yang telah dilakukannya.

Syukur ketika serangan itu timbul, aku telah sampai ke tahap lali dengan tekanan. Bahkan bagi aku, bukan aku yang rugi, tetapi komuniti. Banyak pengajaran yang aku perolehi. Kebenaran tetap kebenaran.

Aku tidak mahu melayan perkara remeh-temeh untuk perjuangan sebesar ini. Jika terkorban sekalipun, aku rela terkorban sebagai pejuang. Tidak sesekali sebagai pengecut. Baguslah kerana semakin mematangkan aku dalam asam garam perjuangan.

Sesiapa sahaja yang ingin berada di tempatku, dipersilakanlah. Aku memang lebih selesa berjuang di blog ini dengan caraku. Aku memang menghindari stress. Tiada apa-apa kepentingan. Bahkan berhabis masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit semata-mata untuk membantu komuniti.

Aku hanya mahu berkongsi semangat perjuangan dan mahu komuniti bangkit daripada stigma dalaman sendiri. Bukan tidak mengerti segala pahit dan pedihnya tekanan sahabat-sahabat, tetapi mengeluh dan meratap tidak ada gunanya.

Anggaplah perkongsian ini sebagai lafaz ikrar dan semangat perjuangan. Apa sahaja rutin harianku adalah untuk komuniti. Tawa dan tangisku bersama komuniti. Aku insomnia kerana komuniti. Pada waktu rehat yang sangat terhad, komuniti juga yang aku fikirkan. Penat, letih, lesu dan sebagainya, tetap komuniti, komuniti, komuniti.

So, adakah pembaca khususnya ODHA faham apa yang aku maksudkan? Wake up! Usah dirisaukan tentang rawatan kerana kita berpeluang hidup sihat sama seperti insan lain. Masalah sebenar ODHA adalah stigma, diskriminasi dan judgemental. Itulah isu yang sepatutnya kita tentang dan bersatu mempertahankan hak kita.

Jangan kita menjadi lemah hanya disebabkan oleh sikap negatif segelintir masyarakat. Jangan kerana sedikit tekanan kita terus mengalah. Buktikan bahawa dalam berbagai-bagai tekanan psikososial, kita masih berada di sini, bahkan menjadi insan yang lebih baik.

OK, jangan baca perkongsian ini mengikut persepsi negatif ya! Bacalah dengan aura dan semangat positif. HIV positif, confirmedlah mesti positif! Semakin hari, semakin terasa kemampuan terbatas. Usahlah kita bazirkan segala peluang yang ada. Sayang semua.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi